Masjid Al-Islahiah di Kampung Cempedak, Kuang, Selangor yang menggabungkan reka bentuk unik seni bina Melayu moden dengan seni bina Islam kontemporari menyasarkan kutipan sebanyak RM15 juta bagi membolehkannya merobohkan bangunan masjid sedia ada pada Mei 2026 bagi membina masjid baharu yang boleh menampung 1,200 orang jemaah. 


llustrasi Masjid Al-Islahiah, Kuang yang baharu, menurut perspektif arkitek.


Bangunan Masjid Al-Islahiah, Kuang yang sedia ada. Di bahagian belakang ialah dewan serba guna.


Nazirnya, Ir Mohd Fazidin Faisal berkata, pembinaan semula perlu memandangkan masjid sedia ada tidak lagi mampu menampung bilangan jemaah yang bertambah serta kedudukan fizikalnya yang rendah menyebabkan ruang solat kerap kali dibanjiri air apabila hujan lebat.

“Setakat ini kami telah menerima RM9.1 juta sumbangan orang ramai. Kami amat berharap akan kemurahan hati umat Islam pada dua bulan yang penuh berkat ini Ramadan dan Syawal, untuk bersama-sama bersedekah bagi membina masjid baharu itu secepat mungkin,” katanya.

Beliau menjelaskan, kos pembangunan termasuk kos pembinaan, dan kos-kos lain seperti seliaan tapak, yuran jururunding dan sebagainya masih dalam proses tender. Kos pembinaan sebenar akan hanya diputuskan mengikut serahan terbaharu daripada penender. 

Menurut beliau, ini adalah kali keempat Masjid Al-Islahiah dibina semula. Kali pertama pada sekitar tahun 1920-an, kali kedua pada tahun 1950 dan kali ketiga pada tahun 1965 iaitu masjid sedia ada sekarang yang telah dirasmikan oleh Sultan Selangor pada tahun 1968 bagi menampung 800 orang jemaah.

Ir Mohd Fazidin berkata, daripada kawasan masjid seluas 6,609.4 meter persegi (1.63 ekar) bangunan masjid baharu akan dibina atas tapak seluas kira-kira 3,809 meter persegi (0.94 ekar) dengan reka bentuk yang unik tanpa kubah bagi memaksimumkan ruang binaan. 

Ia dibina tiga tingkat dan setiap tingkat mempunyai fungsi masing-masing untuk benar-benar menyokong masjid sebagai pusat ibadah dan pusat komuniti.


Bangunan Masjid Al-Islahian, Kuang, Selangor.


“Aras Tanah mengandungi Pejabat Pentadbiran dan Dewan Serba Guna yang boleh menampung 290 orang serta tandas, manakala Aras Satu mengandungi Dewan Solat Utama untuk 290 orang, Ruang Solat Terbuka untuk jemaah lelaki dan perempuan untuk 450 orang dan Aras Dua ialah Ruang Solat Terbuka bagi jemaah lelaki dan perempuan seramai 528 orang,” jelasnya sambil menambah kata, secara keseluruhannya masjid baru itu boleh memuatkan 500 orang jemaah wanita.

“Dewan Serba Guna berfungsi sebagai ruang sokongan utama bagi aktiviti bukan solat; majlis ilmu, kuliah, taklimat, jamuan, latihan, program belia, bengkel kemahiran, mesyuarat kariah, kenduri-kendara dan aktiviti kemasyarakatan yang lain.

"Dengan memisahkan dewan ini daripada Dewan Solat Utama, program boleh berjalan sepanjang hari tanpa mengganggu ketenangan ruang ibadah di tingkat atas.

“Dewan turut dilengkapi dengan sistem penghawa dingin/ventilasi yang sesuai, sistem siar raya dan pembesar suara, kemudahan projektor/paparan visual, ruang stor peralatan, kemudahan kerusi meja mudah alih, serta akses yang baik ke tandas, ruang wuduk dan parkir. 

"Laluan masuk ke dewan direka mengikut prinsip Akses Sejagat, termasuk tanjakan kerusi roda dan lif, supaya warga emas dan orang kurang upaya dapat menghadiri program dengan selesa,” beliau menerangkan.


Ilustrasi perspektif arkitek terhadap Ruang Solat Utama Masjid Al-Islahiah yang baharu.


Menurut Ir Mohd Fazidin masjid baharu tanpa kubah dan beridentitikan tropika moden itu direka bentuk oleh Hijjas Architects and Planners secara probono. 

Pembinaan masjid baharu itu yang dijangka siap dalam tempoh 28 bulan dan akan dipantau pelaksanaan pembinaannya oleh Arkitek PAA Sdn. Bhd. bermula daripada fasa awal sehinggalah mendapatkan Sijil Siap dan Pematuhan.

Menghalusi reka bentuk masjid baharu itu, arkitek projek Arkitek PAA Sdn. Bhd., Muhammad Afif Syamil Mohd Rasidi berkata, Masjid Al-Islahiah yang baharu, direka sebagai masjid kejiranan yang mesra jemaah, menggabungkan seni bina Melayu moden dan Islam kontemporari dengan penekanan kepada kelestarian pasif serta Akses Sejagat, supaya ruang solat berpengudaraan baik, bumbung tropika yang melindungi daripada panas dan hujan, serta kemudahan seperti tanjakan, lif dan tandas OKU benar-benar dapat digunakan dengan selesa oleh seluruh komuniti Kuang Selatan tanpa mengira usia atau kemampuan fizikal.

“Tidak seperti imej tipikal masjid berkubah, Masjid Al-Islahiah yang baharu menggunakan komposisi bumbung tropika moden yang curam dan panjang dengan garis-garis bersih serta elemen Islamik kontemporari. 

"Pendekatan ini lebih hampir kepada sejarah masjid Nusantara yang asalnya berasaskan bumbung bertingkat-tingkat, dan pada masa yang sama mewujudkan silhouette baru yang mudah dikenali sebagai mercu tanda Kuang Selatan.

“Berlandaskan konsep “Serantau” masjid itu mencerminkan budaya, sejarah dan persekitaran setempat, bukannya yang asing daripada landskap sekeliling. 

"Elemen tradisi seperti laman, anjung dan serambi diterjemahkan semula sebagai ruang peralihan yang teduh, terbuka dan menggalakkan pertemuan komuniti sebelum dan selepas solat.

“Masjid ini menggunakan bumbung tropika yang curam dan lebar serta berulang-ulang kerana ia paling sesuai dengan iklim Malaysia yang panas dan lembab; bumbung ini membantu menyalurkan hujan lebat dengan baik serta mengurangkan kemasukan haba terus ke ruang dalaman. 

"Pada fasadnya, kami menerapkan corak geometri Islam, skrin berongga (mashrabiyah), pintu gerbang dan plaza/courtyard terbuka untuk menzahirkan identiti Islam dalam bahasa bentuk yang lebih kontemporari tetapi masih sederhana dan bermaruah,” katanya.


Tanjakan pejalan kaki dan kerusi roda dari aras tanah ke aras satu Masjid Al-Islahiah yang baharu, menurut illustrasi perspektif arkitek. 


Menurut Afif Syamil, reka bentuk Masjid Al-Islahiah yang baharu turut memberi penekanan kuat kepada konsep kesederhanaan dan kelestarian pasif. 

Susun atur ruang, nisbah bukaan pada dinding dan orientasi bangunan dirancang dengan teliti supaya ruang solat dan ruang sokongan mendapat pengudaraan silang serta pencahayaan semula jadi yang optimum. 

Strategi pasif sebegini terbukti berkesan dalam masjid-masjid tropika bagi meningkatkan keselesaan termal, mengurangkan kebergantungan kepada penghawa dingin dan pencahayaan buatan, sekali gus menjimatkan tenaga dan kos operasi sepanjang hayat bangunan.

Katanya, prinsip ketiga yang menjadi teras ialah Akses Sejagat. Laluan pejalan kaki, ruang solat, tempat wuduk, tandas dan tempat letak kereta disusun semula supaya mudah dicapai oleh semua lapisan masyarakat – termasuk warga emas, ibu bapa dengan anak kecil dan orang kurang upaya. Kemudahan seperti tanjakan berkecerunan selamat, lif, tandas dan parkir OKU disediakan selaras dengan amalan terbaik reka bentuk masjid inklusif di Malaysia, agar setiap jemaah berpeluang menunaikan ibadah dengan selesa dan bermaruah.

Beliau menarik perhatian, struktur bumbung yang tinggi dan berulang bukan sekadar elemen visual; ia mewujudkan ruang dalaman yang lebih lapang, selesa dan mempunyai akustik yang baik untuk solat berjemaah. Ketinggian dan ritma bumbung itu membantu menarik keluar udara panas di bahagian atas dan membawa masuk cahaya semula jadi secara terkawal, sekali gus meningkatkan pengudaraan silang dan pencahayaan tanpa terlalu bergantung kepada sistem mekanikal.

“Laluan ke Dewan Solat Utama dirangka sebagai satu pengalaman bertahap: pejalan kaki melalui laluan yang lebar, tersusun dan dinaungi landskap tropika dengan deretan pokok dan tanaman. Susun atur ini bukan sahaja memberi teduhan dan keselesaan fizikal kepada jemaah, tetapi juga menyediakan saat peralihan yang tenang dan harmoni sebelum mereka melangkah masuk ke ruang ibadah, seolah-olah “menyucikan” minda daripada hiruk-pikuk luar,” katanya sambil melahirkan harapan reka bentuk masjid itu akan memberi pengalaman ruang masuk yang “menenangkan”. 


Maklumat Akaun Bank Masjid Al-Islahiah, Kuang.


Ir. Mohd Fazidin berharap dengan terbinanya masjid baharu itu aktiviti-aktiviti agama dan kemasyarakatan dapat dijalankan dengan lebih baik dan efektif di samping menjadikan masjid bukan sahaja tempat ibadah yang mempunyai prasarana yang lengkap sempurna malah turut memenuhi keperluan sebagai pusat ilmu dan pusat sosial masyarakat. 

Menurutnya, sebuah dewan sedia yang terletak di aras tanah di belakang bangunan masjid sedia sekarang akan juga dinaik taraf dan dikemaskinikan supaya terus relevan dan boleh dimanfaatkan untuk program penduduk setempat. 

Katanya, sewaktu pembinaan masjid baharu dijalankan, ahli kariah akan bersolat Jumaat di masjid sementara Asrama Damai Rumah Anak-Anak Yatim Kuang dan Surau Makmuriah di Jalan Bayam Perumahan Awam Ladang Baru,  Sungai Buloh. 

Bagi orang ramai yang ingin berinfak mengambil keberkatan bulan Ramadan dan Syawal dan seterusnya menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada pembangunan masjid yang mempunyai reka bentuk unik ini. 

Sumbangan boleh didepositkan ke dalam akaun masjid di nombor akaun Bank Rakyat 110 4783 60 atau Bank CIMB: 8602 8690 65 atau Maybank: 5627 4014 0340 - KitaReporters


Ir Mohd Fazidin Faizal (kanan) dan Duta Pembinaan Masjid Baharu Al-Islahiah, Ustaz Harryyanto Rizal Rokman.

14
11
0
17
0

Copy Link: