Video| Titik penghijrahan! Jiwa bergetar nampak Kaabah! Dulu pengkid! Kini kembali menjadi wanita!

Published by
KitaReporters

Perjalanan hidup manusia kadangkala berubah dalam sekelip mata apabila hati disentuh oleh hidayah. 

Dalam Islam, penghijrahan bukan sekadar perubahan luaran, tetapi melibatkan proses kembali kepada fitrah dan usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT. Bagi sesetengah individu, detik perubahan itu hadir melalui pengalaman yang tidak disangka-sangka.



Begitulah yang dialami seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Yuszaf, 34, yang berkongsi kisah penghijrahannya daripada kehidupan sebagai pengkid kepada kehidupan baharu selepas menunaikan umrah.

Kisahnya mula menarik perhatian ramai selepas dia berkongsi pengalaman tersebut melalui media sosial. 

Dalam perkongsian itu, Yuszaf menceritakan bagaimana perasaannya berubah ketika pertama kali melihat Kaabah di Masjidil Haram.

“Bila pertama kali saya nampak Kaabah, kaki saya rasa lemah. Air mata jatuh tanpa sedar. Dalam hati saya hanya mampu memohon ampun kepada Allah,” katanya yang menetap di Cyberjaya.

Perkongsian tersebut mencetuskan minat penulis untuk mengetahui kisah sebenar di sebalik perubahan hidupnya. 

Selepas mendapat keizinan, satu sesi temu bual secara dalam talian diadakan bagi mendengar sendiri pengalaman yang dilaluinya.



Menurut Yuszaf, kehidupannya sebagai seorang yang berperwatakan lelaki bukanlah sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya sudah bermula sejak kecil. 

Dia merupakan anak bongsu dalam keluarganya dan tidak mempunyai abang. Semua adiknya adalah perempuan. Disebabkan keadaan itu, dia sering dilayan seperti anak lelaki oleh keluarga dan orang sekeliling.

“Sejak kecil saya dibesarkan dalam keluarga yang ramai perempuan. Saya tak ada abang, jadi orang sekeliling memang melayan saya seperti anak lelaki,” ceritanya.

Keadaan itu menyebabkan dia membesar dengan gaya hidup yang lebih maskulin, termasuk daripada segi pakaian, potongan rambut dan pergaulan. 

Di kampungnya pula, orang ramai sudah lama mengenali dirinya dengan gelaran ‘Jusoh’.

“Orang kampung memang panggil saya Jusoh. Dari kecil lagi saya berkawan dengan lelaki dan berpakaian seperti lelaki,” ujarnya.



Namun begitu, Yuszaf menegaskan bahawa latar belakang keluarganya bukanlah keluarga bermasalah. Malah, kebanyakan ahli keluarganya bekerja dalam sektor kerajaan dan kehidupannya dibesarkan dalam suasana keluarga yang stabil.

Walaupun sudah biasa dengan identiti tersebut, Yuszaf mengakui terdapat beberapa situasi yang membuatkan dirinya berasa tidak selesa, khususnya ketika berada di tempat awam.

Antara pengalaman yang paling diingatinya ialah ketika menggunakan tandas awam. Menurutnya, dia pernah dihalau keluar dari tandas wanita kerana disangka lelaki.

“Secara jujurnya saya takut masuk tandas wanita di tempat awam sebab pernah kena halau. Orang ingat saya lelaki,” jelasnya.

Keadaan itu menyebabkan dia kadangkala terpaksa menggunakan tandas lelaki apabila berada di luar. Namun di tempat kerja, rakan-rakan sekerja sudah memahami keadaannya dan tidak menjadikan perkara tersebut sebagai isu.  

Begitu juga apabila pulang ke kampung halaman, kerana penduduk setempat sudah lama mengenalinya sejak kecil. 



Perubahan besar dalam kehidupan Yuszaf bermula apabila dia mengambil keputusan berhenti kerja tetap selepas lebih 10 tahun bekerja dalam sektor perbankan. 

Keputusan itu memberi kesan yang besar kepada kehidupannya, terutama daripada segi kewangan dan emosi.

“Saya berhenti kerja tetap dan masa itu simpanan pun hampir habis,” katanya jujur.

Keadaan tersebut menyebabkan dia mengalami tekanan yang agak berat. 

Menurutnya, ketika itu dia berada dalam fasa kehidupan yang sangat sukar. “Hidup saya memang sangat down ketika itu,” katanya.

Dalam keadaan tertekan, Yuszaf mula mencari ketenangan dengan mendekatkan diri kepada Allah. Dia mengakui pernah memaksa dirinya untuk bangun menunaikan solat walaupun sebelum itu dia jarang melakukannya.  

“Saya paksa diri bangun solat dan menangis ketika berdoa,” katanya. 



Menurutnya, pada waktu itu dia juga pernah bermimpi tentang kematian dalam keadaan yang sangat menakutkan, yang membuatkan dirinya semakin sedar tentang keadaan hidupnya. 

Dalam tempoh tersebut, Yuszaf dipertemu dengan seorang individu yang banyak membantunya mendalami semula asas ibadah.

“Ada seorang hamba Allah yang datang menenangkan saya. Dia ajar saya solat dan belikan buku panduan solat,” ceritanya.

Bimbingan tersebut menjadi titik permulaan kepada perubahan dalam dirinya. 

Pada masa yang sama, dia mula menanam keinginan untuk menunaikan umrah. Malah, dalam satu status di WhatsApp, dia pernah menulis bahawa dia tidak mahu pergi melancong ke mana-mana kecuali ke Tanah Suci.



Namun ketika itu dia tidak pernah menyangka impian tersebut akan menjadi kenyataan dalam masa yang sangat singkat. 

Menurut Yuszaf, peluang menunaikan umrah datang secara tidak dirancang ketika dia menziarahi kubur kakaknya yang telah meninggal dunia.

Selepas menziarahi kubur, dia singgah ke rumah abang iparnya. Ketika berbual, dia mengetahui bahawa abang iparnya bersama anak-anak sedang merancang untuk menunaikan umrah dan semua urusan seperti passport serta borang permohonan telah disiapkan.

“Saya cuma cakap seronoknya kalau dapat pergi umrah sebab itu memang impian saya,” katanya.

Namun kata-kata itu disambut dengan pelawaan yang tidak disangka-sangka. Abang iparnya terus mengajaknya untuk turut serta dalam perjalanan tersebut.

“Saya sampai tanya berkali-kali sama ada betul atau tidak,” ujarnya.



Tidak lama kemudian, dia diminta mengisi borang permohonan umrah dan semua urusan berjalan dengan sangat cepat. 

Akhirnya pada 16 Februari 2026 lalu, Yuszaf berangkat ke Tanah Suci dan berpeluang menyambut Ramadan di sana.

Namun sebelum perjalanan itu bermula, Yuszaf diuji dengan masalah kesihatan. Dia mengalami demam yang teruk serta sakit lutut sehingga menyukarkannya berjalan.

“Saya sampai rasa mungkin tak dapat pergi,” ceritanya.

Namun keadaannya berubah sebaik sahaja tiba di Mekah. Apabila sampai di sana, semua sakitnya hilang. Sepanjang berada di Tanah Suci, dia dapat menunaikan umrah wajib serta beberapa umrah sunat dengan mudah.



Detik paling menyentuh hati bagi Yuszaf ialah ketika melakukan tawaf di hadapan Kaabah. 

Pada tawaf pertama, dia mengakui masih berasa cemas kerana takut terpisah daripada kumpulan jemaah. Namun pada tawaf kedua, emosinya berubah sepenuhnya.

“Saya menangis sepanjang tawaf dan tak berhenti minta ampun kepada Allah,” ceritanya.

Walaupun keadaan di sekitar Kaabah ketika itu sangat sesak, dia turut mengalami satu pengalaman yang dianggap luar biasa. Menurutnya, dia berjaya mencium Kaabah walaupun ramai jemaah lain berebut untuk mendekatinya.

“Walaupun ramai orang, Allah mudahkan saya,” kongsinya.

Sepanjang berada di sana juga, dia tidak merasa letih walaupun menjalani ibadah dalam keadaan berpuasa. Sekembalinya dari Tanah Suci, Yuszaf membuat keputusan untuk mengubah gaya hidupnya.

Dia mula memakai tudung dan berpakaian lebih sopan. Malah, semua pakaian lelaki yang pernah dipakainya sebelum ini disedekahkan kepada orang lain.

“Saya sedekahkan semua baju kurta dan kemeja yang saya ada,” katanya.



Walaupun begitu, dia mengakui proses menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut memerlukan masa.

“Saya masih kekok bila kena pakai tudung setiap kali keluar,” katanya sambil ketawa kecil.

Namun dia bersyukur kerana ramai orang di sekelilingnya memberikan sokongan terhadap perubahan tersebut. 

Ada rakan yang menghadiahkan tudung dan pakaian baharu sebagai tanda sokongan. Malah rakan serumahnya juga menerima perubahan tersebut dengan baik dan mereka kini sama-sama berusaha memperbaiki diri.

Menurut Yuszaf, perjalanan hijrahnya masih jauh dan dia masih dalam proses belajar menjadi insan yang lebih baik. 

Dia juga tidak merasakan dirinya layak memberi nasihat kepada orang lain kerana merasakan dirinya masih baru dalam proses perubahan itu.

Namun pengalaman berada di Tanah Suci telah memberi kesedaran yang mendalam dalam dirinya.

“Kalau Allah boleh jemput saya ke rumah-Nya walaupun saya penuh dosa, itu tanda Allah masih sayang,” katanya.


Kini Yuszaf hanya mempunyai satu harapan dalam hidupnya iaitu untuk terus istiqamah dengan perubahan yang telah dimulakan.

“Saya cuma berharap dapat mati dalam keadaan sebagai seorang wanita yang diterima oleh Allah SWT,” akhirinya. - KitaReporters

13
10
0
14
0

Copy Link: