Diari Mama Masscom| Apakah nasib warga emas? Nasib caregiver pula? Bila Malaysia jadi negara menua!
Published byMenjelang tahun 2030, Malaysia akan secara rasmi menjadi sebuah negara menua.
Ini bukan ramalan kosong, tetapi unjuran berdasarkan data, iaitu apabila lebih 15% rakyat berumur 60 tahun ke atas, sesebuah negara itu diiktiraf sebagai "aging country" atau negara menua.

Hari ini, kita mungkin masih selesa melihat warga emas sebagai sebahagian kecil masyarakat.
Tetapi hakikatnya, mereka akan menjadi lebih ramai menjelang 2030 dan memerlukan infrastruktur yang sesuai untuk mereka di samping penjagaan yang terbaik
Pada tahun 2024, Malaysia mempunyai sekitar 3.9 juta warga emas, iaitu kira-kira 11.6% daripada populasi. Dalam tempoh hanya beberapa tahun lagi, angka ini dijangka melonjak kepada 5.8 juta orang menjelang 2030, mewakili lebih 15% penduduk negara.
Ini bukan sekadar peningkatan angka, tetapi adalah perubahan struktur masyarakat.
Negara kita semakin menua, tetapi sistem kita masih muda. Banyak perkara yang kita belum bersedia , umpamanya apabila jumlah warga emas meningkat, keperluan mereka juga berubah di mana kita akan dapati, lebih ramai pesakit strok, dementia dan penyakit kronik.
Ramai yang hilang keupayaan berdikari serta lebih ramai yang bergantung sepenuhnya kepada penjaga dan ahli keluarga. Umpamanya tempat-tempat seperti pusat penjagaan warga emas milik kerajaan dan day care centre (pusat jagaan harian) untuk warga emas. Tempat-tempat seumpama ini sangat kurang jika ada pun dimiliki pihak swasta dan mahal yurannya.
Caregiver atau penjaga pesakit pula jarang disokong, kadang-kadang ahli keluarga dan komuniti setempat juga tidak peduli mereka. Ramai terpaksa berjuang bersendirian.
Apa pun realiti hari ini sangat menyedihkan, anak-anak semakin sibuk mencari nafkah.
Ini bukan salah mereka. Tekanan hidup mereka masa kini sukar nak diukur, ditambah dengan beban menjaga ibu bapa yang sakit, manakala saiz keluarga semakin kecil kerana semakin ramai anak semakin banyak kos kehidupan yang ditanggung.
Dalam pada itu, kos penjagaan warga emas semakin tinggi dan paling menyedihkan, penjaga (caregiver) semakin keletihan secara fizikal dan emosi.
Tanpa kita sedari kita sedang menuju satu krisis senyap. Krisis yang tidak nampak jelas pada mata tetapi memecahkan keluarga dari dalam.

Pada hal yang sama, di sebalik setiap warga emas yang sakit, ada seorang caregiver yang menjaga walau mereka bukan profesional.
Mereka adalah anak, isteri, suami , adik beradik, ahli keluarga yang terpaksa belajar menjaga pesakit tanpa latihan, tanpa sokongan, dan sering tanpa pilihan. Mereka menanggung: tekanan emosi berpanjangan dan keletihan fizikal serta gangguan mental.
Dalam kes tertentu, mereka dipersalah apabila berlaku tragedi . Kita pernah melihat kes-kes di mana caregiver dituduh cuai, malah ada yang didakwa membunuh tanpa niat, sedangkan mereka adalah individu terakhir yang setia menjaga ketika semua orang menjauh.
Persoalannya: Adakah sistem kita memahami penderitaan mereka? Jika kita tidak bertindak sekarang bayangkan tahun 2030, ada jutaan warga emas yang sakit, ada ribuan keluarga yang bergelut dengan masalah penjagaan dan kehidupan mereka sendiri.
Sistem penjagaan yang tidak mencukupi. Mungkin lebih banyak kes warga emas yang terbiar, caregiver mengalami tekanan melampau. Mungkin juga akan berlaku konflik keluarga dan pepecahan institusi kekeluargaan.
Oleh itu Kerajaan perlu berani melakukan perubahan besar:
1. Tubuhkan Banyak Pusat Penjagaan Warga Emas Milik Kerajaan
Bukan sekadar rumah kebajikan, tetapi pusat lengkap dengan rawatan, rehabilitasi dan sokongan sosial.
2. Wujudkan Day Care Warga Emas di Setiap Daerah
Ini untuk menempatkan ibu bapa dijaga siang hari. Tujuan untuk memberi ruang kepada anak bekerja tanpa rasa bersalah.
3. Perkenalkan Akta Perlindungan Caregiver
Memberi elaun, perlindungan sosial dan sokongan mental kepada penjaga.
4. Latih Tenaga Kerja Penjagaan Profesional
Menjadikan penjagaan warga emas sebagai sektor pekerjaan rasmi dan dihormati.
5. Perluaskan Perumahan Mesra Warga Emas
Rumah dan komuniti yang selamat untuk mereka yang semakin uzur.

Kesimpulannya jika hari ini kita gagal menyediakan sistem yang menyokong warga emas dan caregiver menjelang 2030, kita bukan sahaja gagal sebagai pembuat dasar, tetapi juga menunggu satu krisis kehidupan yang akan mengancam keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dan negara. - KitaReporters
