Video| Makan nasi ada pasir di penjara! Ikan reject, sayur kangkong dipetik sebelah jamban! - Ameng
Published byBILA hidup diselubungi kemewahan, bebas bergerak dan bezanya memang ternyata bak langit dengan bumi ketika bergelar banduan.
Baru terasa "kejamnya" hidup ketika makanan dicatukan dengan nasi, daripada beras bercampur pasir, sehingga ikan jaket (ikan cencaru) lenyek dengan mata ikan itu "terletak di dahi'.

Ini kerana lamanya ikan itu terpenyek, jadi leper macam keropok, sayur pula kangkong rebus yang nipis kerana terhimpit dan dikutip di sebelah jamban. Ada juga diberikan sebiji telur sebesar saiz ayam serama atau burung puyuh.
Itulah masa yang menyedarkan dirinya betapa nikmatnya hidup bebas, demikian kata Ameng Spring atau Wan Aminuddin bin Wan Ismail yang menceritakan pengalamannya menjadi banduan selama lapan tahun.
Katanya sebab saiz telur kecil, ia tergolek-golek dalam pinggan besi dan ada ketikanya, isi boleh terlekat pada kulit telur, maka terpaksa dikorek guna jari.
Dalam beberapa podcast yang dibuat oleh Ameng itu selepas mendapat kebenaran daripada pengurusan penjara untuk membongkar kisah di sebalik tirai besi sebagai peringatan kepada orang ramai agar takut untuk masuk penjara.
Ameng turut dihukum 10 sebatan yang sakitnya terasa bagaikan nyawa sudah melayang. Kulit punggungnya pecah dan lebih sakit lagi apabila birat sebatan itu menjadi kuping bila kering.

Dia menjalani hukuman pada tahun 2011 dan dibebaskan pada 14 Jun 2016 dari Penjara Kluang, Johor, setelah mendapat pengurangan hukuman.
Selama lapan tahun itu, itu baru bab makan minum yang semua daripada bahan terbuang (reject) bagi jimat belanja. Belum lagi karenah dalam penjara yang ada macam-macam kes daripada merogol sehingga membunuh.
Semasa di dalam penjara, Ameng mendedahkan beliau mula belajar mengaji pada usia 42 tahun dan berjaya khatam Al-Quran sebanyak 100 kali. Beliau menyifatkan tempoh di penjara sebagai titik tolak untuk meninggalkan dadah.

Katanya sepanjang di penjara, tiada hari atau sejam pun hari yang gembira. Sedih yang berpanjangan kerana dulu, kerjaya sebagai penyanyi mampu memperolehi pendapatan puluhan ribu ringgit bertukar kepada menerima elaun "kerja" 30 sen sehari.
"Kadangkala nasib baik dapat juga ketulan ayam yang macam dikerat 45 bahagian. Dua minggu sekali ada lauk daging. Kuah nasi adalah air rebusan sayur kangkung itu. Kira perahlah air itu.
"Jika diberikan bubur kacang pula bukannya ada santan. Bubur itu direndam biar bengkak dan itulah pencuci mulut tersedap di dunia.
"Saya tanya pihak penjara kenapalah makanan tak sedapnya. Penjara bagitahu sehari belanja bagi makan banduan lebih RM7,500 sekali dan jika dua kali menjadi RM15,000. Sebab itu banduan diberi makanan "direject" untuk jimat belanja.
"Tapi ia menyedarkan saya, hidup kita ini ringkas saja. Semua makanan yang tidak sedap itu, saya tetap gemuk, sihat dan hidup sampai sekarang, lapan tahun tidur tidak ada kipas tetap lena," katanya sebelum ini, hidupnya mewah dengan gaji permulaan RM5,000 sebulan masa mula merakam album dan itu tidak termasuk bayaran menyanyi di pentas serta royalti.
Dari hotel mewah, berkereta Alfa Romeo dia menghuni bilik jel kalau duduk seorang ukuran kecil, gelap dan lantainya dipenuhi lipas, lipan, nyamuk yang hinggap di kiri kanan. Bau najis banduan hapak kerana makanan mereka sama.
Malah ada banduan yang kemaruk merokok sanggup bertukar putung rokok dengan penghidap Aids.
Ameng mula terbabit dalam penyalahgunaan dadah itu ketika membuat persembahan di kelab malam dengan gaji RM12,000 sebulan pada hari biasa dan pendapatan untuk Sabtu, Ahad lain pula jumlahnya.

Menurut catatan goggle, Ameng merupakan vokalis kumpulan rock popular era 90-an, Spring, yang terkenal dengan lagu hit seperti Bourgenvilla dan Butakah Cinta. Anak kelahiran Besut, Terengganu ini dilahirkan pada 24 November 1968.
Memulakan karier bersama Spring pada tahun 1990. Kumpulan Spring pernah memenangi Anugerah Bintang Popular Penyanyi Berkumpulan pada tahun 1994.
Dia ditahan selepas pihak berkuasa menjumpai dadah yang baru diterima untuk bekalan sendiri dan menahannya kerana jumlah dadah itu terlalu banyak.
Ameng berkata sepanjang di penjara itu dia pernah duduk sebilik dengan iman, ustaz yang jadi perogol dan pembunuh. Malah ada suatu ketika dia ditempatkan bersama gengster dan persahabatan itu membuatkan banduan lain takut kepadanya kerana menyangka Ameng salah seorang pengikut gengster itu.
"Paling seram bila saya dapat tahu ada budak muda Melayu merogol tiga mayat di tempat kerjanya. Dia cakap tergoda kerana mayat itu "seksi" dan sangat cantik.
"Tapi muka budak itu macam mayat (zombie), pucat dan menyeramkan. Jangan main-main dengan badi mayat.
"Gitu juga dengan iman selalunya mereka tersalah guna duit tabung masjid dan ustaz pula dia rogol budak-budak yang datang mengaji dengannya.
"Betullah satu-satunya kes yang dibenci oleh banduan dalam penjara, kalau perogol sumbang mahram, masuk sini mereka akan jadi "makanan" banduan. Dikerjakan beramai-ramai. Tak perlu sabun jatuh sebab sebut saja perogol itu semua tahu," katanya.
Bayangkan kata Ameng ada banduan yang ditahan lokap sebelum dihantar ke penjara, sengaja tidak buang air besar sampai seminggu, semata-mata untuk menahan daripada rokok dan pemetik api yang ditelannya.
Ameng mula berhenti merokok ketika di sel, dia melihat sendiri bagaimana banduan baru masuk itu, menggunakan pancutan air untuk berakkan rokok yang sudah bercampur tahi. Ini menyebabkan jari berwarna kuning kerana campuran tahi itu.
Malah dia pernah bertemu seorang lelaki yang keluar masuk penjara itu seolah-olah pulang ke rumahnya setiap dua tiga bulan sekali. Kali terakhir lelaki itu berada umurnya sudah menjangkau lewat 50-an.

Menceritakan pendapatan banduan, Ameng berkata banduan diberi elaun 30 sen sehari dan selepas dikumpul mereka boleh membeli barangan di kedai koperasi sebulan sekali.
"Ketika kami dapat sebotol kicap macam nikmatnya hidup. Malah ada ketika, botol kicap pecah akibat berebut hendak gunakan kicap itu sebagai kuah." katanya.
Ameng juga melalui enam kali puasa dan lima kali berhari raya. Dan bayangkan bulan Ramadanlah paling sedih baginya.
Ketika berpuasa, kita biasa "berpesta" sepanjang Ramadan dengan limpahan makanan sampai terbuang tetapi dalam penjara, banduannya kelaparan kerana mereka hanya diberi segenggam nasi dan sentiasa kelaparan.
Waktu bersahur jam 11 malam. - KitaReporters
