Hujan emas di Hatyai, hujan batu di Padang Besar! Lebih baik hujan batu! Pengalaman yang memeritkan!

Published by
KitaReporters

Peribahasa Melayu ada mengatakan, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

Walau seindah mana sekalipun negeri orang, negeri sendiri tetap lebih baik dan selesa.


Antara penumpang yang setia menanti sementara menuju destinasi dari Padang Besar ke Hatyai.

Keadaan penumpang bersama penulis yang terpaksa berkongsi lantai koc sebagai tempat duduk pada 1 Mei 2026.

Mendengar omongan dan cerita manis teman dan rakan mengenai keindahan dan keseronokan di Hatyai, Thailand amat mempesonakan.

Atas dasar ingin tahu penulis gagahkan diri buat pertama kalinya bertandang ke negara jiran dengan menaiki tren dari Butterworth ke Padang Besar yang mengambil masa hampir dua jam.

Situasi dalam tren yang ramai pada cuti umum Hari Buruh 1 Mei 2026 sememangnya padat dan penuh sesak dengan penumpang.

Sebaik sahaja sampai ke stesen tren Padang Besar, imigresen Thailand harus ditemui sebelum bergerak bersesak-sesak menaiki tren berwarna hijau yang telah siap menanti untuk ke Hatyai.

Yang kelihatan jelas pada hari itu adalah pemegang pasport Malaysia, Indonesia dan Thailand.


Stesen Hatyai yang menjadi destinasi pertama penumpang sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi lain di Thailand.

"Ya Allah, jelek bangat tren ini ya." Itu luahan pertama kedengaran sebaik sahaja melangkah masuk ke koc berwarna hijau yang sememangnya mencabar kesabaran setiap penumpang.yang menjejaki kaki ke situ.

Tidak lama selepas itu kedengaran lagi suara tidak puas hati penumpang dengan teriakan  kecewa "Ada gak tren yang lain pak?" Tanya gadis Indonesia yang turut kelihatan gelisah kerana situasi koc tren yang dinaiki panas, tiada kipas dan tiada kerusi untuk duduk.

Lebih membimbangkan lantai kayunya kelihatan lusuh dan ada penumpang yang terpaksa bergelut untuk mendapat tempat duduk di koc yang lain walaupun bangkunya terdiri dari bangku kayu yang sudah tidak wujud lagi di Malaysia ketika ini.


Kerusi yang kelihatan lusuh dalam koc masih menjadi tempat penumpang beristirehat sebelum sampai ke destinasi Hatyai Junction (Stesen Hatyai).

Bertemankan lampu dalam koc tanpa kipas ini amat memeritkan.

Sudahlah jadual bertolak lewat sehingga dua jam dan terpaksa pula bertahan tempat duduk kerana penumpang semakin bertambah dari satu stesen ke stesen yang lain.

Secara tidak langsung situasi yang penuh cabaran ini menguji kesabaran mental dan fizikal. Hendak marah pun ada, menyesal pun ada.

Memang benar bagai kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri.

Nostalgia ini menjadi memori duka yang terpaksa dikongsi bersama penumpang dan pelancong tempatan dan luar negara.

Terbukti tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) adalah lebih baik jika dibandingkan dengan tren sedia ada di negara jiran. - KitaReporters


Situasi berbeza jika dibandingkan antara stesen tren Hatyai di Thailand dengan stesen kereta api Padang Besar di Malaysia.

12
12
0
5
0

Copy Link: