Meriah habis! McD dekati anak yatim dan asnaf! 1,000 hidangan percuma gegarkan sambutan Aidilfitri!
Published bySEMPENA Syawal 2026, McDonald's Malaysia meneruskan semangat memberi dan kebersamaan dengan beberapa siri sambutan komuniti di beberapa lokasi terpilih di seluruh negara.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan bagi menyokong komuniti tempatan sambil mencipta kenangan manis untuk rakyat Malaysia ketika meraikan Syawal.

Sepanjang Ramadan, antara inisiatif komuniti yang dijalankan termasuk menyediakan moreh kepada 300 masjid dan surau di seluruh negara, menganjurkan majlis berbuka puasa bersama kanak-kanak dari rumah anak yatim berhampiran dan mengedarkan Kit Ramadan kepada keluarga dan kanak-kanak di Rumah Ronald McDonald (RMH).
Sempena 2026, McDonald's juga mengeluarkan Sampul Raya eksklusif yang menampilkan hasil lukisan kanak-kanak dari Rumah Ronald McDonald, yang menyerlahkan kreativiti dan keceriaan mereka.

Pengurusan McDonald’s Malaysia memberi makanan percuma kepada kanak-kanak dan ibu bapa yang hadir sempena Majlis Rumah Terbuka Raya Mekdi 2026.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, sambutan itu bukan sekadar meraikan sebuah perayaan, tetapi mencerminkan semangat kebersamaan dan saling menyokong antara satu sama lain.
Beliau berkata, sejak sekian lama, majlis Rumah Terbuka Raya Mekdi menjadi sebahagian daripada tradisi McDonald’s untuk terus memberi kembali kepada komuniti, dari Ramadan sehingga Syawal.
"Hari raya adalah masa untuk membuka pintu hati dan rumah kita dan menghargai hubungan sesama insan. Melalui sambutan ini, kami berharap dapat memanjangkan semangat kemesraan dan ukhwah kepada komuniti selain mencipta detik-detik kebersamaan yang mencerminkan erti raya yang sebenar.

Azmir Jaafar (empat dari kiri) bersama pengurusan dan maskot McDonald’s ketika merasmikan Majlis Rumah Terbuka Raya Mekdi 2026.
"Sambutan yang bermula pada 3 April 2026 di restoran pandu-lalu McDonald's Bandar Baru Bangi, akan diteruskan di lokasi-lokasi terpilih di seluruh negara. Restoran juga dihias dengan tema perayaan, yang mewujudkan suasana raya yang ceria.
"Tetamu turut disajikan dengan persembahan kompang, tarian joget tradisional, hiburan live dan permainan interaktif bersama maskot McDonald," katanya.
Sebagai tanda penghargaan kepada komuniti, McDonald’s Malaysia turut akan mengedarkan 1,000 set hidangan Foldover Ayam percuma di setiap lokasi, berserta dengan Pai Epal dan minuman Teh Fuze.

Booth Sticker Pelita Raya mendapat sambutan orang ramai.
McDonald’s turut menjemput artis popular, antaranya Hael Husaini, Merqeen, SonaOne, Alyph, Dayang Nur Faizah, dan Nadeera Zaini bagi menghiburkan peminat serta berinteraksi dengan mereka.
Pihaknya juga menampilkan kumpulan Caliph Buskers yang terkenal dengan kisah perjalanan mereka yang penuh inspirasi dan semangat komuniti yang kuat. Mereka dikenali dengan sifat cekal dan positif, yang mencerminkan komitmen McDonald's Malaysia terhadap komuniti.
"Program sambutan Syawal ini juga mencerminkan komitmen berterusan McDonald's Malaysia kepada komuniti. Ia mendekati setiap majlis perayaan sebagai satu peluang memberi kembali dan meraikan kepelbagaian budaya tempatan, termasuk Tahun Baharu Cina, Hari Gawai, Kaamatan dan Deepavali.
"Kami turut melaksanakan lebih 10,000 inisiatif komuniti setiap tahun di lebih 370 restoran, termasuk program kemasyarakatan bersama rumah kebajikan, sekolah dan pelbagai aktiviti bersama komuniti setempat, sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan dalam menyantuni masyarakat di seluruh negara," katanya.

Booth yang disediakan sempena Majlis Rumah Terbuka Raya Mekdi 2026 sentiasa mendapat sambutan pengunjung.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Korporat McDonald’s Malaysia, Shamsidar Yahya, berkata sepanjang Ramadan 2026, di bawah Program Santun Pelajar, pihaknya mengagihkan baucar untuk 50,000 hidangan Nasi Mekdi kepada pelajar-pelajar yang memerlukan di 20 Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
"Dan kini apabila Syawal menjelma, McDonald’s Malaysia ingin terus menghidupkan semangat Hari Raya Aidilfitri, bukan sahaja bersama komuniti setempat, tetapi pelanggan yang setia menyokong dari dulu hingga kini.
"Sambutan Syawal ini adalah cara kami menghargai sokongan rakyat Malaysia, serta berkongsi kemeriahan bersama komuniti.
"Kami berterima kasih kepada rakan-rakan media atas sokongan anda dalam menyampaikan mengenai usaha-usaha kami kepada rakyat Malaysia, bukan sahaja dari sebagai rangkaian restoran, tetapi sebagai jiran dan sahabat komuniti sekeliling.
“Pengagihan itu turut membabitkan penerima dalam kalangan komuniti setempat termasuk Rumah Bakti Al-Kauthar dan anggota keselamatan di sekitar Bangi," katanya.

Dayang Nur Faizah menjemput pengunjung yang hadir menyanyi dan menari bersamanya ketika membuat persembahan sebagai artis jemputan.
Selain McDonald’s Bandar Baru Bangi, program ini akan diteruskan di lokasi-lokasi lain di seluruh negara bagi menyambut Syawal bersama komuniti masing-masing.
"Sempena sambutan Aidilfitri di McDonald’s Bandar Baru Bang, kami sediakan sehingga 1,000 hidangan set Foldover Ayam bersama Pai Epal dan minuman Teh Fuze. Kami mahu anda semua pulang kenyang dengan keriangan," katanya. - KitaReporters

Pengunjung mencuba kemahiran dan kreativiti menyiapkan lukisan menggunakan pasir halus berwarna warni.
