BEBERAPA hari menjelang sambutan Aidilfitri, apartmen kos sederhana Blok A Apartment Seri Seroja, Bukit Beruntung, Rawang, Hulu Selangor menjadi tumpuan ramai kerana di sini terletak Mahligai Barokah (MB), lokasi "free market” yang diasaskan seorang suri rumah, Nor Hafizah Taslim.



MB memberi peluang orang ramai mengambil pakaian dan pelbagai barangan lain secara percuma tanpa sebarang syarat. 

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, ruang kecil itu semakin meriah dengan kehadiran ibu-ibu, pasangan muda dan keluarga yang mencari pakaian untuk dijadikan baju raya untuk keluarga mereka.

"Apabila melihat wajah mereka pulang dengan senyuman, ia cukup menggembirakan saya. Bila keluar dari sini, tak pernah ada yang cakap tak happy. Semuanya senyum dan tidak putus-putus ucap terima kasih.

"Dah hampir Aidilfitri ini, setiap senyuman yang pulang membawa baju raya dari Mahligai Barokah menjadi bukti bahawa kebaikan kecil kami mampu memberi makna besar kepada kehidupan orang lain," katanya yang berasal berasal dari Tanjung Tualang, Perak.



Beliau berkata, kehidupan di kampung yang serba sederhana banyak membentuk jiwanya hari ini. Pengalaman itulah yang memberi inspirasi kepada Hafizah membantu orang lain dengan cara yang sama iaitu berkongsi apa yang masih elok untuk dimanfaatkan.

“Dulu kami 12 adik-beradik pakai apa yang ada saja. Baju dari abang atau kakak akan turun kepada adik-adik sampai betul-betul tak boleh pakai lagi.

“Tapi kami tak pernah berlapar sebab ayah rajin menjala ikan dan mencari pucuk paku. Makanan sentiasa ada walaupun duit tak banyak,” katanya mengimbau kenangan zaman kecil.



Baju kurung yang masih elok diberikan percuma kepada sesiapa untuk Aidilfitri ini.


Mahligai Barokah ditubuhkan pada tahun 2020 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pada masa itu Hafizah menerima banyak sumbangan pakaian terpakai dan barangan dapur daripada kenalan.

Daripada membiarkan barangan itu disimpan, dia bersama beberapa rakan mengagihkannya kepada penduduk sekitar secara percuma. 

Apa yang pada awalnya hanya inisiatif kecil dalam komuniti akhirnya berkembang menjadi sebuah "pasar terbuka" yang dikenali ramai.

"Jika dahulu hanya penduduk pangsapuri ini datang, kini orang ramai dari pelbagai tempat seperti Shah Alam, Puchong, Ampang, Serendah, Batang Kali, Rawang dan Gombak sanggup datang ke Bukit Beruntung untuk mendapatkan keperluan di situ.

"Konsep MB cukup mudah, sesiapa sahaja boleh mengambil barangan yang diperlukan. Walaupun pada awalnya lebih tertumpu kepada golongan asnaf, saya percaya bantuan sepatutnya terbuka kepada semua.


Hafizah juga selalu mendapat bantuan anak-anak untuk menguruskan Mahligai Barokah.


Orang ramai boleh memilih baju mana yang mereka suka secara percuma.


“Kadangkala ada pasangan baru kahwin datang ambil tilam, stroller bayi atau pinggan mangkuk. Ada juga ibu yang beritahu sejak belum kahwin sampai ada anak pun, mereka tak pernah beli baju baharu. Semua ambil dari sini.

“Bila dapat berjimat, duit itu boleh guna untuk perkara lebih penting seperti pendidikan anak, makan minum atau sewa rumah,” katanya.

Antara barangan yang sering menjadi pilihan termasuk pakaian, kasut, tudung, barangan bayi, lampin, walker dan pelbagai kelengkapan rumah. 

Menariknya, ada juga barangan yang “bertukar tangan” beberapa kali, contohnya walker bayi. Bila anak dah besar, mereka hantar balik ke sini supaya orang lain pula boleh guna.

Hafizah berkata, sukarelawan MB banyak membantu mengemas, menyusun dan menggantung pakaian. Semua sukarelawan, tak ada bayaran. Tapi ada juga dermawan yang menyumbang beras atau makanan untuk mereka.


Pinggan mangkuk juga ada di Mahligai Barokah. 


Pilih beg tangan wanita untuk Aidilfitri ini, semuanya percuma.


"Sumbangan kepada MB juga datang dari pelbagai tempat, malah ada yang dihantar dari Johor. Kami pernah menyalurkan kepada mangsa bencana termasuk bantuan kemanusiaan hingga ke Aceh melalui pertubuhan bukan kerajaan. 

"Justeru, bagi memastikan penerima mendapat barangan berkualiti, MB menetapkan beberapa syarat kepada penyumbang, antaranya pakaian mestilah masih elok, bersih dan tidak berbau.

“Jika boleh dibasuh atau diseterika. Bila sampai sini kami terus gantung. Tapi andai ada bau hancing atau bau kucing memang kami tolak, manakala barangan tidak sesuai, akan dihantar untuk kitar semula supaya tidak dibuang merata-rata," katanya.

Dalam usaha membantu masyarakat, Hafizah mengakui pernah menerima aduan mengenai segelintir individu yang mengambil barangan untuk dijual semula. Jika ada aduan, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan.

“Jika ada kes seperti itu, kami akan ‘blacklist’ dan keluarkan dari kumpulan. MB beroperasi beberapa hari seminggu dari jam 2 petang hingga 5 petang dan maklumat operasi akan dimaklumkan melalui media sosial mereka," katanya.



Selipar dan pelbagai jenis kasut juga ada di Mahligai Barokah.


Bagi Hafizah, harapannya cukup besar. Beliau mahu lebih ramai komuniti dan golongan muda mencontohi konsep ini.

“Saya harap ada anak muda sambung usaha ini suatu hari nanti. Jika setiap apartmen atau taman ada free market seperti ini, banyak masalah kewangan masyarakat boleh dibantu.

"Bagi saya, Mahligai Barokah bukan sekadar tempat mengambil pakaian percuma tapi ia ruang menghubungkan manusia melalui semangat berkongsi, empati dan keikhlasan.

"Terima kasih kepada penyumbang yang sentiasa "support" MB. Kami sekadar menjalankan amanah orang lain dan disampaikan kepada mereka yang memerlukan. 

"Saya mengalu-alukan jika ada suri rumah yang berminat menjadi sukarelawan atau mengadakan konsep seperti ini, insya-Allah selesai masalah kewangan," katanya. - KitaReporters



Baju dan permainan kanak-kanak boleh diperolehi di Mahligai Barokah secara percuma

21
11
0
11
0

Copy Link: