PERBUATAN baik pasti akan dibalas. Biarpun melakukan tanpa mengharapkan balasan tapi pasti akan diberikan pahala, itulah aturan Allah. 

Sama seperti seorang penghantar makanan di Dubai ini yang tidak menyangka perbuatan ikhlasnya untuk mengalihkan batu-bata di atas jalan yang sibuk akhirnya mendapat perhatian Putera Mahkota Dubai.

Kisah berkenaan menjadi tular dalam media sosial pada 31 Julai 2022 apabila kelihatan seorang ejen penghantar makanan di syarikat Talabat di Dubai mengalihkan dua keping batu-bata yang terbiar di atas jalan.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan tindakan membuat kebaikan


Kejadian berkenaan berlaku ketika jalan sedang sibuk menyebabkan dia sanggup menghentikan motosikal yang ditunggang dan mengalihkan batu-bata berkenaan sebelum berlalu pergi.

Tindakan murni itu disedari Putera Mahkota, Hamdan Mohammed Al-Maktoum yang berkongsi kemuliaan lelaki berkenaan  dan dilihat sebagai lelaki yang sanggup menggadaikan nyawa sendiri hanya kerana mahu mengalihkan batu-bata yang dikhuatiri akan membahayakan pengguna-pengguna jalan raya yang lain.




Putera Mahkota kemudian memuat naik kisah berkenaan sambil menyatakan kesudian untuk bertemu lelaki berhati mulia tersebut.

"Satu perbuatan baik di Dubai yang patut dipuji. Bolehkah seseorang kenalkan saya kepada lelaki ini?" Kongsi Sheikh Hamdan dalam akaun Twitter rasminya.

Tidak lama kemudian Sheikh Hamdan dilaporkan berjaya mengenal pasti individu berkenaan yang dikenali sebagai Abdul Ghafoor, seorang lelaki dari Pakistan.

Dalam ciapan lain, Sheikh Hamdan menyatakan bahawa lelaki baik itu berjaya dikesan dan berhasrat untuk bertemu mata dengan lelaki berkenaan.

“Terima kasih, Abdul Ghafoor, anda seorang yang luar biasa. Kita akan berjumpa tidak lama lagi!,” katanya.

Putera Mahkota Dubai secara peribadi menghubungi penghantar makanan itu untuk mengucapkan terima kasih.

Lebih membanggakan, Abdul Ghafoor memberitahu portal Khaleej Times, Putera Mahkota itu akan menyatakan kesudian untuk bertemu dengan sendiri sebagai tanda berterima kasih.



Kakitangan syarikat Talabat itu berkata, selepas Sheikh Hamdan menyiarkan video itu, dia mendapat panggilan dari Polis Dubai yang memaklumkan bahawa Putera Mahkota Dubai mahu bercakap dengan Abdul Ghafoor bagi melahirkan rasa bangga dan terima kasih di atas perbuatan murni yang dilakukannya. 

Pertemuan berkenaan dijangka berlaku dalam masa terdekat selepas Putera Mahkota kembali ke Dubai memandangkan ketika kejadian tular baginda berada di luar negara.

Semoga kisah baik yang ditunjukkan pemuda Pakistan yang mencari rezeki di bumi Dubai ini mampu dijadikan tauladan dan contoh yang baik kepada semua, walaupun bukan di tanah air sendiri namun keikhlasan dan amalan baik wajar dilakukan di mana-mana sahaja. - KitaReporters


12
10
0
15
0

Copy Link: