Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) meluluskan bantuan sebanyak RM18,000 bagi membantu kos rawatan seorang kanak-kanak perempuan, Nur Kaisah Zahra Abdul Ghafar, 9, yang melecur 40 peratus pada badannya akibat disambar api percikan petrol ketika bermain berhampiran rumah jirannya di Parit Haji Taib 2, di Bagan Serai pada Rabu,  25 Mac 2026.



Pengurus Besar MAIPk Zon Utara, Mohd Saufi Ibrahim berkata, bantuan itu diberikan setelah pihaknya meneliti keadaan mangsa yang memerlukan rawatan segera.

Beliau berkata, mangsa dan keluarganya juga bukan daripada golongan berkemampuan, justeru itu MAIPk mengambil inisiatif dengan kerjasama media yang menyalurkan maklumat mengenai kanak-kanak itu.

“MAIPk sentiasa membantu golongan yang memerlukan terutama dalam situasi kecemasan seperti kemalangan dan kebakaran yang memerlukan kos rawatan yang tinggi,” katanya ketika menyampaikan surat kelulusan dana bantuan perubatan kepada Abdul Ghafar Masran di Hospital Taiping pada Rabu, 8 April 2026.


Mohd Saufi Ibrahim (kiri) menyerahkan surat kelulusan bantuan kepada Abdul Ghafar Masran di Hopital Taiping.


Sementara itu, bapa Nur Kaisah Zahra, Abdul Ghafar Masran, 50, bersyukur dengan bantuan yang diterima kerana ia dapat meringankan beban kewangan keluarga dalam menampung kos rawatan yang diperlukan.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada MAIPk atas bantuan yang diberikan untuk membiayai kos rawatan anak saya,” katanya.

Abdul Ghafar berkata, anaknya telah menjalani pembedahan menampal kulit yang rosak akibat melecur di kaki kanan pada pada 8 April 2026. Kulit yang digunakan itu diambil daripada bahagian kaki kiri yang tidak terbakar untuk menampal kawasan yang terbakar.

“Pembedahan itu bermula sekitar jam 8.30 pagi dan selesai kira-kira pukul 2 petang. Anak saya kini sudah sedar,” katanya.

Beliau berkata, pihak doktor memaklumkan anaknya masih memerlukan beberapa rawatan dan pembedahan susulan pada bahagian lain yang turut mengalami kecederaan melecur.


Nur Kaisah Zahra Abu Bakar


Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan Nur Kaisah Zahra memerlukan dana perubatan sebanyak RM18,000 bagi menjalani pembedahan dan rawatan susulan setelah  bahagian dada hingga ke kaki melecur setelah disambar api akibat percikan petrol ketika bermain dengan raka -rakannya di Parit Haji Taib 2 pada Rabu minggu lalu.-Kitareporters

5
9
0
16
0

Copy Link: