Penulis amat kagum dengan keakraban dan silaturahim yang dijaga oleh sesebuah institusi kekeluargaan sehingga ada yang mampu mengumpulkan ahli keluarga keturunan meskipun generasi awal telah meninggal dunia sejak 100 tahun yang lalu.



Siapa Tok Khanafi? Nama Tok Khanafi ini agak terkenal dan menjadi sebutan juga di daerah Muar. 

Awalnya Tok Khanafi Mohd Ketur adalah generasi pertama di mana kumpulan orang-orang Jawa yang mula teroka tanah di kawasan Bandar Muar (berhampiran bulatan Sulaiman, Jalan Khalidi) sehingga susur tepi sungai Muar di beberapa kawasan sekitar Perhentian Bas Bentayan, Jalan Salleh/Jalan Bakariah sehingga ke Parit Setongkat semasa pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim Al-Masyhur Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Al-Khalil Ibrahim Shah (1873-1959).

Penulis amat berminat dengan kisah-kisah lama asal usul pembukaan sesuatu tempat, daerah atau negeri dan bagi mendapatkan informasi dan cerita-cerita benar serta sahih ini, penulis berjaya menemui keturunan Tok Khanafi ini pada tahun 2024 sewaktu majlis reunion keluarga besar ini. 


Pusara Tok Khanafi Mohd Ketur di Tanah Perkuburan Bakri Batu 1, Muar


Kira-kira 300 orang waris Tok Khanafi yang merupakan antara pelopor terawal pembukaan tanah di Muar berkumpul mengeratkan lagi silaturahim pelbagai lapisan rumpun serta generasi selepas 101 tahun pemergian Tok Khanafi.

Majlis penyatuan semula yang julung-julung kali diadakan itu berjaya mengumpulkan sebanyak lapan generasi daripada lima rumpun di Marissa Grand Event Space, Jalan Khalidi Muar. 

Penulis sempat berbual dengan Dzulkarnain Abdullah, 51, yang merupakan cicit kepada Tok Khanafi, perancangan majlis ini yang telah membuat perancangan kira-kira lapan bulan lamanya.



Perbincangan bermula dengan diwakili cucu cicit daripada lima rumpun anak-anak Tok Khanafi iaitu Tok Long Toyah (Rumpun 1), Tok Ngah Leman (Rumpun 2), Tokda Khassan (Rumpun 3), Tok Andak Khussin (Rumpun 4) dan Toksu Salleh (Rumpun 5).

Apa yang menariknya, di dalam majlis ini setiap ahli keluarga diberikan tanda nama untuk dipakai di baju berserta pelekat bulat berwarna mengikut generasi masing-masing. Ini bagi memudahkan setiap ahli keluarga berkenalan dan mengetahui mereka berasal dari rumpun atau generasi yang ke berapa. 


 


Fakta mengenai Tok Khanafi sebagai pelopor terawal daerah Muar diperolehi daripada Mohd Kamaruddin Mohd Ali yang merupakan rumpun keempat generasi kelima. Sayangnya hanya tinggal beberapa waris sahaja daripada generasi ketiga yang masih hidup kini untuk dijadikan sumber rujukan cucu cicit waris Tok Khanafi. 

Idea penyatuan waris Tok Khanafi ini telah diusulkan oleh arwah Yatim @ Latim Salleh kepada Dr. Othman Yackob dan disusuli cadangan Dato' Bahari Haron yang merupakan mantan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor (bekas ADUN Tenang dan Ahli Parlimen Labis) pada 25 Ogos 2023. 

Setelah itu, idea tersebut telah dipanjangkan semula kepada Jazlan Yatim @ Latim yang memulakan perbincangan awal dan mengumpul data maklumat keluarga dari beberapa wakil rumpun (Mohd Kator Salleh, Dr. Nasir Musa, Hajar, Dzulkarnain, Helmee, Kharuladha, Awanis, Eshamuddin) serta dibantu beberapa orang waris lain untuk merancang dan merealisasikan acara majlis bersejarah ini. 



Salah seorang waris Tok Khanafi, Ahmad Zaki Abdullah, 45, berkata, kedua-dua ibu bapanya lahir dari dalam waris Tok Khanafi di mana ibunya dari rumpun kedua generasi lima dan bapanya dari rumpun keempat generasi ke-empat.

"Majlis penyatuan semula ini sangat terkesan bagi kami generasi penyambung waris Tok Khanafi kerana melalui majlis seperti ini banyak aktiviti bermanfaat dapat dilakukan bersama selain dapat mengenali sanak saudara. 

"Kami sempat melakukan bacaan yasin dan tahlil bagi kaum keluarga yang telah meninggal dunia, sesi bergambar, sesi ucapan, kuiz, hadiah duit raya bagi kanak-kanak, jamuan makan dan beramah mesra sesama keluarga," katanya.



Menurut arwah Cikgu Mohd Ali Md Yassin dari rumpun keempat dan generasi empat, Tok Khanafi berasal dari suku bangsa Jawa Kendal, Wilayah Semarang Kepulauan Jawa Tengah (dari susur galur Wali Songo Sunan Kalijaga @ Raden Mas Said). 

"Beliau meninggal dunia pada 6 April 1923 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bakri Batu 1, Muar," kongsinya.


 


Penulis tumpang gembira dengan majlis beramah mesra antara generasi seperti ini dapat dijadikan contoh kepada masyarakat dan berharap majlis julung kali ini bagi keturunan Tok Khanafi ini akan menjadi inspirasi dan diteruskan pada masa hadapan oleh generasi cucu cicit waris Tok Khanafi Muar untuk dijadikan acara tahunan tradisi bersilaturahim sesama ahli keluarga. - KitaReporters

13
7
0
12
0

Copy Link: