Semangat gotong-royong dan kebersamaan jelas terpancar apabila pelajar, staf dan komuniti setempat berganding bahu memasak bubur lambuk sempena Program Ihya Ramadan anjuran Kolej Komuniti Bagan Serai dengan kerjasama Pusat Khidmat Pegawai Khas Menteri Besar DUN Semanggol diadakan di Pusat Transformasi Komuniti (CTC) Bukit Merah dekat Bagan Serai.


Sham Mat Sahat (depan, tiga dari kiri) menuangkan bubur lambuk ke dalam mangkuk plastik sebelum diedarkan.

Sebanyak tiga periuk membabitkan 45 kilogram bubur lambuk dimasak mulai jam 8 pagi dan siap pada jam 12 tengah hari.

Hasilnya. sebanyak 2,000 paket bubur lambuk yang dimasak itu diagihkan kepada 90 buah keluarga di Program Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) Bukit Merah.


Seorang penduduk di PPMS Bukit Merah menerima bubur lambuk daripada Sham Mat Sahat.

Penasihat Kolej Komuniti Bagan Serai Datuk Sham Mat Sahat berkata, program ini merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk diedarkan kepada masyarakat.

"Program ini dapat mengimarahkan bulan Ramadan malah menjadi medium terbaik untuk memperkukuh hubungan antara intitusi pendidikan dan komuniti setempat," katanya ketika ditemui pada Program Ihya Ramadan di CTC Bukit Merah pada 13 Mac 2026.

Sebelum ini, Sham berkata, program itu diadakan di Parit Haji Taib pada tahun lalu (2025). 


Sebahagian petugas dan pelajar Kolej Komuniti Bagan Serai bergambar dengan Sham Mat Sahat (duduk, tengah)

Sementara itu, Majlis Khatam Al-Quran, Sambutan Nuzul Al-Quran dan Majlis Penutup Ihya Ramadan 1447H yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar (PUO), pada 10 Mac 2026 merupakan acara kemuncak kepada rangkaian aktiviti kerohanian yang telah disusun sepanjang bulan Ramadan 1447H/2026M ini.

Ia sekali gus bagi memperkukuh penghayatan Islam serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga kampus.


Sebahagian pelajar lelaki yang turut serta dalam majlis berkenaan

​Acara dimulakan dengan Majlis Khatam Al-Quran yang melibatkan penyertaan daripada para pelajar dan kakitangan, melambangkan komitmen tinggi warga PUO dalam membudayakan pembacaan Al-Quran.

Kemuncak majlis diserikan dengan Ceramah Khas Nuzul Quran bertajuk ‘Al-Quran dan Aplikasinya dalam Kehidupan’, yang disampaikan oleh Imam Utama Masjid Sultan Azlan Shah, Syed Mohd Muzaffar Syed Azlan.

Beliau menekankan kepentingan menjadikan mukjizat al-Quran sebagai panduan praktikal dalam mendepani cabaran dunia moden, selari dengan peranan institusi pendidikan dalam melahirkan modal insan yang berintegriti dan berakhlak mulia.


Syed Muhamad Muzaffar Syed Azlan ketika menyampaikan ceramah di PUO.


Sementara itu, ​Pengarah PUO, Dr. Salmi Che Meh dalam ucapan perasmian penutupnya berkata, program Ihya Ramadan pada tahun ini (2026) bukan sekadar pengisian rutin, malahan ia merupakan platform transformasi diri buat seluruh warga PUO.

“Kita berharap momentum ibadah dan disiplin yang dibina sepanjang bulan suci ini dapat diteruskan dalam tugasan harian dan pembelajaran,” katanya.


Salmi Che Meh (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Syed Muhamad Muzaffar (dua dari kanan)

​Sehubungan itu, pihak pengurusan PUO merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua jawatankuasa pelaksana dan warga kampus yang telah memberikan kerjasama jitu dalam menjayakan agenda dakwah dan syiar Islam pada peringkat politeknik sepanjang tahun ini.

Katanya, program ini merupakan komitmen berterusan PUO dalam mengimbangi kecemerlangan akademik dengan pengukuhan sahsiah dan kerohanian warga kampus. - KitaReporters


Sebahagian pelajar perempuan yang menghadiri majlis itu

22
8
0
12
0

Copy Link: