Mohd Syafiq Abdullah (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil pertubuhan NGO, Sahabat Sejati Pandan. 


YAYASAN VFive, ialah sebuah organisasi di bawah syarikat milik penuh Bumiputera, VFive Group yanbg ditubuhkan pada 2021 bagi melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada golongan memerlukan. 

Ia adalah sebahagian inisiatif syarikat itu bagi memantapkan program membantu komuniti yang terjejas sumber pendapatan dan kurang bernasib baik.

Bersempena Ramadan Mubarak, Yayasan VFive terus melebarkan sayap dengan melaksanakan pelbagai aktiviti dan inisiatif infak bagi mengagihkan sumbangan berjumlah RM2 juta untuk menggembirakan golongan anak yatim, asnaf, ibu tunggal, surau dan masjid, pertubuhan bukan kerajaan dan sekolah tahfiz.  

Sebahagian penerima sumbangan sempena Majlis Iftar Perdana 2024 bergambar kenangan bersama Mohd Syafiq Abdullah (lapan dari kanan) di SW Banquet Hall, Kuala Lumpur.


Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh syarikat korporat itu termasuklah sumbangan 500 pek makanan iftar harian dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), 5,000 set bakul makanan, tajaan iftar Ramadan, agihan bubur lambuk dan pelbagai lagi bantuan kebajikan meliputi lebih 100 masjid, surau dan NGO. 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengasas VFive Group, Datuk Mohd Syafiq Abdullah, berkata, segala inisiatif infak yang dirangka bertujuan mengurangkan bebanan dan penderitaan golongan yang kurang mampu serta menzahirkan tanggungjawab kebajikan secara inklusif ke arah kesejahteraan masyarakat.

Pada tahun 2020, ketika pandemik Covid-19, syarikat korporat itu memperuntuk RM1.1 juta bagi program CSR bagi membantu komuniti yang terjejas sumber pendapatan dan kurang bernasib baik akibat wabak yang melanda seluruh dunia itu. 

Malah, dengan penubuhan Yayasan VFive empat tahun lalu, jumlah bantuan ditambah setiap tahun bagi menyasarkan untuk meluaskan lagi usaha murni agar mereka yang terjejas mendapat manfaat dan merasai nikmat kehidupan lebih baik. 


Mohd Syafiq Abdullah


Mohd Syafiq menyantuni dan memberi sumbangan kepada pelajar Maahad Tahfiz Darul Huffaz di Putra Kajang.


“Kehadiran Ramadan setiap tahun adalah bulan yang ditunggu-tunggu umat Islam seluruh dunia kerana di dalamnya penuh kemuliaan dan sarat dengan keberkatan .

"Justeru amat rugi jika kita tidak mengimarahkan dengan melakukan amal kebajikan yang memberi manfaat kepada masyarakat kerana Allah menjanjikan pahala yang berlipat ganda dan keampunan kepada umat Islam. 

“Insya-Allah, semoga apa yang dirancang dan diusahakan pihak VFive Group ini dipermudah, sekali gus mencapai objektif yang telah ditetapkan,” katanya pada Majlis Iftar Perdana 2024 di SW Banquet Hall, Kuala Lumpur.  

Beliau berkata, Majlis Iftar Perdana 2024 yang dianjurkan VFive Group itu adalah wadah bagi mengeratkan ukhuwah antara warga kerja bersama pemegang taruh, di samping menyantuni tetamu jemputan yang antaranya terdiri daripada anak-anak yatim dan pelajar tahfiz.

Pada majlis tersebut, VFive Group turut menyalurkan sumbangan Infak Mahabbah Ramadan kepada 14 masjid, surau, pusat tahfiz, pertubuhan kebajikan, sekolah dan NGO di sekitar Lembah Klang yang disampaikan dalam bentuk replika cek. - KitaReporters

Datuk Mohd Syafiq (tengah) menyampaikan bantuan kepada wakil Surau Al-Hilal, Pandan Jaya, Kuala Lumpur.

13
15
0
11
0

Copy Link: