Makcikmanis jadi inspirasi! Dari suri rumah jadi peguam! Derita anak didakwa bunuh ubah hidup Azlina!
Published by
Azlina yang membesar dalam keluarga serba kekurangan di tanah rancangan Felda berkata, kehidupannya sejak kecil penuh cabaran, termasuk berdepan keadaan bapanya yang mengalami masalah kesihatan mental.
Namun, segala-galanya berubah apabila anak lelakinya, Muhammad Syafiq, yang ketika itu baru tiga bulan keluar dari rumah untuk belajar berdikari, ditahan oleh polis bagi membantu siasatan.
Pada awalnya, beliau menyangka ia hanya melibatkan kes kecil.
“Mula-mula saya ingat kes dadah atau kes biasa. Bila polis beritahu kes bunuh di bawah Seksyen 302, memang saya sangat terkejut. Rasa macam mimpi,” katanya.
Lebih memilukan, anaknya terpaksa ditahan reman hampir enam tahun kerana pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan ketika itu membawa hukuman mati mandatori dan tidak boleh dijamin.

Sepanjang tempoh itu, Azlina berulang-alik ke Penjara Sungai Buloh hampir setiap minggu sambil cuba memahami proses perundangan yang sedang dihadapi keluarganya.
“Sebagai ibu, kita jadi keliru. Tiba-tiba anak terlibat kes bunuh, bukannya kes curi motosikal. Memang tak sangka sebab kami ajar dia berdikari, sewa rumah, atur pengangkutan, cara naik bas dan cari kerja.
“Tapi itulah, tersalah kawan,” katanya.
Pengalaman keluar masuk mahkamah dan penjara itulah yang mula membuka matanya tentang sistem perundangan negara.
Menurut Azlina, beliau sanggup hadir ke mahkamah walaupun bukan kes anaknya yang dipanggil, hanya untuk melihat bagaimana sesuatu perbicaraan dijalankan.
“Saya pergi duduk dalam mahkamah, tengok macam mana pendakwaan dan peguam berhujah. Saya baca kes-kes mahkamah sebab nak faham apa yang anak saya hadapi,” katanya.
Dalam tempoh itu, beliau mengakui emosi dirinya sangat terganggu.
“Enam bulan pertama, nak telan air liur pun rasa sakit. Masa itu hukuman mati masih mandatori, belum ada budi bicara hakim. Kadang-kadang saya duduk di rumah dan fikir, betul ke semua ini?” katanya.
Namun, di sebalik ujian itu, Azlina mendapat kekuatan daripada suami, anak-anak dan terutama Syafiq sendiri.
“Syafiq sebenarnya banyak mengajar saya tentang sabar dan kuat,” katanya.

Dorongan untuk memahami undang-undang akhirnya bertukar menjadi tekad untuk menyambung pengajian, walaupun beliau tidak mempunyai sijil SPM.
Azlina berkata, penglibatannya sebagai sukarelawan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pengalaman berniaga
serta pelbagai kursus yang pernah dihadiri menjadi asas untuk membina portfolio bagi memohon kemasukan ke universiti melalui laluan khas.
“Saya memang aktif. Kursus pengurusan jenazah pun saya pergi. Semua sijil itu saya kumpul untuk portfolio.
“Daripada situ, saya mendapat kelulusan melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk sambung belajar
“Saya ingat lagi pergi ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk bertanya cara untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang.
“Pegawai yang melayan saya agak hairan kerana saya tidak mempunyai SPM dan hanya seorang suri rumah. Jadi, saya hanya beranikan diri sahaja,” katanya.
Pada usia 43 tahun, Azlina memulakan pengajian dalam bidang perundangan dan berjaya menamatkan ijazah dalam tempoh empat tahun tanpa mengulang sebarang kertas.
Selepas tamat pengajian, beliau menjalani latihan dalam kamar di firma AmerBON Advocates sebelum terus memulakan kerjaya sebagai peguam.
Detik paling bermakna dalam hidupnya hadir pada 2022 apabila anaknya dibebaskan selepas hampir enam tahun ditahan reman.
“Alhamdulillah, anak saya didapati tidak bersalah dan dibebaskan. Dia juga sempat melihat saya pada hari konvokesyen,” katanya.

Kini, Azlina membuka firma guamannya sendiri dengan memberi fokus kepada kes sivil dan jenayah, berbekalkan pengalaman hidup yang pernah meletakkannya di kerusi seorang anak guam.
“Saya pernah berada di tempat mereka. Saya tahu bagaimana perasaan keluarga yang berdepan kes mahkamah.
“Sebab itu saya mahu jadi peguam yang benar-benar membantu dan tidak mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain,” katanya.
Selain dunia perundangan, Azlina juga dikenali sebagai pengurus kepada penyanyi bersuara emas Mamat Exist atau Mohd Ali Kamarudin menerusi Mekar Management, termasuk membantu penyanyi itu melalui proses pemulihan di Persatuan Pengasih Malaysia.
Kisah kebangkitan Azlina yang turut dikenali dalam media sosial sebagai "Makcikmanis" kini menjadi inspirasi ramai, membuktikan bahawa ujian hidup paling getir juga mampu menjadi titik mula kepada sebuah kejayaan luar biasa. - KitaReporters
