Video| Suspek culik budak lelaki! Untuk cagarkan 3 kampit beras! Mangsa diumpan dengan wang RM4!

Published by
KitaReporters

Kredit foto: Harian Merapi


HANYA diumpan wang sebanyak Rp15 ribu (kira-kira RM4.40) untuk memikat hati, seorang budak lelaki berusia 10 tahun di Makassar, Sulawesi Selatan jadi terpedaya dan menyebabkan dia 'diculik' dan 'dijual'.

Budak terbabit dilaporkan mengikuti seorang lelaki yang tidak dikenalinya sebelum mangsa dijadikan cagaran di sebuah kedai dengan nilai tiga beg beras seberat 45 kilogram berharga Rp500 ribu (kira-kira RM145).


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan jenayah culik

PELAKU ditahan di kediamannya di kawasan Perumahan Villa Mutiara, Makassar, Sulawesi Selatan pada 12 September 2021. - Kredit foto: Alur/Ist 


Kejadian  yang berlaku di Gusung, Kecamatan Makassar, pada 7 September 2021 lalu dilakukan oleh seorang pelaku bernama SK berumur 27 tahun dengan menawarkan pelbagai janji serta pujuk rayu agar budak itu bersetuju mengikutinya keluar berjalan-jalan dengannya menaiki sebuah motosikal.

Budak terbabit ketika itu sedang bermain-main di halaman rumahnya tanpa berfikir panjang telah bersetuju untuk mengikuti pelaku yang sudah berjanji untuk memberi wang Rp15 ribu kepadanya. 

Namun pelaku tidak memberi wang seperti yang dijanjikan sebaliknya mangsa dibawa ke sebuah kedai runcit di Jalan Pelita Raya, Makassar untuk `dicagarkannya’ dengan tiga beg beras


MANGSA yang berumur 10 tahun (kanan) yang telah 'dicagarkan' oleh pelaku bersama dengan  seorang anggota polis. - Kredit Foto : telisik.id



Laporan Merdeka.com pada 13 September 2021 lalu melaporkan penipuan pelaku bermula dengan gara-gara pelaku berpura-pura terlupa membawa wang untuk membeli beras di sebuah kedai runcit tersebut dengan alasannya banyak kerja lain yang hendak diselesaikan.

Dengan menggunakan alasan itu, pemilik kedai yang bernama Isnawati telah membenarkan suspek mengambil tiga beg beras selain pelaku berjanji bahawa dia akan datang kembali untuk membayar beras itu.

Bagi meyakinkan pemilik kedai itu, suspek meninggalkan mangsa yang diculik itu di kedai berkenaan.

Bagaimanapun, modus operandi penipuan pelaku itu terbongkar, selepas dia tidak datang kembali dan mangsa yang `digadaikan’ itu menangis kerana berada di kedai itu begitu lama menunggu kedatangan pelaku.


 

BERAS yang digadai dengan seorang kanak-kanak yang diculik oleh pelaku. - Kredit foto: tvone


ISNAWATI, pemilik kedai runcit terbabit. - Kredit Foto : Tribun Timur


Lantaran itu, pemilik kedai terbabit bertanya pada mangsa dan mangsa memberitahu bahawa dia tidak mengenali suspek dan tidak mempunyai apa-apa hubungan persaudaraan antara dia dengan suspek.

Sebelum itu, pemilik kedai berkenaan menduga mangsa adalah adik beradik pelaku ataupun mempunyai pertalian saudara kerana mangsa datang bersama pelaku dengan menaiki sebuah motosikal.


MANGSA membonceng motosikal setelah diselamatkan oleh seorang anggota polis dari tempat kejadian. - Kredit foto: tvone


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Makassar, Komosaris Polis Djamal Faturrakhman berkata pelaku terbabit telah menculik kanak-kanak lelaki itu ketika mangsa sedang bermain-main di halaman rumahnya. 

Menurutnya, mangsa diumpankan wang sebanyak Rp15 ribu untuk memperdayakan mangsa supaya mengikuti pelaku berjalan-jalan bersama motosikal pelaku itu.

``Mangsa yang diculik itu ditinggalkan di kedai runcit untuk meyakinkan pekedai bahawa dia akan datang semula membawa wang untuk membayar beras yang sudah diambilnya.

``Pelaku kini sudah ditangkap polis di Perumahan Villa Mutiara Makassar pada Ahad, 12 September 2021 berdasarkan rakaman CCTV di tempat kejadian pada hari tersebut,’’ katanya.

Akibat perbuatan itu, pelaku terjerat hukuman penjara selama 15 tahun di bawah pasal 83 Undang-Undang nombor 35 tahun 2014 tentang perubahan Undang-Undang nombor 23 tahun 2002. - KitaReporters


11
11
0
6
0

Copy Link: