KEBERANGKATAN Pemangku Raja Pahang ke Kampung Permatang Pauh, Pekan, Pahang bukan sahaja mengejutkan. Sebaliknya rakyat di kawasan itu turut terharu apabila dalam lawatan yang tidak rasmi itu, baginda sanggup melakukan kerja-kerja mengikat bata di sebuah rumah orang miskin, Mustafa Kassim, 78, yang tinggal di kampung berkenaan. : KitaReporter 

KDYMM Pemangku Raja Pahang sedang mengikat bata di rumah Musatafa Kassim di Kampung Permatang Pauh, Pekan, Pahang.


Lagi cerita-cerita berkaitan Tengku Hassanal:

https://kitareporters.com/search?search=tengku+hassanal


Lebih mengharukan rakyat di kawasan itu, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tanpa mengenal erti jemu datang lagi ke rumah golongan asnaf tersebut selama tiga hari berturut-turut untuk mengikat bata di rumah berkenaan yang kini sedang dalam pembinaannya. 

Selain mengikat bata, baginda juga berbasikal untuk meninjau kawasan di kampung itu dan beramah mesra dengan masyarakat setempat.

SELEPAS solat Jumaat KDYMM Pemangku Raja Pahang bertemu dan beramah mesra dengan Mustafa Kassim (kanan) di Kampung Permatang Pauh, Pekan, Pahang.



Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Permatang Pauh, Mohd Nasrul Hakim Mat Daud berkata, beliau berserta dengan penduduk kampung amat teruja dengan kedatangan baginda yang tidak disangkakan di kampung itu pada hari Jumaat, 2 Oktober 2020 lalu. 

Menurutnya, pada hari berkenaan selepas melakukan kerja-kerja mengikat bata di rumah Mustafa, Pemangku Raja Pahang itu mendirikan solat asar berjemaah di surau kampung itu. 

Sebelum itu, katanya, baginda santap (makan tengah hari) di rumah penduduk kampung, Megat Zaini Md. Din dan kemudian baginda berbasikal bersama beberapa penduduk bermula dari Kampung Permatang Pauh hingga ke Istana Mahligai Mahkota, Pekan.

Pemangku Raja Pahang (dua dari kanan) mengaminkan doa selepas solat asar yang diimankan oleh Mohd Nasrul Hakim Mat Daud di Surau Kampung Permatang Pauh, Pekan.


``Keberangkatan Pemangku Raja Pahang ke kampung kami ini boleh dianggap baginda mempunyai sifat merendah diri dan kecaknaan masalah rakyat di negeri ini  sudah sebati dalam diri baginda,’’ katanya. 

Mustafa sebelum ini sudah mendapat bantuan sebanyak RM350 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang dan sebanyak RM400 sebulan dari Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata bantuan rumah Mustafa yang berharga RM20,000 itu disediakan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). Pemangku Raja Pahang merupakan Yang Dipertua MUIP.

Beliau berkata, rumah Mustafa itu merupakan rumah yang keempat dibina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Bebar setakat ini pada tahun 2020 ini. 

DATUK Mohammad Fakhruddin Mohd Afif


``Sebelum ini, kita telah membina tiga buah rumah yang sama untuk golongan miskin dan kita bercadang untuk membina dua buah lagi rumah orang miskin serta tidak berkemampuan di kawasan ini dalam masa terdekat. 

``Dengan bantuan rumah serta pelbagai bantuan lain yang disalurkan kepada mereka yang layak itu sebagai keprihatinan kerajaan negeri dan agensi kerajaan yang berkaitan terhadap rakyat,’’ kata beliau yang merupakan ADUN Kawasan Bebar.

Sebagai ADUN, Mohammad Fakhruddin telah menyumbangkan kos penyambungan air paip ke rumah asnaf dan bantuan beberapa kelengkapan rumah. - KitaReporters

6
8
0
1
1

Copy Link: