Sejarah tercatat pada bulan Mac 2026 apabila buat pertama kalinya sebanyak 16 keluarga di enam kampung di sekitar Pulau Langkawi menerima zakat beras organik hasil daripada Model Padi Zakat Halalan Tayyiban yang ditanam di Kampung Ewa.


Beras organik varieti Ruby siap dibungkus vakum 1 kilogram untuk dijual.


Ketua Pelaksana Projek Padi Organik Kampung Ewa, Mohd Musthaqim Mohd Zaini, 36, berkata, keluarga asnaf daripada sejumlah enam kampung di sekitar Langkawi menerima zakat beras organik  iaitu daripada Kampung Ewa, Kampung Kuah, Kampung Kumpulan, Kampung Padang Lalang Ayer Hangat, Kampung Syed Nahar dan Kampung Pasir Hutan.

“Setiap keluarga menerima 1 kilo beras organik varieti ruby yang telah siap dibungkus vakum, hasil tuaian tiga daripada lima relung pertama projek perintis tersebut. Varieti ruby ini dilaporkan baik untuk pesakit barah, kencing manis dan darah tinggi

“Setiap relung menghasilkan kira-kira 400 kilogram beras, jadi zakat yang dikeluarkan ialah 5.5 kilogram sahaja bagi setiap relung menjadikan jumlah zakat yang dikeluarkan ialah 16 kilogram,” kata Mohd Musthaqim sambil menambah kata, ada dua relong padi yang masih belum dituai kerana tanaman dibuat secara berperingkat-peringkat.

Apabila ditanya apa perasaannya dapat memberi zakat beras daripada Model Padi Zakat Halalan Tayyiban itu, beliau berkata: “Perasaan kami sudah tentunya sangat bersyukur dan terharu kerana dapat menyampaikan zakat beras daripada padi yang kami tanam sendiri kepada golongan asnaf.

“Apabila kita sendiri yang usahakan daripada tanam sampai proses menjadi beras dan dapat lihat sendiri penerima yang memerlukan, ia mencetuskan satu rasa tanggungjawab bahawa zakat memang sangat penting dalam membantu meringankan beban mereka.

“Pada masa hadapan, kami ingin lihat lebih ramai umat Islam terus istiqamah menunaikan zakat sama ada dalam bentuk  beras atau kaedah lain yang dibenarkan.

"Mudah-mudahan dengan kesedaran itu kebajikan golongan asnaf akan lebih terjamin dan semangat saling membantu dalam masyarakat akan terus kuat,” kata Mohd Musthaqim melahirkan harapan.


Asnaf dan OKU, Abu Bakar Abdullah menerima zakat beras organik daripada Mohd Musthaqim Mohd Zaini.


Beliau yang juga pengasas Pertubuhan Amal Masyarakat Prihatin (PAMP) Langkawi, berkata, kumpulan 10 peserta projek perintis itu mula menanam padi pada bulan November 2025 dan padi masak selepas 3 bulan 10 hari.

“Sebagai pesawah baharu yang masih dalam proses belajar mengenali dan mengasah kemahiran yang baru diperolehi, penghasilan 400 kilogram beras organik bagi setiap relong boleh dikatakan pencapaian yang baik walaupun kami menyedari hasil setiap relung sepatutnya lebih tinggi

“Menurut penasihat teknikal kami, Kapten Zakaria Kamantasha, di bendang Sri Lovely Organic Rice Farm di Sik, Kedah, setiap relong menghasilkan hampir 2 tan beras organik setiap kali tuaian,” katanya  sambil berazam merealisasikan potensi penghasilan maksimum pada musim-musim akan datang.

Sebagai perbandingan, lazimnya di Kedah, penghasilan padi biasa beras putih ialah sekitar 4 hingga 5 tan sehektar bergantung kawasan dan musim. Satu relong Kedah bersamaan 0.288 hektar

Mohd Musthaqim berkata, daripada 10 peserta yang mengambil bahagian dalam projek perintis itu, ada yang bekerja waktu pejabat, ada yang berniaga dan ada yang menganggur jadi mereka mengambil  giliran mengerjakan sawah yang lazimnya dibuat secara gotong royong setiap hari sewaktu menanam, membanting, menuai dan membungkus vakum.

“Mereka yang berniaga biasanya mengerjakan sawah di waktu pagi hingga tengah hari, mereka yang bekerja pejabat mengerjakan sawah di waktu petang. 

Projek ini dilaksanakan dengan konsep kerjasama komuniti dan gotong-royong maka jika ada hasil lebihan jualan, ia diguna

kan untuk membantu peserta yang memerlukan serta menyokong kelangsungan projek pertanian ini.


Sebuah keluarga asnaf menerima zakat beras organik daripada wakil PAMP dengan disaksikan oleh Ahli Majlis Ketua Kampung bagi Kampung Tua Ayer Hangat, Langkawi, Zainuddin Harun (dua dari kanan).


“Sewaktu musim menanam dan menuai, semua peserta bekerja bergotong-royong secara berkumpulan. Padi akan ditanam dan dituai mengikut petak, biasanya antara 4 hingga 5 petak bagi setiap relung dan dikumpulkan untuk proses membanting bagi memisahkan padi daripada tangkai. 

"Kaedah ini memudahkan pengurusan hasil dan memastikan kerja dapat diselesaikan dengan cepat dan tersusun,” kata beliau menjelaskan gerak kerja kumpulan pesawah itu.

Menurut Mohd Musthaqim, sebahagian hasil padi diproses menjadi beras organik yang dijual pada harga RM30.00 sekilogram, manakala sebahagian lagi untuk tujuan kebajikan dan sumbangan kepada golongan asnaf. 

Hasil jualan dimasukkan semula ke dalam dana bagi menampung kos projek, membeli benih, baja organik serta untuk mengembangkan projek pada masa akan datang.

Beliau berkata, pada bulan Mei atau Jun 2026 ini, PAMP Langkawi akan meneruskan usaha menanam padi mengikut Model Padi Zakat Halalan Tayyiban ke kesemua baki 95 relong lagi bagi memperlengkapkan 100 relong (28.77) hektar yang diperuntuk oleh Exco Pertanian Kedah kepada PAMP.

“Bagaimanapun ia bergantung sama ada kami boleh memperoleh mesin menanam, mesin merumput, mesin mengerat padi, traktor untuk putar tanah yang kami mohon daripada pelbagai agensi kerajaan. 

"Tanpa mesin-mesin itu, kami tidak boleh membuka tanah bekas bendang itu kerana sebahagian besar sudah lama terbiar dan ditumbuhi rumput liar dan semak samun yang tebal.

“Semasa membuka dan membersihkan lima relung awal, kami bergotong royong membersihkan tanah secara manual dan juga menggunakan jentera seperti traktor dan backhoe. Jentera tersebut diperolehi melalui sewaan dan juga kerjasama daripada Exco Pertanian Kedah termasuk individu tempatan yang mempunyai peralatan pertanian,” katanya.


Bungkusan beras organik varieti Ruby siap untuk dijual kepada orang ramai di luar pejabat PAMP Langkawi.


Ditanya mengenai cabaran utama yang dihadapi ketika mengerjakan sawah tersebut, Mohd Musthaqim berkata: “Mendapatkan bekalan air. Walaupun ada tali air tetapi pada musim angin timur ini, air tiada langsung. Sungai ada tetapi tak sampai masuk kawasan bendang.

"Jadi kita buat kolam tadahan air seluas 20 kaki x 40 kaki x 5 kaki dalam. Kita telah bincang dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk buat “boring” bagi menyediakan beberapa perigi tiub.”

Menurutnya, PAMP menyasarkan kalangan asnaf yang tiada kerja atau pemuda yang menganggur yang turut bersama-sama membuka dan membersihkan tanah seluas 100 relung itu tetapi tetap menegaskan mereka memerlukan bantuan mesin dan jentera, selagi tiada jentera ia satu usaha yang sukar dilaksanakan.

Mohd Musthaqim turut menarik perhatian, tanaman mengikut Model Padi Zakat Halalan Tayyiban hanyalah pada peringkat kajian, sasaran PAMP ialah menjadi kawasan itu sebagai destinasi agropelancongan yang turut menyediakan kemudahan rekreasi keluarga seperti aktiviti memanah, berkuda dan juga menyampaikan ilmu berkaitan zakat.

Mengenai teknik tanaman padi salibu, beliau memerhatikan bahawa pokok padi yang membesar daripada pokok asal tidak menghasilkan padi sebanyak pokok padi pertama tetapi percaya dengan kajian, ilmu dan pengalaman yang dilalui, kemahiran teknik salibu akan semakin baik bagi menghasilkan jumlah padi yang optimum. - KitaReporters

1
0
0
0
0

Copy Link: