Reunion cara old school! Sambil mengacau bubur Asyura! Meriah, riuh rendah! Peluang lepaskan rindu!

Published by
KitaReporters


10 Muharam adalah Hari Asyura. Antara tradisi orang Melayu turun temurun apabila tiba tarikh ini ialah membuat bubur Asyura.

Bubur Asyura ialah sejenis makanan yang diperbuat daripada pelbagai campuran ramuan sempena 10 Muharam setiap kali tirai tahun Baharu Hijrah disambut. 

Ada yang mengatakan, campuran ramuan hendaklah terdiri daripada 10 jenis bahan makanan, jangan dikurang dan jangan dilebih. Jika tidak, ia tidak dinamakan bubur Asyura. Apapun ia bukan kemestian dan terpulang kepada masing-masing apa ramuan yang diinginkan. 

Datangnya Muharam maka bermulalah acara mengacau bubur Asyura. 

Mengimbau zaman kanak-kanak pada Hari Asyura, masih teringat betapa sibuknya arwah mak membuat persiapan mengacau bubur Asyura. 




Acara ini biasanya dilakukan secara gotong royong dengan kaum keluarga dan jiran. Suasana agak meriah. Kerja juga dibahagikan sama rata. Orang dahulu kata berpakat. 

Sesetengah orang kata rewang. Ada juga sebut gotong royong. Apapun semua sama. Bekerjasama untuk melakukan sesuatu. Bahan-bahannya juga dibawa secara potluck (kongsi-kongsi) kata orang sekarang. 

Semua ramuan yang diperlukan untuk membuat bubur Asyura seperti tepung, santan, gula putih, gula merah, pisang, ubi keledek, kacang hijau, kacang tanah, sagu, jagung, nangka dan juga durian jika bermusim dibawa dengan sukarela. 

Banyakkan? Itulah istimewanya bubur Asyura. Bahan-bahan campuran inilah yang menambah sedapnya bubur Asyura. 



Sambil menyiapkan apa yang patut mereka berbual dan beramah mesra. Gelak ketawa usik mengusik menjadi halua telinga. 

Seronok tengok kemesraan yang terjalin antara keluarga dan jiran tetangga. Mesra dengan harmoni suasana. 

Ketika kawah atau periuk besar dinaikkan ke dapur yang menggunakan kayu api mereka mengambil giliran mengacau tanpa disuruh. 

Semangat kerjasama yang padu terpahat dalam hati mereka. Tidak berkira dan tidak mengeluh

Apabila bubur Asyura hampir masak, saya masih ingat anak-anak menunggu keliling periuk untuk menjamah bubur Asyura. 

Teringat saya dulu-dulu, kami buat sudu dari daun kelapa. Bila siap bubur Asyura berebut-rebut pula menghulur daun pisang atas piring kecil untuk mengambil kerak bubur Asyura dari tepi kawah atau periuk. 

Nostalgia yang tidak dapat dilupakan, makan bubur Asyura bersudukan daun kelapa. Itu dahulu! 

Sekarang suasana berlaku mengikut keadaan dan persekitaran komuniti dan suasana kawasan perumahan di surau dan masjid yang menjadi lokasi mengacu bubur asyura. Ada juga yang menggunakan rumah sendiri. 



Dan saya turut teruja dengan bubur Asyura ini yang menjadi tradisi arwah mak yang tak pernah dilupakan. Walau mak sudah pergi saya jadikan mengacau bubur Asyura ini sebagai amalan jika ada di kampung. Biasanya dengan adik beradik dan keluarga. 

Tapi tahun ini (2023) saya jemput sahabat syurga saya dari Sekolah Menengah (SM) Sultanah Asma Batch (SAS) 74 (SAS 74) untuk ikut sama. 

Meriah yang amat. Kami bukan setakat mengacau bubur Asyura tetapi melepas rindu dengan sahabat-sajabat yang lama tak jumpa. 

Apa lagi riuh rendah berborak. Sama laju dengan tangan mengacau bubur asyura. Inilah istimewanya majlis santai asyura kami. 

Reunion cara kami Golden Girls74. Unik dan meninggalkan kenangan indah. Kepada yang mahu kelainan menyambut Tahun Baharu Hijrah tahun depan (2024) mungkin boleh cuba cara kami. 

Syabas sahabat SAS 74 yang sporting. Jumpa lagi Insya-Allah 1446H dengan izin Allah. Kalian semua awesome! - KitaReporters


12
16
0
15
0

Copy Link: