Tengku Amir Shah (berdiri depan, dua dari kiri) bersama anak-anak yatim dan pengurusan Pusat Jagaan Anak Anak Yatim dan Miskin Rukaiyah Sungai Merab, Kajang serta wakil penyumbang mengabdikan gambar kenangan sewaktu baginda menyerahkan Sumbangan Aidilfitri 2021 di pusat jagaan berkenaan. - Kredit foto : Media Selangor.


IMPIAN anak-anak yatim di Pusat Jagaan Kanak Kanak Yatim dan Miskin Rukaiyah, Sungai Merab, Kajang, Selangor bertemu Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah akhirnya tertunai.

Baginda mencemar duli untuk hadir ke pusat jagaan berkenaan untuk menyampaikan sumbangan Aidilfitri 1442H (2021M) dan sempat menyantuni serta beramah mesra dengan sebahagian daripada mereka serta kakitangannya.


Lagi cerita-cerita berkaitan anak yatim


Tengku Amir Shah juga pada kunjung ziarah tersebut turut meninjau keadaan di pusat jagaan berkenaan selain menyerahkan sumbangan hari raya yang memberi keceriaan dan kegembiraan buat anak-anak yatim berkenaan kerana dapat menatap wajah dan bersua muka secara dekat dengan baginda.

Malahan 33 orang anak-anak yatim dan miskin yang menjadi penghuni di situ turut diberikan duit dan baju raya.

Kehadiran Raja Muda Selangor kali ini menyerahkan sumbangan hari raya iaitu barang makanan, biskut raya, pelitup muka dan komputer riba bagi kegunaan pusat jagaan berkenaan. 

Komuniti Belia Selangor (SAY) di mana Tengku Amir Shah selaku penaung menyampaikan sumbangan menerusi Program Sunway Raya Cheer dengan kerjasama Sunway Group yang memasuki tahun keempat membabitkan 190 anak yatim dari empat buah rumah kebajikan di Selangor.


Raja Muda Selangor bersama para penyumbang membawa barangan untuk Sumbangan Aidilfitri ke Pusat Jagaan Kanak Kanak Yatim dan Miskin Rukaiyah di Sungai Merab, Kajang.


Raja Muda Selangor menyerahkan Sumbangan Aidilfitri untuk Pusat Jagaan Kanak Kanak Yatim dan Miskin Rukaiyah kepada Dr. Abdul Rahman Kurais (kanan).


Ketua pegawai Rksekutif SAY, Nurul Azwa Mohd Rodzi berkata, program melibatkan peruntukan hampir RM28,000 turut disumbangkan kepada Persatuan kebajikan dan Perlindungan Rumah Jalinan Kasih di Cheras, Pusat Jagaan Darul Sakinah Angkasa dan Rumah Anak Yatim bukan Islam, Shelter Home For Children di Petaling Jaya.

Menurutnya, serahan sumbangan tahun ini berbeza kerana pandemik COVID-19 di mana selalunya anak-anak yatim dibawa membeli belah pakaian raya tapi kali ini penganjur belikan dan dihantar kepada mereka.

Pengerusi, Pusat jagaan Kanak Kanak Yatim dan Miskin Rukaiyah, Dr. Abdul Rahman Kurais mengucapkan terima kasih kepada Raja Muda dan pihak penyumbang kerana dapat membantu meringankan beban dalam keadaan pandemik sekarang.

"Sumbangan bantuan ini sangat bermakna untuk pusat jagaan lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri," katanya.


Semasa Tengku Amir  Shah menyantuni anak-anak yatim di Pusat Jagaan Anak Anak Yatim dan Miskin Rukaiyah, Sungai Merab, Kajang. Dr Abdul Rahman Kurais (dua dari kanan) turut memberikan penerangan mengenai pengurusan operasi pusat jagaan berkenaan.


Dalam pada itu, pasangan pelakon, Fattah Amin dan Fazura yang menjadi duta jenama Bata pada hari yang sama meraikan anak-anak yatim Rumah Cahaya Kasih dengan membawa mereka membeli kasut raya di sebuah cawangan jenama berkenaan di Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Melalui hantaran dalam laman Instagramnya Fattah berkata, dia syukur kerana dapat meraikan anak-anak yatim berkenaan yang sebenarnya dirancang pada tahun lepas lagi, tetapi disebabkan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ia terpaksa ditangguh.

Malahan kedua-duanya menyifatkan pemberian kasut baharu itu sebagai rezeki Aidilfitri buat anak-anak yatim berkenaan.

"Sempena Syawal tahun (2021) ini mereka berpeluang memiliki kasut baharu dan mampu tersenyum bila menyambut hari raya nanti," ujarnya.

Malahan melalui laman Instagram tersebut memaparkan kedua-dua mereka melayani karenah anak-anak yatim tersebut dengan teruja dan bersemangat. - KitaReporters


Fattah Amin (kanan) dan Fazura melayani telatah anak-anak yatim dari Rumah Cahaya Kasih memgenakan kasut baharu di cawangan Bata di KLCC.


Fattah cuba membantu anak-anak yatim yang diraikannya mencuba kasut baharu untuk hari raya.


Antara paparan Instagram Fattah dan Fazura menunjukkan anak-anak yatim Rumah Cahaya kasih gembira dengan masing-masing diberikan sepasang kasut baharu untuk hari raya nanti.

2
1
1
0
0

Copy Link: