Ini rawatan ke apa? Bayi digoncang, diketuk! Kononnya rawatan untuk tidur nyenyak! Si ibu dikecam!
Published byAmalan mendapatkan rawatan alternatif selain perubatan moden bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan masyarakat Nusantara.
Sejak dahulu lagi, sesetengah keluarga masih mempercayai kaedah tradisional seperti urutan, rawatan menggunakan herba, bacaan doa atau bantuan pengamal tertentu bagi merawat pelbagai penyakit.

Namun, dalam era moden yang serba maju dan dipenuhi
maklumat kesihatan yang sahih, tindakan membawa kanak-kanak lebih-lebih lagi
bayi ke rawatan tidak bertauliah sering mendapat kritikan, khususnya apabila
kaedah yang digunakan dilihat bersifat ekstrem dan berisiko.
Tular dalam media sosial satu video dimuat naik oleh seorang wanita yang memaparkan anak kecilnya dibawa menjalani rawatan oleh seorang pengamal perubatan alternatif. Kejadian dipercayai berlaku di negara jiran, Indonesia.
Video tersebut mendapat sebanyak 5.1 juta tontonan, 13.1k komen dan 83.7k tanda suka.
Dalam kapsyen, wanita tersebut meluahkan rasa syukur kerana mendakwa anaknya kini tidur lebih nyenyak selepas sesi rawatan itu, selain memaklumkan mereka akan kembali bertemu pengamal tersebut pada hari berikutnya.
“Bismillah, jadualnya adik jumpa kyai lagi. Alhamdulillah kalau malam dah tidur nyenyak ya dek, sampai jumpa hari Khamis lagi ya kyai,” tulisnya ringkas.

Namun, apa yang mencetuskan kemarahan netizen bukanlah pada kepercayaan tersebut semata-mata, tetapi teknik rawatan yang dipaparkan dalam video berkenaan.
Bayi tersebut dilihat melalui proses yang agak kasar termasuk ditekan, digoncang dan diketuk menggunakan objek tertentu (kelihatan seperti gumpalan sirih) sehingga menimbulkan persoalan sama ada ia benar-benar selamat atau sebaliknya.

Lebih mengundang reaksi apabila ibu tersebut dilihat tidak mengendahkan langsung teguran dan kebimbangan yang dibangkitkan oleh orang ramai.
Walaupun ruangan komen dibanjiri nasihat serta amaran daripada pelbagai pihak termasuk petugas kesihatan, tiada sebarang tanda bahawa beliau mahu menghentikan rawatan berkenaan.
Malah, kapsyen yang menyatakan akan kembali semula pada sesi berikutnya seolah-olah menunjukkan keyakinannya terhadap kaedah tersebut tetap tidak berubah.

Rata-rata netizen meluahkan rasa terkejut, marah dan simpati terhadap bayi tersebut. Malah, ada yang menyifatkan tindakan itu sebagai keterlaluan dan berpotensi membahayakan.
“Tolonglah, sesiapa doktor atau bidan boleh jelaskan tak sama ada tindakan ini baik atau tidak untuk bayi?” tulis seorang netizen yang jelas kebingungan.
Lebih tegas, ada juga yang menggesa agar perkara itu
dilaporkan kepada pihak berkuasa.
“Ini boleh dilaporkan tak? Ya Allah…” komen seorang lagi netizen yang meraih puluhan ribu tanda suka.

Seorang pengguna lain pula tidak mampu
menyembunyikan emosinya apabila menulis, “Kak, astaga… tolong hentikan!”
Dalam masa sama, persoalan mengenai latar belakang
ibu tersebut turut dibangkitkan.
“Kak, pendidikan terakhir apa? Maaf tanya serius,”
soal seorang netizen, mencerminkan kebimbangan terhadap tahap kesedaran ibu
berkenaan.
Seorang petugas kesihatan turut tampil memberikan
pandangan dan mencadangkan tindakan lanjut.
“Ini di daerah mana ya? Boleh bantu jawab? Supaya boleh ditag Dinas Kesihatan untuk pemantauan. Saya tenaga kesihatan dan sangat sedih melihatnya,” tulisnya.

Tidak kurang juga yang cuba memberi amaran tentang kesakitan yang mungkin dialami bayi tersebut.
“Itu sakit… kasihan sangat,” luah seorang netizen.
“Dia tidur nyenyak sebab penat menangis kesakitan,”
tambah netizen lain, menyanggah dakwaan bahawa bayi tersebut semakin selesa
selepas rawatan.
Ada juga yang menyindir secara sinis.
“Ya memanglah nyenyak, lepas menangis sampai menjerit macam tu,” tulis seorang netizen.

Namun begitu, di sebalik kecaman hebat, terdapat juga segelintir netizen yang tampil mempertahan ibu tersebut dan pengamal rawatan berkenaan. Ada yang berpendapat bahawa kaedah tradisional tidak seharusnya terus dipandang negatif.
“Lihat komen pun pelik, ini kan ibu F**** ahli terapi,” tulis seorang netizen yang cuba membela.
Pandangan itu bagaimanapun dibalas oleh netizen lain
yang tetap mempertikai keselamatan kaedah tersebut, terutama apabila
melibatkan bayi.
“Doktor pun boleh salah, apatah lagi yang bukan
pakar. Itu nampak menyakitkan,” balas seorang netizen.
Perbincangan semakin hangat apabila ada yang
membandingkan dengan alternatif lain yang lebih selamat seperti rawatan spa
bayi.
“Ada baby spa, ibu. Anak boleh relaks tanpa perlu menjerit macam itu,” cadang seorang netizen.

Sekiranya insiden seumpama ini berlaku di Malaysia, tindakan undang-undang boleh diambil bergantung kepada tahap kecederaan dan unsur kecuaian terhadap kanak-kanak.
Di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, mana-mana penjaga yang didapati mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya boleh disiasat dan dikenakan tindakan.
Selain itu, pihak seperti Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM) mempunyai bidang kuasa untuk memantau serta mengambil tindakan
terhadap pengamal perubatan yang tidak berdaftar atau menjalankan rawatan
meragukan. pada masa sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga berperanan
melindungi kebajikan kanak-kanak sekiranya terdapat laporan penderaan atau
pengabaian.
Orang awam pula boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia sekiranya mengesyaki berlaku penderaan atau tindakan yang boleh mengancam keselamatan bayi.

Pakar kesihatan di Malaysia juga sering menegaskan bahawa rawatan alternatif tidak salah sekiranya dilakukan oleh pengamal bertauliah dan tidak memudaratkan.
Namun, sebarang bentuk rawatan melibatkan bayi perlu mendapat nasihat doktor terlebih dahulu bagi mengelakkan risiko yang tidak diingini. - KitaReporters
