Bila ABAH Bersuara| Nyahkan pemandu mabuk, khayal dadah dari jalan raya! Kenakan hukuman setimpal!
Published byPEGAWAI tentera direman dari 24 hingga 28 April 2-26 untuk siasatan kerana memandu mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki warga Bangladesh, Muzahid Millad, 22 tahun. Polis telah membuka kertas siasatan kes bunuh terhadapnya.

Kredit foto: FB Afnan Hamimi Taib Azamudden
Kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu melawan arus merempuh
kenderaan pelbagai guna (MPV) e-hailing di Lebuh Raya MEX (Lebuh Raya Maju (MEX) atau Lebuh Raya Kuala Lumpur - Putrajaya) dari arah Salak
Selatan menuju Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada awal pagi 23 April 2026.
Mangsa baharu sampai ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA)
bersama isterinya, Nafisa Tabassum Adiba, 20, dan dalam perjalanan ke ibu
negara untuk bercuti.
Ini sekadar contoh terbaharu fenomena pemandu mabuk sehingga meragut nyawa.
Kini ia bagai kejadian lumrah di Malaysia. Sebelum ini banyak kes berlaku mengakibatkan insan tidak berdosa hilang nyawa atau cedera parah gara-gara ‘raksasa’ ini di jalan raya.
Gejala ini seperti juga memandu di bawah pengaruh dadah. Pemandu
khayal juga adalah ancaman besar kepada pengguna jalan raya lain kerana menyebabkan
kematian dan cedera parah.
Kedua-dua spesis pemandu ini amat berbahaya. Kemalangan maut berpunca daripada mereka sangat membimbangkan.
Sudah banyak tragedi berlaku tetapi ia tidak berkurangan, sebaliknya makin kerap.
Di sana sini ada sahaja pemandu mabuk atau khayal dadah mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain. Sayangnya kita tidak kenal, tidak tahu siapa mereka sehinggalah tragedi berlaku.

Kemalangan maut akibat pemandu mabuk di Lebuh Raya MEX dari arah Salak Selatan ke jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada awal pagi 23 April, mengorbankan seorang lelaki warga Bangladesh, Muzahid (gambar bulat).
Seringkali diingatkan, jangan memandu jika mabuk atau di bawah pengaruh dadah. (Yang terbaik ialah tidak minum alkohol atau jadi penagih dadah). Tetapi ingatan ini tidak dipedulikan.
Pemandu tetap degil memandu walaupun sedar tidak berada dalam kedudukan boleh memandu. Mereka sedar perlakuan mereka salah.
Mereka membuat tafsiran sendiri sama ada boleh memandu atau
tidak. Walaupun badan terhoyong hayang, mata kelabu, minda berpusing tetapi
berkeras menganggap diri boleh memandu. Tafsiran yang dibuat ketika mabuk atau khayal
sangat berbahaya.
Maka terlepaslah seorang raksasa di jalan raya yang akhirnya
membinasakan kehidupan orang lain. Apa yang si pemabuk ini peduli dengan
keselamatan orang lain? Yang difikir hanya kepentingan diri sendiri. “Orang
lain mati bukan masalah aku!”
Jika memandu ketika mabuk atau
khayal dan hanya mereka sahaja menanggung akibat, tidak mengapa juga. Tetapi ini
melibatkan orang lain yang tidak berdosa jadi mangsa.
Apa lebih parah, ada pula yang memberi alasan, mereka hanya memandu mabuk bukan mahu membunuh orang!!
Insan tidak berdosa ini mungkin seorang suami, seorang bapa, seorang isteri atau anak kepada seseorang. Berat trauma yang terpaksa ditanggung oleh ahli keluarga kerana pemergian orang tersayang, apa tah lagi jika dia ‘bread winner’ keluarga.

Oleh kerana tragedi melibatkan pemandu mabuk dan khayal sudah
kerap berlaku dan masih terus berlaku, amat wajar mereka yang bersalah
dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran, juga ingatan kepada orang lain.
Pastikan hukuman tersebut benar-benar berat untuk mengajar pemandu terlibat dan memberi keinsafan untuk tidak mengulangi kesalahan.
Juga diharap hukuman tersebut jadi ingatan kepada pemandu lain untuk tidak melakukan kesalahan sama. Itu pun jika mahu insaf dan beringat.
Kepada pemandu mabuk dan khayal yang mengulangi kesalahan,
tindakan sangat berat mesti dambil kerana mereka tidak Insaf dan tidak berubah.
Batalkan lesen, jangan dibenar memandu sepanjang hayat.
Diharap langkah ini membantu membersihkan jalan raya daripada
ancaman pemandu mabuk dan tahi dadah. Mereka ini adalah raksasa yang tidak
seharusnya dibenarkan bermaharaja lela di atas jalan mengancam orang lain. Nyahkan
mereka. - KitaReporters
