Jalani hidup usia senja? Jangan stres! Santai, tenang, gembira! Elak permusuhan, erat persaudaraan!
Published byPADA 17 March, 2026 lalu, penulis menyambut ulang tahun kelahiran ke-65. Dah tua. Ada orang cakap dah senja.
Apa pun istilah diguna pakai, hakikatnya ia adalah fasa penghujung usia. Kalau dibandingkan dengan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW yang wafat pada usia 63, maka usia 65 boleh dianggap sebagai bonus.

Kadang-kadang untuk melunakkan hati, penulis cuba menggunakan istilah age is just a number (umur hanyalah angka) tapi kita tidak dapat lari daripada kenyataan bahawa umur bukan sekadar nombor tapi tanda aras kehidupan kita.
Bila usia sudah mencecah lebih separuh abad, petanda bahawa kita sudah tua adalah jelas sama ada secara fizikal mahu pun mental.
Kalau masa muda, rambut hitam lebat dan bersinar, bila dah tua, bertukar putih. Ada orang tak suka sebut putih tapi sebut metalik.
Kulit yang dahulu tegang, kini mula berkedut. Mata yang dahulu terang, kini semakin kabur. Sendi-sendi mula mudah lenguh dan pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, jantung mula jadi peneman.
Penulis mungkin dianggap sebagai orang yang beruntung serta patut bersyukur kepada Allah SWT kerana pada usia 65 tahun, tubuh masih sihat serta tidak menanggung sebarang penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi mahu pun jantung.
Penuaan juga menjejaskan mental menyebabkan kita mudah lupa dan pemikiran tidak lagi setajam dahulu. Itulah hakikat tua.

BERJOGGING adalah antara aktiviti penulis.
Apapun selagi dipinjamkan nafas oleh Sang Pencipta, kehidupan perlu diteruskan. Tua tak beerti kita hanya perlu duduk menanti mati!
Apa yang anda lakukan untuk mengisi masa usia emas anda?
Penulis tidak mempunyai sebarang amalan atau rutin khusus, sebaliknya hidup mengikut arus (flow). Kehidupan harian penulis berbeza-beza, ikut keadaan.
Cuma, setiap pagi, penulis meluangkan masa selama dua jam untuk beriadah dan berukhuwah. Satu jam berjogging atau jalan santai (briskwalk) dan satu jam lagi dihabiskan di restoran mamak bersama rakan-rakan jogging penulis.

BERUKHUWAH cara kami. Kumpulan joggers berkumpul dalam satu majlis sarapan pagi.
Ada yang mentertawakan dan dengan sinis berkata, apa guna berjogging atau bersenam, kalau selepas itu melepak di kedai mamak sambil menjamah roti canai dan teh tarik. Lebih baik jangan jogging.
Selalunya, penulis akan menjawab begini: “Lebih teruk kalau tak berjogging tapi hanya melepak di kedai mamak.”
Sebenarnya, ketenangan dan keceriaan adalah kata kunci untuk kita menikmati hidup pada usia emas. Penulis akui, kalau diukur pencapaian di trek jogging dengan lepak di kedai mamak, lebih banyak masa dihabiskan di kedai mamak.
Penulis bukan jenis kaki jogging tegar serta tidak pernah meletakkan sasaran berapa jauh perlu berlari atau berapa langkah perlu berjalan dalam setiap sesi.
Kadang-kadang, penulis hanya berjalan selama 30 minit tapi selebihnya melepak di restoran mamak selama sejam.

MENZIARAH sahabat yang sedang diuji masalah kesihatan adalah antara aktiviti penulis.
Tapi, kepercayaan penulis mudah, kalau jiwa kita tenang dan hidup kita ceria, tubuh kita akan sihat. Mungkin teori ini tidak betul pada orang lain tapi penulis yakin ia antara faktor yang menyebabkan penulis kekal sihat pada usia 65 tahun.
Pada penulis, apabila turun ke trek jogging, ia bukan sekadar untuk kesihatan badan tapi juga untuk kesihatan mental. Bertemu serta bergurau dengan kawan-kawan sambil berjalan santai adalah terapi yang sangat berkesan untuk mental kita.
Seperkara lagi, jangan kita serabutkan kepala kita dengan masalah. Hakikatnya pada usia ini, ia adalah waktu bertenang dan menikmati hidup selepas bertungkus-lumus pada waktu muda, mencari rezeki untuk keluarga.

ISI usia emas dengan bercuti dan bersantai.
Elakkan kita daripada mempunyai bebanan hutang kerana belenggu hutang akan menyebabkan hidup kita tidak tenang serta tidak mampu tidur lena.
Paling penting bersihkan hati kita daripada rasa dendam, marah, iri hati atau permusuhan kerana ia tidak berbaloi untuk kita menghabiskan baki usia yang tinggal tidak seberapa. Jika anda dapat mengamalkan ini, insya-Allah jiwa anda akan tenang dan tubuh anda sihat.
Bukan untuk menunjukkan diri penulis baik atau sempurna tapi dalam hidup penulis sejak dahulu, penulis sentiasa memaafkan serta mengelak permusuhan sebaliknya mencari seramai mungkin kawan.

MEMENUHI jemputan.
Jika ada kawan-kawan atau saudara mara yang berhutang, penulis sentiasa mengambil sikap menghalalkan jika tahu dia tidak mampu membayar. Penulis anggap itu bukan rezeki penulis dan yakin Allah akan menggantikan dengan rezeki yang lain dalam pelbagai bentuk, bukan sekadar kewangan tapi juga kesihatan.
Penulis juga isi masa tua penulis dengan menziarah kawan-kawan dan saudara mara terutama mereka yang sedang diuji dengan masalah kesihatan. Ia adalah salah satu cara penulis mensyukuri nikmat kesihatan yang dikurniakan Allah.
Bagi penulis, ukhuwah dan silaturahim sangat penting dalam kehidupan apatah lagi ia dituntut oleh agama. Atas sebab itu, penulis sedaya mungkin memenuhi jemputan ke majlis perkahwinan atau apa saja majlis walaupun jauh.

PERCUTIAN ke Batam bersama rakan-rakan.
Dan sementara tubuh masih sihat, ada sedikit rezeki, penulis dan isteri isi waktu bersama dengan melancong, tidak perlu jauh, jika tak mampu cukup sekadar dalam negara. Ini juga satu terapi untuk memberi ketenangan jiwa.
Penulis juga mengisi usia tua dengan melakukan perkara yang paling diminati iaitu menulis, namun tidak pernah memaksa diri. Ada idea, tulis, tak ada idea, tidur!
Kebelakangan ini, penulis mendapat keghairahan baharu iaitu menulis lirik yang mana lagu dihasilkan menerusi janaan Kecerdasan Buatan (AI). Setakat lebih 40 lirik dihasilkan dan sudah dijadikan lagu, dengan beberapa antaranya sudah dimuat naik menerusi TikTok.
LAKUKAN aktiviti yang menjadi minat.
Penulis tidak mengharap ganjaran daripada hasil kerja penulisan lirik itu, jika ada rezeki, alhamdulillah tapi ia lebih kepada kerana minat dan untuk mengisi masa usia emas.
Apa yang penting, penulis seronok dengan apa yang dilakukan.
Pada masa sama, persediaan untuk berhijrah ke alam abadi apabila sampai masanya, juga perlu dilakukan.
Apapun, hidup jangan stres, nikmati usia tua anda dengan jiwa yang tenang kerana baki masa kita terlalu pendek untuk kita isi dengan kemarahan, kesedihan, kemurungan dan perkara negatif lain.
Itu cara
saya mengisi masa tua, anda pula bagaimana? - KitaReporters
