BARU-BARU ini tular satu perkongsian video dalam TikTok mengenai sebuah pondok yang dilihat buruk dari luar namun kelihatan mewah di dalam.

Perkongsian video berdurasi tiga minit 13 saat yang dibuat seorang pemilik kedai makan di Kuala Terengganu bukan sahaja tular di Malaysia namun di Indonesia dan mencapai hampir 20 juta jumlah tontonan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pondok buruk


Video berkenaan pada awalnya menunjukkan bahagian luaran pondok tersebut yang kelihatan sangat buruk dan usang kerana zink berkarat serta dinding papan lapis hampir roboh sehingga mengundang rasa hiba penonton.

Bagaimanapun, kesedihan serta perasaan simpati itu bertukar menjadi teruja dan kagum setelah melihat dekorasi bahagian dalam pondok itu dengan tatarias sangat mewah bagaikan hotel lima bintang, diserikan dengan kemasan berwarna emas untuk sinki, tab mandi dan mangkuk tandas

“Saya tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang ke kedai makannya sejak dua minggu lepas kerana mereka turut mahu melihat sendiri keunikan pondok tersebut.

"Sejak siap ubah suai dengan kos RM11,000 tiga tahun lepas, memang saya selalu terima pelawaan orang ramai yang ingin bergambar dan merakam video pondok itu untuk dimuat naik ke akaun media sosial masing-masing” kata pemiliknya.


Baharuddin Mamat menunjukkan antara kemudahan yang ada di dalam pondok usang tempatnya berehat.


Jelasnya, ini merupakan kali pertama ia menjadi tular di pelbagai portal termasuk di Indonesia dan memberi impak yang sangat kuat kepada perniagaannya, masakan asam pedas di kedai makan semakin laris dalam tempoh singkat.

Pok Din Lejeng atau nama sebenarnya Baharuddin Mamat, 66, berkata pada awalnya dia mengubah suai pondok tersebut adalah untuk dijadikan tempat berehat selepas kepenatan bekerja di kedai makannya yang terletak bersebelahan.

"Di sini jugalah tempat saya dan pekerja menunaikan solat, malah saya turut membenarkan pelanggan menggunakannya sekiranya tandas di kedai makan penuh. Ada juga pelanggan wanita yang menukar lampin bayi mereka di sini kerana saya mahukan mereka selesa ketika menjamu selera di kedai makan.

"Pada mulanya, kebanyakan pelanggan seolah-olah berat hati ketika saya meminta mereka menggunakan tandas dan ruangan berehat di pondok tersebut kerana dari luar, ia nampak agak 'menakutkan', tapi persepsi itu berubah sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke dalam," katanya.


Tandas mewah yang diubah suai oleh Baharuddin Mamat berkelas lima bintang.


Selain tandas mewah dengan rona emas, pondok itu juga mempunyai ruang bacaan, sebuah katil, penyaman udara, sistem audio dan ruang komputer

Selepas tular bapa kepada tujuh anak itu berkata dirinya terhibur membaca pelbagai komen netizen dalam media sosial dan menjadikannya sebagai motivasi untuk terus menyediakan yang terbaik kepada pelanggan kedai makannya yang terletak di Jalan Sultan Mohamad,Kuala Terengganu.

Tambahnya, dia tidak akan mengubah suai bahagian luar pondok tersebut kerana mahu keunikan tersebut dikekalkan seperti asal.

Sementara itu, beliau sempat menzahirkan ucapan terima kasih kepada pelanggan yang menyokong beliau dan ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata mahu melihat keunikan pondok berkenaan. - KitaReporters 


13
11
0
13
0

Copy Link: