Bila pisau berbicara! 15 tahun galas amanah lakukan korban! Rewang Surau Al-Ukhuwah satukan kariah!
Published byBuat ibadah tak perlu takut. Masa menyembelih jangan ada rasa ragu-ragu, niat kerana Allah, patuh syariat dan jangan sesekali menganiaya haiwan.

“Kehandalan penyembelih bukan sekadar pandai memotong tetapi faham apa yang kita lakukan itu amanah kepada Allah dan ibadah korban dituntut agama.
“Sebab itu saya sentiasa menekan niat mesti kerana Allah dan setiap sembelihan dilakukan mengikut syariat,” kata Imam II Surau Al-Ukhuwah Seksyen 8 Bandar Baru Bangi, Selangor, Mohd Tarmizi Othman yang sudah lebih 15 tahun menjadi "tukang sembelih" lembu korban setiap kali Aidiladha.
Bagi lelaki berusia 55 tahun itu, tugas menyembelih haiwan korban bukan sekadar kerja fizikal menggunakan tenaga dan kemahiran, sebaliknya ibadah yang menuntut ilmu, ketelitian serta tanggungjawab besar di sisi agama.

Daging lembu yang dilapah akan dipotong kecil supaya mudah untuk dibungkus dan diagihkan kepada golongan memerlukan.
Beliau berkata, untuk menjadi penyembelih yang baik, seseorang itu perlu mengutamakan tiga perkara utama iaitu ilmu hukum, kemahiran teknikal dan adab terhadap haiwan.
"Saya pernah berguru dengan guru agama di Madrasah Lubuk Tapah, Kelantan dan banyak belajar mengenai adab serta petua ketika melakukan sembelihan.
“Antara pesanan guru saya, banyakkan membaca ayat al-Quran dan pastikan cengkaman pada parang atau pisau benar-benar kuat supaya tidak mudah terlepas.
“Guru berkenaan juga mengajar beberapa petua orang lama seperti meletakkan mata pisau sedikit bergesel pada kulit bahagian hidung supaya daging yang disembelih nanti tidak berminyak dan lebih lembut manakala untuk mengelak lalat menghurung daging, lebihan darah pada pisau pula dilap pada kulit badan lembu.
“Petua itu nampak ringkas, tetapi bagi orang lama ia antara pengalaman yang diwariskan turun-temurun dan saya sendiri masih mengamalkannya sampai ke hari ini,” katanya.

Mohd Tarmizi Othman

Lembu yang baru disembelih, dagingnya perlu diproses secepat mungkin bagi memastikan kesegarannya kekal.
Beliau juga menambah ilmu penyembelihan melalui pembacaan buku, menonton video dan melihat sendiri orang lama melakukan ibadah korban.
Lembu pertama yang disembelih ketika beliau berusia 33 tahun dengan pemantauan rapi gurunya.
“Ketika itu saya sendiri menawarkan diri. Alhamdulillah ia dapat dilakukan dengan baik. Mula-mula sembelih seekor dulu, lama kelamaan keyakinan datang sendiri.
"Saya juga menjadi anak murid penaung Surau Al-Ukhuwah, Prof Madya Dr Tajul Anuar Jamaluddin. Tokoh itu banyak mengajar teknik dan kaedah penyembelihan yang betul mengikut syariat Islam sejak surau berkenaan beroperasi kira-kira 15 tahun lalu.
"Sepanjang tempoh itu, saya pernah menyembelih sehingga 10 ekor lembu dalam sehari. Jika ikut kiraan kasar, lebih 150 ekor lembu saya sembelih sepanjang terbabit dalam ibadah korban,” katanya.

Kehadiran warga asing membantu melapah dan memotong daging menjadikan kerja-kerja korban lebih mudah dan cepat siap.

Anak-anak yang hadir mendapat banyak pengalaman baru mengenai kerja-kerja korban seperti sembelihan, melapah dan proses-proses lain yang berkaitan.
Bagi memastikan sembelihan berjalan lancar, Mohd Tarmizi menitikberatkan penggunaan pisau yang benar-benar tajam.
"Saya memiliki tiga bilah pisau bersaiz 10 inci termasuk buatan Turki, Switzerland dan satu ditempah khas dari Johor menggunakan besi rel kereta api.
“Pisau kegemaran saya buatan Turki kerana matanya cukup tajam. Pisau Swiss paling mahal, lebih RM300, dua lagi saya guna apabila diperlukan.
"Bila pisau tajam, potongan lebih cepat, haiwan kurang sakit dan darah keluar dengan lebih lancar,” katanya.

Kesempatan untuk bergambar tidak dilepaskan sukarelawan program korban Surau Al-Ukhuwah tetapi tugas melapah tetap dilakukan sehingga selesai.

Bermain dengan daging mentah dan darah tidak dipedulikan sukarelawan korban asalkan dapat bergambar bersama rakan-rakan.
Menurutnya, keadaan tempat sembelihan juga perlu diberi perhatian termasuk memastikan kawasan tidak licin dan selamat.
"Pasukan pembantu memainkan peranan besar ketika proses merebahkan haiwan, biasanya seorang pegang kepala, beberapa orang pegang badan dan kaki. Jika terlalu ramai mengerumuni, haiwan jadi panik.
"Ketika sembelihan, kedudukan badan penyembelih perlu stabil selain mengelakkan berada terlalu rapat dengan kaki lembu. Pisau perlu dipegang dengan kemas dan yakin.
“Gerakan mesti kemas, jangan ragu-ragu. Penyembelih yang baik tak gopoh, tenang walaupun lembu meronta,” katanya.

Inilah keseronokan program korban setiap tahun kerana dapat berkumpul dan merapatkan ukhuwah bersama rakan-rakan lain dalam kariah yang sama.

Relaks sekejap untuk bergambar sambil minum dulu sebelum menyambung kerja-kerja korban sehingga selesai.
Beliau turut melihat golongan muda kini semakin berminat mempelajari teknik penyembelihan.
"Anak lelakinya sendiri menunjukkan minat namun latihan dimulakan dengan menyembelih ayam terlebih dahulu.
“Saya alu-alukan lebih ramai anak muda belajar. Ini kerja syariat dan perlu ada pelapis,” katanya.

Suasana program korban seolah-olah seperti rewang besar sebuah kenduri kampung, masing-masing menjalankan tugas tanpa disuruh.

Muhammad Aidi Amin Dir
Sementara itu, Pemangku Pengerusi Surau Al-Ukhuwah Seksyen 8 Bandar Baru Bangi, Mohammad Aidi Amin Dir berkata, program korban tahun 2026 ini berlangsung cukup meriah dan luar biasa.
Beliau berkata, suasana di surau berkenaan seolah-olah seperti rewang besar sebuah kenduri kampung. Masing-masing menjalankan tugas tanpa disuruh.
“Macam adik-beradik buat kerja bersama-sama malah kehadiran ramai anak muda dan remaja antara perkara paling menggembirakan saya sepanjang program berlangsung.
"Mereka ini bakal menjadi pelapis yang meneruskan legasi ibadah korban di surau Al-Ukhuwah. Saya juga gembira kerana ramai warga asing yang membantu melapah daging berbanding sebelum ini mereka hanya datang untuk mengambil bahagian daging," katanya.

Sukarelawan wanita tenaga penting di sebalik program korban kerana tanpa mereka bertanggungjawab menyediakan masakan untuk jemaah yang hadir.

AJK Korban, Fadzilah Meor Ahmad menyediakan dua periuk sup tulang tapi dalam tempoh beberapa jam sahaja makanan itu habis.
Dalam perkembangan sama, seperti tahun-tahun sebelumnya jumlah lembu korban 2026 ialah 10 ekor.
Tahun 2026 ini bekalan diambil dari Kelantan kerana harganya lebih murah, lembu yang ditawarkan lebih besar dan hasilnya jumlah daging yang diperolehi lebih banyak.
"Namun, kemeriahan yang tercipta jauh lebih besar daripada jumlah itu. Konsep surau kami mesra musafir dan terbuka kepada semua menyebabkan kehadiran ke program korban ini luar biasa.
"Penerima agihan bukan sahaja dalam kalangan ahli kariah tetapi membabitkan asnaf serta warga asing dari Pakistan, India, Bangladesh dan Indonesia.
"Sebaik selesai ibadah korban, ahli kariah menunaikan solat berjemaah sebelum menikmati jamuan sup tulang dan menerima daging korban," katanya.

Warga asing sanggup beratur dalam cuaca panas semata-mata untuk mendapat sumbangan daging korban.

Setiap warga asing yang mengambil sumbangan daging korban perlu mencelup jari dalam dakwat bagi memastikan tidak ada sesiapa mengambil dua kali.
Beliau mengulangi bahawa petugas yang hadir tidak menerima sebarang upah dan semuanya dilakukan secara sukarela.
"Bagi saya semangat gotong-royong seperti itu semakin sukar ditemui namun masih subur di Surau Al-Ukhuwah. Apabila melihat mereka datang membantu dengan senyum dan penuh semangat, kami dalam kalangan AJK terus hilang penat.
“Itu kepuasan sebenar. Ini kali keempat selepas PKP penyembelihan dilakukan di sini. Sebelum ini, lembu disembelih di tempat pembekal tapi ia mengambil masa yang lama sehingga malam baru selesai proses agihan daging.
Aidi berkata, pihaknya berharap program korban di surau berkenaan dapat diteruskan sampai bila-bila malah beliau akan mencadangkan jumlah sedia ada ditambah pada masa depan bergantung kepada kemampuan dan bekalan semasa.
“Harapan kami biarlah tradisi korban dan semangat rewang ini terus hidup. Sebab Aidiladha bukan sekadar ibadah, tetapi mengikat ukhuwah seluruh kariah,” katanya.

Selepas selesai melakukan kerja-kerja rewang untuk memasak kepada jemaah, inilah masa untuk bergambar sebagai kenang-kenangan.
