Teruja penulis melihat sebuah video tular pada 10 Mei 2026 baru-baru ini memaparkan aksi sekumpulan penunggang motosikal skuter yang menyertai aktiviti konvoi bermotosikal di Kuala Terengganu dengan memakai baju kelawar.




 


Video itu memaparkan aksi sekumpulan pemuda memakai baju kelawar bermotifkan batik seperti mak-mak kita sambil menunggang motosikal beramai-ramai. Teringat penulis baju kelawar yang baru disidai di ampaian pagi ini.  

Penulis sempat menemui salah seorang penunggang motosikal berkenaan yang hanya mahu di kenali sebagai Amad yang menyertai International Scooter Mega Gathering (Perhimpunan Mega Skuter Antarabangsa) 2026 yang diadakan di Dataran Shahbandar Kuala Terengganu selama tiga hari bermula pada 8 Mei hingga 10 Mei 2026 lalu.


 


Menurut Amad, program tersebut telah berjaya mengumpulkan kira-kira 100,00 orang pemilik dan peminat motor skuter dari pelbagai model dan warna dari seluruh Malaysia. 

Beliau yang menunggang motosikal dari Segamat ke Kuala Terengganu sejauh 371 kilometer menunggang motosikal hampir tujuh jam semata-mata untuk memeriahkan program perjumpaan skuter antarabangsa yang diadakan sekali dalam setahun itu. 

Ini adalah kali pertama beliau serta rakan-rakan menyertai program perjumpaan ini di Kuala Terengganu di mana mereka menaiki motosikal jenis skuter Xmax85K secara berkonvoi dari Segamat.



Mereka memakai baju kelawar tersebut hanyalah dengan niat ingin memeriahkan lagi suasana dan meraikan budaya serta seni batik yang menjadi kebanggaan negeri Terengganu selain itu ingin menambat hati isteri dan mendapatkan ‘lesen’ (persetujuan) daripada isteri yang ditinggal sekejap di rumah demi untuk berkonvoi motosikal ini. 

Selain itu, niat memakai pakaian tersebut hanya untuk mencipta kelainan dan penerimaan daripada orang ramai adalah baik di mana sepanjang perjalanan dari rumah persinggahan ke tapak program mereka menjadi perhatian orang ramai.



Tidak kurang juga yang teruja merakam gambar dan video serta meminta untuk bergambar bersama untuk dibuat kenang-kenangan. 

Alhamdulillah tiada komen-komen negatif yang kami terima kerana warga maya kini lebih terbuka dan faham ini adalah untuk memeriahkan acara sahaja, kata Amad. 

Baju kelawar ini, katanya lagi, juga turut dibeli untuk dibawa pulang sebagai buah tangan dari Terengganu kepada isteri, ibu serta adik perempuan mereka di rumah selain keropok lekor, satar, payung replika penyu dan ole-ole khas dari Pantai Timur.



Harapan penulis adalah penunggang motosikal yang menyertai konvoi bermotosikal seperti ini lebih-lebih lagi yang jaraknya jauh seperti dari utara ke selatan atau ke Pantai Timur harus senantiasa berhati-hati semasa menunggang, sediakan tentatif perjalanan yang betul, mematuhi undang-undang jalan raya dan sentiasa berhemah semasa pemanduan. - KitaReporters

 

17
15
0
17
0

Copy Link: