Opah Ngomel| Bila takbir raya bergema! Balik mana tahun ini? Ada tak nak balik! Ada balik macam mem!
Published byBiLA lagu Dendang Perantau dinyanyikan oleh Tan Sri P Ramlee sejak berpuluh-puluh tahun lalu, bukan saja air mata jatuh berderai, tiba-tiba saja teringat semula nostalgia silam.

Waktu kita berhijrah meninggalkan ibu bapa, kampung halaman dan membina hidup baru. Dan perkara yang pertama muncul bila gema Aidilfitri disiarkan ialah hendak balik kampung tak?
Sesetengah orang cuti hari mulia itu tidak lagi menggembirakan tetapi yang tabah pula, inilah masanya.
Ibu bapa tunggu, sahabat handai mungkin boleh ketemu dan ziarah saudara mara yang lama tidak ditemui hanya ada pada musim beginilah.
Hendak pula kita sudah ada keluarga sendiri. Beranak pinak sehingga ada rumah di bandar, nun jauh dari desa. Maka setiap kali sambutan Ramadan dan menjelang Aidilfitri.
Satu persoalan yang tidak pernah padam di minda. Raya tahun ni balik kampung siapa? Suami atau isteri?


Ada tu siap "bodek" suami.. Bang!!! Tahun lepas kita balik raya umah mak saya. Tahun ni kita balik umah mentua abglah pulak..🤣" Kalu silap baca tu macam pujuk balik kampung isteri lagi tu!...
Dua hati hendak kena jaga itu. Kalau bijak suami isteri akan buat selang seli.
Tahun ni di rumah isteri dan tahun depan di kampung suami. Malah bijak lagi percaturan, raya kan dua kali. Aidilfitri dan Aidiladha.
Semalam ada yang tanya Opah. Perlukan kita beraya?
Bagi yang ada pengalaman tidak manis pada musim raya. Kadang-kadang hari itu seolah-olah tidak wujud. Ada kawan Opah, cuti hari raya ini adalah peluang mereka "melarikan diri" ke luar negara.
Bukan sombong tapi tidak tahan dengan karenah saudara mara sendiri. Kisah silam yang ngilu, dihina dan diketepikan oleh anggota keluarga ketika berada di titik terendah, membuatkan mereka buat pilihan.

Mengasingkan diri adalah lebih baik daripada bertemu sapa dan berpura-pura baik depan mata. Ada ramai anak yang ada kisah begini, merantau "bawa diri" dan tidak sanggup untuk pulang mencium tangan ibu bapa kerana parut terkilan, kecewa dan sedih itu masih ada.
Teringat Opah masa kerja, cuti Aidilfitri tidak wujud. Cuma diluluskan permohonan untuk pulang Adiladha saja.
"Orang Kelantan kan meriah raya korban." Kawan-kawan seronok beraya kita masih di bahagian cetakan surat khabar, tolong pastikan semua muka surat cukup dan pikul kerja orang lain, macam kita robot yang tiada perasaan.
Sekarang Perang Teluk masih sampai kemuncak. Agak susah nak menjawabnya dalam keadaan ekonomi dunia dan negara yang serba serbi mencanak naik harga, kadang-kadang gaji pun tak berapa hendak cukup sampai hujung bulan.
Pinjaman rumah, kereta, loan peribadi dan duit minyak, tol motor atau keret bukan sikit tu. Hasilnya buat pinjamanlah.

Sepatutnya bila tahu keperluan balik kampung tu wajib. Ibu bapa yang bekerja sepatutnya menabung biarpun RM50-RM100 sebulan. Itu membuktikan kita berdisplin dan wang kalau dicari tidak pernah akan cukup.
Seronok bila berkumpul di kampung. Bertemu saudara yang mungkin tinggal di luar negara dapat pulang.
Namum dalam gelak ketawa itu, anak-anak kena bijak menjaga perasaan. Ada keluarga ramai ini, maka urusan menyiapkan keperluan perayaan harus dikongsi.
Bila baca luahan isteri terutama yang tidak bekerja terpaksa berhempas pula menjadi jurudapur, memasak, mengemas, melayan adik beradik rasanya cerita balik kampung ni tidak begitu seronok dibaca.

Bayangkan ada suri rumah yang enggan balik ke kampung suami kerana terpaksa menjadi jurudapor yang bukan sikit kerja. Dari subuh bangun memasak dan sehingga subuh esoknya berhempas pulas di dapur.
Bagi menantu yang "agak kaya" mereka sudah tentu lepas tangan. Mana mahunya menyinsing baju buruk pada pagi raya.
Dan sekarang ketara bila orang muda termasuk gadis lebih suka melayan telefon di dalam bilik. Bila sudah lapar baru ke dapur, makan dan tinggalkan sisa pinggan mangkuk di dalam sinki.
Pengalaman Opah yang hampir 30 tahun berseorangan di dapur memasak termasuk berkilo-kilo nasi dagang, lauk pauk dari ayam sehingga gulai ikan dan gorengan sebagai hiasan meja tambahan dan melayan tetamu sudah tidak cukup tangan. Tahun ni kita "tutup pintu rumah".

Ada suatu tu, ketika menantu berpantang dan selama sebulan naik turun tangga menyiapkan cucu mandi, makan minum menantu dalam pantang dan ketika tiba malam raya dari Subuh mula memasak.
Opah boleh jatuh terlentang di tepi meja. Tertidur akibat keletihan melampau.
Tapi tidak boleh merungut sebab kita yang beranak pinak ramai, dapat pula menantu yang tidak "pandai" masuk dapur. Reda saja.
Sebab tu ada kalanya kita yang kena buat semua benda ni, mencuci segala periuk belanga, tidak hairanlah bila dekat saja hari raya itu, ada rasa "berat" untuk bergembira.
Tu belum cerita balik kampung lagi. Balik beraya kena ada wang saku RM2k sehingga RM5k perbelanjaan biasa untuk duduk seminggu.
Membeli keperluan rumah ibu bapa, menghadiahkan wang raya kepada saudara mara dan kaum keluarga. Termasuk membiayai perbelanjaan beli-belah ketika di kampung.

Dulu masa kerja Opah ada koperasi dan wang belanja "advance" daripada syarikat. Malah suatu ketika orang Melayu termasuk kakitangan kerajaan yang dikatakan paling ramai berhutang along untuk "berpesta" sambut raya.
Sekarang pun mungkin hampir sama. Anak-anak beritahu syarikat ada tawarkan duit pendahuluan itu boleh sampai ribuan.
Tapi dia tolak, bimbang lepas hari raya sesak nafas sebab duit itu akan menjejaskan jadual pengurusan wangnya untuk bayar kereta, motor dan keperluan harian.
Kepada mereka yang kampung halaman nun jauh, memandu sehingga 5-6 jam untuk sampai dan beratur berjam-jam di jalan raya.
Ada tu dah pelan awal tapi esok pagi baru sampai. "Berumah tangga" di jalan raya sudah macam pesta "berarak pengantin la pulak."

Hal ini dialami setiap tahun termasuk cuti sekolah, cuti khas yang memakan masa dua tiga hari. Kita negara makmur tandanya.
Biarpun pulang dalam keadaan berhimpit dalam kereta, menaiki bas tambahan dan tiket penerbangan habis. Hari raya tetap menarik mereka pulang ke pangkuan ibu bapa.
Selamat menyambut Aidilfitri semua. Maaf zahir batin daripada Opah @ Kartini Noor. - KitaReporters
