Hari-hari sedih buat Youtuber Musab Duzenli! Kampung di Turkiye teruk dilanda gempa! Tak mampu senyum!

Published by
KitaReporters

Himpunan gambar gempa bumi Turkiye dan Syria pada 6 Februari 2023. - Kredit Foto - Wikipedia 


BAGI pengikut YouTuber Isti Ve Musab, mereka dikenali sebagai pasangan ceria tetapi dalam dua video terbaru, Musab Duzenli jelas sedih sehingga tidak mampu senyum dan berkata-kata, hanya isterinya Isti Alqadri banyak bercerita mengenai keadaan ibu bapa dan saudara mara Musab yang terbabit gempa bumi di Hatay, Turkiye.

Musab berasal Turkiye sementara Isti dari Indonesia. Pasangan dengan seorang anak (Aycel) itu kadang tinggal di Turkiye dan kadang di Indonesia. Saluran Isti Ve Musab milik mereka mempunyai 2.03 juta pengikut.  


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pempengaruh media sosial

Video pertama mereka mengenai kejadian gempa bumi di Hatay, kampung Musab di Turkiye. Kredit Video Youtube - Isti Ve Musab


Saat berlaku gempa, ramai pengikut risaukan keadaan tiga beranak itu yang kini berada di Turkiye. Masing-masing lega mengetahui mereka selamat. Dua video terbaharu Musab melaporkan perkembangan gempa dahsyat yang berterusan beberapa hari, yang mana ahli keluarga dan saudara mara Musab di Hatay terkesan.

Menurut Isti, ibu dan bapa Musab dan kebanyakan ahli keluarga serta saudara mara mereka selamat kecuali tiga iaitu bapa saudara Musab (Hassan), isteri dan ibu (sama ada ibu Hassan atau ibu isterinya) terkorban. 

Allahyarham Hassan rapat dengan pasangan itu, pernah muncul dalam video Isti Ve Musab dan pemergiannya membuat Musab sangat sedih. Perasaan itu jelas terluah melalui mimik wajah Musab, saksikan sendiri riak Musab dalam video mereka dalam saluran Isti Ve Musab.  

Menurut Isti, kampung Musab di Hatay, sejauh 10 jam memandu dari Kota Istanbul tempat yang dipercayai pasangan itu tinggal, dan secara keseluruhannya 10 kota/daerah terbabit dengan gempa bumi yang mula berlaku pada 6 Februari 2023 itu.  


Wajah sedih Musab mengenang tragedi yang menimpa ahli keluarganya di Hatay, Turkiye. - Kredit foto: YouTube Isti Ve Musab 


Gempa bumi yang turut melanda bahagian tengah dan selatan Syria itu dilaporkan antara terkuat pernah dicatat dalam sejarah Turkiye dan Syria. Dahsyatnya gempa bumi kali ini menyusul dengan gempa gempa lain dalam sekejap masa, beberapa jam sahaja dan berterusan beberapa hari menjadikannya yang terburuk. 

Gempa bumi pertama baru-baru ini berukuran magnitude 7.8 pada skala Richter dan disusuli gempa 7.7 selepas 9 jam kemudian dan gempa-gempa susulan seterusnya. 

Dua gempa terawal itu lebih kuat daripada gempa 1999 (magnitude 7.3),  gempa kedua pada tahun itu hanya 3 bulan kemudian. 

Dalam kejadian gempa bumi terkini, banyak bangunan rosak dan runtuh. 

Yang selamat adalah bangunan baharu dibina mengikut spesifikasi kalis gempa tetapi malangnya ada juga bangunan baharu runtuh kerana sengaja dibina tidak mengikut spesifikasi berkenaan kalis gempa.


Misi menyelamat mangsa gempa bumi di Turkiye. - Kredit Foto - Aman Palestin


Perihal keluarga di sana, kata Isti, ada yang berjaya keluar dari rumah sewaktu kejadian.  Syukur kebanyakan ahli keluarga dan saudara mara Musab selamat kecuali keluarga Pamannya, Hassan. 

"Rumah Paman Hassan jenis apartmen di lantai paling bawah, ranap, mereka tidak sempat keluar dan terkorban. Mula-mula dapat jumpa kaki sahaja, selepas dikorek lagi runtuhan pada hari keenam selepas kejadian gempa pertama barulah menemui tubuhnya yang terhempap teruk. 

"Dicari oleh ahli keluarga dan saudara mara sendiri saja, mereka membuang timbunan puing batu dengan tangan kerana alat sepatutnya tidak dapat diguna kerana ia berat dan tapak di situ tidak kuat dan stabil," cerita Isti.

Ada selamat berlindung dalam bangunan gedung dan keluar setelah gempa berhenti, ini membabitkan bangunan baharu yang kukuh dan kalis gempa. 

Tambah Isti, anak Paman yang di lantai tiga dapat keluar melalui tangga di jendela ketika gempa meledak. Tangga apartmen yang di bawah runtuh dan ini gempa bumi kali pertama dialami penduduk di kawasan itu. 

"Ribuan flat, pangsapuri, gedung hancur sebabkan usaha pencarian sangat sukar, kerana kebanyakan terpaksa dicari dengan tangan. Pasukan penyelamat hanya ke tempat ada sumber suara mangsa, kalau senyap mereka terus ke tempat lain," katanya lagi.

Berkait kejadian gempa ini kata Isti, "mungkin ini cara Allah tegur kita atau cara Allah menjemput kita, dan sangat mengkagumkan apabila ada bayi dan haiwan kecil ditemui selamat di bawah runtuhan."  

Ada saudara mara yang sudah balik ke Istanbul, yang mana rumah dan ada tanah di sana terutama orang tua sukar nak tinggal tempat masing-masing. 

"Ibu bapa Musab juga masih di sana dan kami tidak tahu lagi berapa ramai yang akan terus menetap di Hatay dan berapa ramai sedia pindah," tambahnya. 



Difahamkan hampir setiap 50 minit ada gempa. Demi membantu mangsa di Hatay, Isti Ve Musab membuka saluran orang ramai menderma dan mereka bersyukur jumlah kutipan di luar dugaan.

"Kami difahamkan buat masa ini jalan ke sana tidak boleh dimasuki kerana sesak dengan kereta tim bantuan sehingga jalan terpaksa dikawal pemerintah. 

"Jika pada masa ini sukar disampaikan, kami bercadang menghantar bantuan pascagempa, khusus kepada yang hilang hampir segalanya supaya mereka dapat mulakan hidup baru," kata Isti lagi.

Maklumat lain dari Isti Musab:

* Bekalan makanan dan barang keperluan semakin banyak sampai.

* Elak minta tolong orang tidak dikenali untuk menyampaikan barang misalnya pemandu, apabila tidak dapat masuk ke kawasan dituju, ada berpatah balik dan tinggalkan barang yang diamanah di jalanan. Ada juga bawa bersama mereka ke tempat lain.

* Tunggu keadaan laluan lega, untuk pastikan bantuan sampai ke tangan yang benar memerlukan. 

Mereka akan agihkan bantuan ke Hatay kerana di sana ada ayah dan ibu yang dapat uruskan dengan betul, mereka lebih tahu keadaan mangsa dan sesiapa memerlukan.

* Banyak orang nak derma tapi mereka tak semak dulu apa yang perlu diberi, di sana ada pasukan yang menapis barang kalau tak sesuai ia nanti diasingkan, takut nanti jadi sampah pula.

* Ramai yang perlukan wang tunai

* Peringkat awal mereka akan uruskan pakej bantuan al-Quran, sejadah dan wang. Wang akan diberi dalam jumlah besar agar mereka boleh membina semula kehidupan yang kini tiada tinggal apa-apa.

* Kesan gempa bumi itu bukan sahaja nyawa terkorban dan bangunan binasa malah bandar dan kampung-kampung pun `hilang`.

Difahamkan setakat 14 Februari 2023, disahkan 41,000 kematian, lebih 35,400 di Turki dan 5,700 di Syria. Kemusnahan harta dianggarkan US$84.1 bilion. - KitaReporters


Hari hari ceria Musab dan Isti bersama anak mereka Aycel. Kredit foto -  Kumparan


13
6
0
8
0

Copy Link: