Kerajaan Madani mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi pelaksanaan program pembasmian kemiskinan di negeri Kelantan, yang akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) Negeri Kelantan.



Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, agenda kebajikan rakyat mesti terus dijunjung dan disegerakan, khususnya dalam usaha membasmi kemiskinan yang masih membelenggu sebahagian masyarakat.

"Sehubungan itu, saya mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi pelaksanaan program pembasmian kemiskinan di negeri Kelantan, yang akan diselaraskan oleh ICU, JPM Negeri Kelantan.

"Ini bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan serta manfaatnya sampai kepada golongan yang memerlukan," jelas beliau.



Terdahulu, sewaktu lawatan di Pasir Puteh pada Sabru, 18 April 2026, Anwar berkesempatan menunaikan solat zuhur berjemaah bersama warga setempat dan turut meluangkan masa bertegur sapa dan bersalaman, dalam usaha mengimarahkan institusi masjid sebagai nadi penyatuan ummah.

Selepas majlis ramah mesra itu, beliau juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Darul Ulum Al-Muhammadiah di Kampung Kolam, Bachok yang terlibat dalam satu insiden kebakaran pada 12 April 2026 lalu.



Katanya, peruntukan tersebut bagi membantu pihak pentadbiran sekolah membaik pulih prasarana yang terjejas.

"Insya-Allah, kerajaan Madani akan terus komited membantu negeri Kelantan dari segenap aspek, demi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara dan pembangunan dapat dinikmati secara inklusif oleh semua," tegas Perdana Menteri. - KitaReporters/Kenyataan Media


13
11
0
7
0

Copy Link: