Perak Sejahtera! Hospital Seri Iskandar sinar baharu penduduk Perak Tengah! Lebih moden! Lebih selesa!

Published by
KitaReporters

SETELAH beroperasi sejak 11 Disember 2024, dengan 40,000 pesakit mendapat rawatan sehingga pertengahan Mei 2026, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan merasmikan Hospital Seri Iskandar pada Khamis, 14 Mei 2026 lalu.


Hospital Seri Iskandar, Perak, yang dirasmikan oleh Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 14 Mei 2026, dilengkapi pelbagai kemudahan serta memberi manfaat kepada 94,000 penduduk Perak Tengah. 


Hospital Seri Iskandar (HSI) dibina bagi memantapkan lagi sistem perkhidmatan kesihatan awam dan memberi akses lebih sempurna kepada penduduk setempat. Hospital ini adalah pelaburan strategik untuk menjamin kualiti hidup rakyat.  

Dengan kekuatan 401 petugas kesihatan, ia ibarat sinar yang menyinari lebih 94,000 penduduk di 12 mukim di Perak Tengah. Hospital dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk rawatan pakar dan unit kecemasan moden. Justeru ia mampu menyediakan perkhidmatan kesihatan lebih efisen dan pantas.

Misalnya dahulu jika warga emas dari Pasir Salak atau ibu-ibu mengandung dari Pulau Tiga terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan pakar, kini kemudahan bertaraf dunia sudah berada di depan mata. Tidak perlu lagi merentas keluar kawasan ke bandar besar.

Justeru hospital berkenaan berdiri sebagai testimoni pentingnya peranan yang dimainkan serta tanggungjawab yang dipikul sebagai nadi kehidupan penduduk setempat.


Sultan Nazrin Shah berkenan melafazkan perasmian Hospital Seri iskandar. Turut hadir Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad (depan kanan) dan Menteri Kesihatan, Dr. Zulkefly Ahmad ( dua dari kanan).


Sultan Nazrin Shah berkenan menandatangi plak perasmian Hospital Seri Iskandar.


Hospital Seri Iskandar dibina bagi menggantikan Hospital Changkat Melintang yang telah beroperasi sejak 1971. Sejajar dengan keperluan semasa dan pertambahan penduduk, hospital lama diganti dengan yang baharu.

Hospital baharu menyediakan persekitaran lebih kondusif dan selesa serta mampu merawat lebih ramai pesakit dengan menyediakan lebih banyak katil.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, yang turut hadir pada majlis perasmian, dalam sembah ucapannya memaklumkan Hospital Seri Iskandar dibina dengan kos RM162.3 juta. Ia siap menurut jadual bagi menyokong visi 'Perak Sejahtera'.


Sultan Nazrin Shah dan Raja Permasuri Perak, Tuanku Zara Salim, berkenan melawat kemudahan disediakan di Hospital Seri Iskandar selepas majlis perasmian.


Hospital tersebut dilengkapi dengan kemudahan moden termasuk dewan bersalin, Unit Hemodialisis dan Unit High Dependency (HDU). Dengan kemudahan yang ada ia mampu memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Memang wajar Seri Iskandar mempunyai hospital serba lengkap memandangkan ia merupakan kawasan yang pesat membangun. Dengan itu keperluan rawatan dan perubatan kelas pertama sangat penting untuk penduduk.  

Di Seri Iskandar juga ada institusi pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Petronas, menjadikan Seri Iskandar bagai sebuah bandar universiti.


Satu lagi sudut pemandangan Hospital Seri Iskandar, hospital moden di Perak Tengah.


Majlis perasmian Hospital Seri Iskandar dimulakan dengan nyanyian lagu negeri Perak, diikuti dengan bacaan ayat suci Al-Quran.

Selepas itu, Sultan Nazrin berkenan menyempurnakan lafaz perasmian, seterusnya menandatangani plak sebagai simbolik perasmian.

Baginda dan Raja Permasuri Perak, Tuanku Zara Salim kemudian berkenan melawat ruang pameran, majlis santapan serta melawat ke bangunan hospital sebelum berangkat pulang.

Turut berangkat hadir pada perasmian Hospital Sri Iskandar ialah Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris.


Sebahagian jemputan yang hadir pada perasmian Hospital Seri Iskandar, Perak.


Juga hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ahli-Ali Majlis Mesyuarat kerajaan (EXCO) Perak; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suadi Abdul Rahim; Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr. Feisul Idzwan Datuk Mustapha serta ketua jabatan negeri dan Persekutuan.

Hospital Sri Iskandar diyakini mampu memberi khidmat rawatan dan perubatan terbaik kepada penduduk dalam membentuk masyarakat sihat sejahtera.

Oleh itu kepada penduduk gunakanlah kemudahan yang disediakan sebaik-baiknya. Jaga diri jaga kesihatan. -KitaReporters

11
13
0
7
0

Copy Link: