Kira-kira lebih 50 anggota bomba sanggup bergadai nyawa apabila dikerahkan ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran demi memastikan keselamatan lebih 5,000 penduduk di Kuala Abang, Dungun terjamin.  



Gambar-gambar ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) 


Akibat kemarau yang berpanjangan sejak beberapa bulan lalu, kejadian kebakaran melibatkan hutan tanah gambut seluas kira-kira 32 hektar merisaukan penduduk setempat sejak dua minggu lalu.  

Penulis melihat keadaan ini amat membimbangkan para penduduk sekitar apabila cuaca panas dan kering berserta angin menambahkan lagi kesukaran pihak bomba memadamkan kebakaran terbuka berkenaan. 

Penulis sempat berbual dengan beberapa anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenai operasi pemadaman ini yang sehingga kini masih belum sepenuhnya pulih akibat cuaca yang masih panas dan hujan juga tidak turun akhir-akhir ini. 

Hutan paya gambut berkenaan yang terletak hanya beberapa kilometer dari rumah penduduk, premis perniagaan serta stesyen minyak menjadikan perasi pemadaman perlu dipercepat lagi dan dilakukan dengan berhati-hati.



Gambar-gambar ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)


Sejak sejak 25 April 2026, pihak bomba sudah mula menerbangkan helikopter bagi membantu operasi pemadaman kebakaran dari udara setelah operasi dari darat tidak berjaya sepenuhnya. 

Pasukan bomba dan penyelamat menggunakan khidmat helikopter bagi membantu operasi pemadaman kebakaran hutan paya gambut yang semakin merebak ke kawasan penempatan penduduk di Kampung Baru, Kuala Abang. 

Penulis juga sempat berhubung dengan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Terengganu, Mohd Izwan Hashim, dan beliau berkata, helikopter jenis Agusta AW139 dari Pangkalan Udara Wilayah Utara, Bertam, Pulau Pinang telah digerakkan bagi melaksanakan operasi pengeboman air di kawasan kebakaran yang sukar diakses pasukan darat. 

Beliau berkata bekalan air bagi operasi pengeboman air dari udara itu diperoleh daripada sumber air berhampiran lokasi kebakaran, sekali gus membolehkan pengisian semula dilakukan dengan cepat dan berterusan bagi meningkatkan keberkesanan pemadaman. 

Mohd Izwan berkongsi lagi, kebakaran hutan berkenaan yang berlaku sejak 25 April 2026 lalu itu dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka tidak terkawal, kini telah merebak meliputi kira-kira kawasan 32 hektar dan masih dalam pemantauan pasukan bomba di lokasi kebakaran. 



Gambar-gambar ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)


Sementara itu, penduduk berdekatan menzahirkan rasa bimbang dengan keadaan ini terutama kepada warga emas dan kanak-kanak yang terdedah kepada risiko tinggi.

Sebarang aktiviti luar juga dihentikan serta merta sejak 20 April 2026 lalu oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Kamsah @ Kamal Mohamed di mana pemakluman mengenai perkara itu telah diedarkan kepada ke semua sekolah di negeri ini. 

Marilah kita sama-sama doakan semoga keadaan kebakaran ini segera dapat dipadamkan dan seluruh penduduk berdekatan dapat merasa lega serta tenang untuk menjalankan aktiviti harian seperti biasa. 

Terima kasih abang bomba yang banyak berkorban nyawa, masa serta tenaga bagi memadamkan kebakaran hutan tanah gambut ini yang sudah hampir 10 hari berlarutan. - KitaReporters



Gambar-gambar ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)

11
10
0
21
0

Copy Link: