Menjelang Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi (27 Mei 2026), kebanyakan rumah inap (homestay) atau inap desa serta hotel telah hampir penuh tempahannya lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar.


Gambar hiasan... Contoh rumah inap (Homestay)


Trend balik raya ke kampung dan tidur di rumah inap atau hotel ini telah mula berkembang sejak anak-anak sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai cucu yang ramai. Ditambah lagi kehadiran menantu, ipar duai yang dari jauh datang bermalam di kampung. 

Situasi begini semestinya agak janggal dalam kalangan orang lama atau warga emas kerana sebelum ini sewaktu anak masih kecil, mereka telah terbiasa tidur lambak di ruang tamu yang dipisahkan antara kaum lelaki dan kaum wanita.

Penulis masih ingat lagi sekitar tahun 90-an, penulis bersama sepupu sepapat akan berkumpul di rumah datuk dan nenek sewaktu hari raya dan kami semua akan tidur di ruang tamu beralaskan tilam toto dan bantal. 

Batas pergaulan masih dijaga dengan makcik serta kaum wanita dewasa ada yang tidur di dalam bilik bagi menjaga aurat, manakala kaum lelaki dan kanak-kanak tidur di ruang tamu memeriahkan lagi suasana hari raya. 

Zaman dahulu, orang-orang lama gemar membina rumah yang ruang tamunya agak luas kerana orang dulu-dulu mempunyai ramai anak dan ruang tersebut sering digunakan untuk tidur beramai-ramai secara lambak di hadapan televisyen.



Namun, zaman bersilih ganti anak-anak juga sudah mempunyai keluarga sendiri ditambah dengan kehadiran cucu cicit memeriahkan lagi suasana kekeluargaan. 

Kerana itu, batas aurat, pergaulan dan privasi juga kini lebih diambil kira dan dititikberatkan. 

Pilihan untuk menginap di rumah inap dan hotel adalah pilihan terbaik bagi keselesaan semua pihak dan menjaga keharmonian keluarga. 

Anak-anak, menantu, ipar duai serta cucu boleh berkumpul pada siang hari di rumah orang tua dan kembali ke rumah inap atau hotel selepas waktu isyak untuk berehat dan tidur. 

Inap desa zaman kini juga dilengkapi dengan perkakas dapur, televisyen, sofa dan ada yang lebih Istimewa dilengkapi kolam renang bagi menambahkan lagi aktiviti santai para keluarga untuk beristirehat dan berkumpul bersama kaum keluarga sewaktu perayaan.


Gambar hiasan... Anak cucu, ipar duai pulang ke kampung


Dari sudut agama Islam, aurat dan batas pergaulan haruslah terjaga rapi sewaktu menyambut perayaan apabila sanak-saudara berkumpul. 

Mujur zaman kini banyak rumah inap dan hotel yang didirikan di kawasan luar bandar jadi mudah bagi anak-anak yang perantau pulang ke desa untuk bertemu kedua-dua ibu bapa. - KitaReporters

 

16
14
0
10
0

Copy Link: