Jom wakaf! Hanya RM250 satu lot! Pembinaan masjid baharu Al-Islahiah, Kuang! 18,500 lot sahaja!
Published bySemua kaum Muslimin dan Muslimat dipelawa untuk berwakaf pada nilai RM250.00 satu lot bagi pembinaan masjid baharu Al-Islahiah, Kuang. Tawaran terhad kepada 18,500 lot sahaja.
Pembinaan masjid baharu itu akan bermula pada bulan Mei ini.

“Kami sebelum ini menyasarkan kutipan sebanyak RM12 juta bagi pembinaan masjid baharu itu tetapi kos pembinaan telah meningkat disebabkan kenaikan kos barangan binaan dan terkini, dengan kenaikan harga diesel, harga binaan diyakini akan turut naik lagi.
“Wang yang terkumpul setakat ini melebihi RM9 juta. Walaupun ia belum mencukupi, pembinaan perlu dimulakan kerana bangunan sedia ada sering dinaiki air dan kapasiti yang kecil iaitu lebih kurang untuk 800 orang jemaah sekarang, berbanding masjid baharu yang boleh muat 1,600 orang Jemaah.
“Walaupun pembinaannya memberi manfaat langsung kepada anak kariah Kampung Damai dan Kampung Cempedak dan penduduk Kuang, umumnya, kami amat berharap umat Islam akan bermurah hati bersama-sama membantu kami membina masjid baharu ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Baharu Al-Islahiah, Hamidun Ab. Jalil.

Beliau mengajak orang ramai untuk bersama-sama menularkan pelawaan wakaf pembinaan masjid baharu di atas tapak berusia melebihi 100 tahun itu atas dasar setiap mereka yang menyumbang dan menularkan pelawaan itu pasti juga akan mendapat ganjaran pahala.
Ini adalah kali keempat Masjid Al-Islahiah dibina baharu. Kali pertama pada tahun 1920-an, kali kedua pada tahun 1950 dan kali ketiga pada tahun 1965 yang kemudiannya dirasmikan oleh Sultan Selangor pada tahun 1968.
Daripada kawasan masjid seluas 6,609.4 meter persegi (1.63 ekar) bangunan masjid baharu akan dibina atas tapak seluas kira-kira 3,809 meter persegi (0.94 ekar) dengan reka bentuk yang unik tanpa kubah bagi memaksimumkan ruang binaan. Ia dibina tiga tingkat dan setiap tingkat mempunyai fungsi masing-masing untuk benar-benar menyokong masjid sebagai pusat ibadah dan pusat komuniti.

Hamidun Ab. Jalil
Menurut Hamidun, Aras Tanah mengandungi Pejabat Pentadbiran dan Dewan Serba Guna, Aras Satu pula mengandungi Dewan Solat Utama dan Ruang Solat Terbuka untuk jemaah lelaki dan perempuan, manakala Aras Dua ialah Ruang Solat Terbuka bagi jemaah lelaki dan perempuan.
Beliau berpesan, jika sumbangan dilakukan melalui pindahan bank, penyumbang diminta menghantar salinan slip deposit bank ke nombor-nombor telefon berikut: Hamidun Ab. Jalil (013-3372 524); Supandi Samin (014-2656 607) atau Zainuddin Mohammad (019-2724 329).
Untuk maklumat lanjut bagi memudahkan orang ramai menyumbang dan berwakaf, sila klik capaian berikut https://masjidalislahiahkuang.com . Sijil wakaf akan diuruskan untuk dihantar kepada para penyumbang. - KitaReporters

