Sepasang suami isteri berdepan kesukaran untuk mendapat wang bagi membiayai kos pembedahan anak perempuannya yang cedera akibat percikan petrol ketika bermain berhampiran rumah jiran di Kampung Parit Haji Taib 2 di Bagan Serai, Perak pada 15 Mac 2026 lalu.


Nur Kaisah Zahra Abdul Ghafar.

Abdul Ghafar Masran, 50 dan isterinya Nurol Fazilah Abdul Basir, 35, yang bekerja kilang memerlukan RM18,000 untuk pembedahan anaknya Nur Kaisah Zahra, 9 tahun, untuk kali kedua.

Beliau berkata, pembedahan pertama telah dijalankan dengan kos RM18,000 yang diperoleh melalui pinjaman pelbagai pihak, namun anaknya masih memerlukan rawatan susulan.

“Doktor memaklumkan keadaan anak saya agak serius dan pembedahan kedua perlu dengan kos RM18,000 yang dijadualkan minggu ini. Anak saya juga perlu menjalani beberapa  lagi peringkat rawatan.

"Setiap kali anak saya meraung beritahu badannya sakit, hati saya menjadi sebak dan hiba,” katanya ketika ditemui di Hospital Taiping pada 6 April 2026.


Abdul Ghafar Masran menunjukkan gambar anaknya Nur Kaisah Zahra yang melecur pada badan sedang dirawat di Hospital Taiping

Dalam kejadian 15 Mac 2026, Nur Kaisah Zahra melecur kira-kira 40 peratus pada badannya selepas disambar api akibat terkena percikan petrol ketika bermain berhampiran rumah jiran.

Nur Kaisah Zahra mengalami kecederaan serius pada bahagian dada sehingga ke badan termasuk kedua-dua kaki.

Abdul Ghafar berkata, dia juga telah memohon bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi menampung kos rawatan susulan itu.

Sementara itu, Pengurus Besar MAIPk Zon Utara, Mohd Saufi Ibrahim berkata, pihaknya telah menziarahi Nur Kaisah Zahra di Hospital Taiping bagi menilai keadaan mangsa dan apa juga keperluan yang boleh diberika kepada keluarga itu.

"Bantuan awal sebanyak RM1,000 telah disalurkan dan permohonan bantuan perubatan bagi pembedahan susulan dianggarkan RM18,000 sedang diproses segera,” katanya.

Sementara itu, seorang individu, Ahmad Fauzi Sa’arani, 56, turut menghulurkan sumbangan sebanyak RM1,500 bagi membantu kos rawatan Nur Kaisah Zahra.


Abdul Ghafar Masran menunjukkan gambar anaknya Nur Kaisah Zahra


Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu keluarga tersebut boleh menghubungi Abdul Ghafar melalui talian 019-4049 502 dan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Hong Leong Bank bernombor 29051 0550 50 atas nama Abdul Ghafar Masran. - KitaReporters

11
9
0
6
0

Copy Link: