Menjadikan buku lebih hidup! NEST teroka revolusi buku interaktif! Angkat khazanah alam Malaysia!
Published byPENULISAN buku alam sekitar, terutama flora dan fauna bukan sekadar aktiviti kreatif tetapi ada nilai besar dari segi ilmu, kesedaran dan sumbangan kepada masyarakat.
Ia memberi nilai kepada pemuliharaan alam sekitar, rujukan generasi akan datang khususnya bagi merakam spesies tumbuhan dan haiwan yang semakin pupus. Di Malaysia yang kaya biodiversiti, ia membantu merakam khazanah alam yang tidak ternilai.

Pelancaran tiga buku mewah berkaitan flora dan fauna disempurnakan secara bersama oleh Dr Abdul Latiff Abu Bakar (tiga dari kanan) dan Shah Redza Hussein (tiga dari kiri) sambil disaksikan oleh Sulaiman (kanan sekali).
Penulisan ini meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam seperti isu perubahan iklim, penebangan hutan dan kepupusan hidupan liar boleh disampaikan dengan lebih dekat kepada pembaca.
Apabila pembaca memahami kesan sebenar flora dan fauna, mereka lebih cenderung untuk menjaga alam sekitar.
Selain itu, subjek flora dan fauna memberi peluang mendalami bidang biologi dan ekologi. Buku terbabit bukan sekadar berkongsi maklumat tetapi belajar secara berterusan melalui kajian, pemerhatian lapangan dan interaksi dengan pakar. Ini menjadikan proses penulisan itu satu perjalanan ilmu yang sangat berharga.
Banyak buku alam sekitar berjaya membuka mata masyarakat terhadap keindahan dan keunikan spesies seperti Harimau Malaya atau Orang utan.
Dengan gaya penulisan menarik, buku sedemikian mampu membina hubungan emosi antara manusia dan alam, sekali gus menyemai rasa tanggungjawab untuk melindunginya.
Penulisan dalam bidang ini juga boleh membuka pelbagai peluang, daripada penerbitan buku, kolaborasi dengan NGO, sehingga pembabitan dalam kempen kesedaran alam sekitar. Malah, karya yang berkualiti berpotensi diangkat sebagai bahan pendidikan di sekolah atau universiti.

Sulaiman Salikan
Menyedari kepentingan itu, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) mengorak langkah apabila melancarkan tiga buku mewah berkonsepkan alam sekitar dengan elemen interaktif, sekali gus memperkukuh peranannya dalam bidang penerbitan konservasi negara.
Pengerusinya, Sulaiman Salikan berkata, pihaknya bersyukur diberi kepercayaan beberapa agensi kerajaan untuk melaksanakan projek berprestij itu. Ia diadakan dalam majlis tertutup sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-9 NEST di Shahzan Inn, Bukit Fraser, Pahang.
Beliau berkata, tiga buku berkenaan ialah "Under The Canopy: Mammals of Putrajaya" terbitan Perbadanan Putrajaya (PPj), "Ulu Muda State Park: Beneath the Canopy" oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) serta "Nature Escapes: Wild Beauty, Shaping a Shared Tomorrow" oleh Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ).

Dr Siti Norasikin Ismail menunjukkan kandungan muka dalam buku "Under The Canopy: Mammals of Putrajaya" terbitan Perbadanan Putrajaya (PPj).
"Pendekatan kod QR dan elemen interaktif dalam buku alam sekitar bukan sekadar “tambahan teknologi”, tetapi satu langkah relevan dengan cara pembaca hari ini berinteraksi dengan maklumat.
"Elemen interaktif ini menjadikan buku lebih “hidup”. Pembaca bukan hanya melihat gambar mamalia tetapi boleh mendengar bunyi haiwan atau melihat rakaman sebenar habitatnya.
"Ini mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih mendalam dan imersif.
"Penggunaan kod QR selari dengan perkembangan pembelajaran digital kerana menggabungkan buku fizikal dengan kandungan multimedia iaitu teks, audio dan visual bagi membantu pembaca termasuk pelajar, penyelidik dan orang awam," katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran ketiga-tiga buku itu bersama Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan & Penerbitan), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Madya Dr Abdul Latiff Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kayan International Inc, Datuk Shah Redza Hussein.

Buku mewah, "Under The Canopy: Mammals of Putrajaya"

Buku mewah, "Ulu Muda State Park: Beneath the Canopy" terbitan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK).
Sulaiman berkata, ciri interaktif menguatkan mesej pemuliharaan alam sekitar.
"Apabila pembaca melihat sendiri keindahan spesies atau mendengar bunyi hutan, ia membina hubungan emosi lebih kuat. Dari situ, kesedaran melindungi alam akan datang secara lebih semula jadi, bukan sekadar melalui fakta.
"Dari sudut penerbitan, ia memberi kelebihan kompetitif. Buku seperti 'Ulu Muda State Park: Beneath the Canopy' atau 'Nature Escapes: Wild Beauty, Shaping a Shared Tomorrow' tidak lagi bersifat statik, tetapi menjadi platform interaktif yang boleh dikemas kini dari semasa ke semasa. Ini menjadikan buku lebih tahan lama dan relevan.
"Penggunaan kod QR dalam buku alam sekitar sebagai satu evolusi yang bijak kerana ia menggabungkan kekuatan buku tradisional dengan keupayaan teknologi moden, sekali gus menjadikan pembacaan lebih interaktif, mendidik dan memberi impak emosi yang lebih mendalam.
“Kehadiran ketiga-tiga buku mewah itu adalah kepercayaan dan tanggungjawab besar kepada NEST kerana setiap projek dinilai secara teliti pihak klien sebelum diberikan kepada kami," katanya.

Buku mewah, Nature Escapes: Wild Beauty, Shaping a Shared Tomorrow.
Sulaiman berkata, idea mengadakan elemen interaktif itu tercetus ketika NEST diberi kepercayaan JPNK menerbitkan buku berkaitan Ulu Muda.
“Saya mencadang dimasukkan elemen imbasan QR bagi membolehkan pembaca mendapatkan maklumat lebih mendalam mengenai spesies yang dipaparkan.
"Apabila dipersetujui, kami melantik Dr Siti Norasikin Ismail dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai ketua projek.
"Pada masa sama, NEST turut menerima amanah daripada PTNJ menerbitkan buku empat taman negara di Johor dengan konsep interaktif yang sama. Projek itu diselia Dr Nor Atiqah Norazlimi dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor.
"Bagaimanapun, buku 'Mammals of Putrajaya’ disiapkan lebih awal dan tidak menampilkan elemen interaktif kerana ia antara penerbitan awal NEST dalam bidang biodiversiti selain buku burung," katanya.
Sulaiman berkata, kejayaan menghasilkan tiga buku itu juga hasil kerjasama strategik melalui memorandum persefahaman (MoU) bersama UMT dan UTHM, selain sokongan pakar dalam pelbagai bidang. Kepercayaan diberikan PPj, JPNK dan PTNJ menjadi pemangkin kepada kejayaan projek berkenaan. - KitaReporters

Elemen interaktif menjadikan buku mewah yang dilancarkan oleh NEST "lebih “hidup” manakala penggunaan kod QR selari dengan perkembangan pembelajaran digital kerana menggabungkan buku fizikal dengan kandungan multimedia.
