MENETAP di taman perumahan yang berkongsi dalam pelbagai perkara menuntut kesedaran sosial yang tinggi kerana sikap mementingkan diri dalam komuniti perumahan biasanya lahir daripada mentaliti "ini kawasan aku".


Jika mahu hidup bersama dengan baik, penduduk perlu ada toleransi bahawa mereka berkongsi ruang, empati kepada jiran dan menganggap ia keluarga yang besar.


Walaupun undang-undang menggariskan bahawa kawasan luar rumah seperti jalan, parkir awam dan longkang adalah milik bersama, ada menganggap ia hak peribadi. 

Contohnya amalan cop parking (parkir) jelas melanggar prinsip hidup berjiran dan boleh mencetuskan konflik kecil yang lama kelamaan jadi besar.

Mantan Pengerusi Persatuan Komuniti KF8, Bandar Baru Bangi, Selangor, Ahmad Suhaimi Sulaiman, berkata masalah itu juga berlaku kerana kurang kesedaran sivik. Isu buang sampah, tidak jaga kebersihan atau menanam pokok tanpa penyelenggaraan menunjukkan kurangnya disiplin diri. 

Ini bukan soal pendidikan tinggi atau rendah semata-mata, tetapi sikap dan nilai.


Ahmad Suhaimi Sulaiman (kanan) melayan Bukhari Bachok mengambil makanan sempena Majlis Jamuan Setaman KF9, Bandar Baru Bangi, Selangor.


Majlis Jamuan Setaman dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Komuniti KF8, Bandar Baru Bangi, Selangor pada 25 April 2026.


Beliau berkata, lemahnya semangat kejiranan kerana amalan lama seperti konsep “ambil tahu jiran” tidak diamalkan, sebaliknya penduduk hidup secara individualistik. 

Bila tiada hubungan, tiada empati. Bila tiada empati, orang tak peduli kesan perbuatan mereka kepada orang lain.

"Malah, jika tiada penguatkuasaan atau teguran, penduduk memilih berdiam diri bagi mengelak konflik. Akhirnya, sikap negatif itu berulang kerana tiada siapa menegur atau mengambil tindakan.

"Jika sikap ini berterusan, suasana taman perumahan boleh jadi tidak harmoni, kotor dan tidak selamat, hilang rasa komuniti kerana kehidupan macam “asing” walaupun bersebelahan rumah," katanya pada Majlis Jamuan Setaman dan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Komuniti KF8, Bandar Baru Bangi, Selangor pada 25 April 2026.


Penduduk mengambil kesempatan Majlis Jamuan Setaman dan AGM Persatuan Komuniti KF8, Bandar Baru Bangi, Selangor untuk beramah mesra dan mengenali lebih rapat di antara satu sama lain.


Antara Duyufurrahman yang terdiri daripada penduduk KF8 diraikan sempena Majlis Jamuan Setaman.


Katanya, untuk hidup bersama dengan baik, sekurang-kurangnya perlu ada toleransi bahawa kita berkongsi ruang, empati kepada jiran, berdisiplin dengan mengikut peraturan walaupun nampak remeh dan komunikasi secara berani dengan membuat teguran secara baik

"Sikap mementingkan diri dalam kawasan perumahan sebenarnya tidak matang dari sudut sosial. Menetap dalam komuniti bukan sekadar anda membayar harga rumah dan tinggal di dalamnya tetapi berkongsi tanggungjawab menjaga persekitaran.

"Jika seseorang tidak boleh bertolak ansur dalam perkara asas seperti parkir, kebersihan atau gangguan pokok, itu tanda dia masih melihat kehidupan secara individu, bukan komuniti," katanya.


Penduduk yang menetap di taman perumahan berkongsi dalam pelbagai perkara dan mereka perlu mempunyai kesedaran sosial yang tinggi.


Tidak kira bangsa atau agama, penduduk perlu bersikap toleransi dan memberi kerjasama bagi memudahkan persatuan menjalankan tugas dengan baik.


Bagi Ahli Majlis Zon 16, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Bukhari Bachok, setiap individu perlu memupuk sikap bertanggungjawab, bertoleransi dan menghormati hak bersama bagi memastikan keharmonian terus terpelihara.

Beliau berkata, jika semua mahu menang sendiri, akhirnya semua akan rugi. 

"Hidup berjiran perlukan kompromi. Usaha berterusan melalui program komuniti, teguran berhemah serta penguatkuasaan peraturan mampu menjadi jalan terbaik menangani masalah berkenaan.

"Hakikatnya, taman perumahan bukan sekadar tempat berteduh tetapi medan membina hubungan dan keharmonian. Tanpa sikap saling menghormati, impian itu hanya tinggal angan-angan," katanya ketika merasmikan Majlis Jamuan Setaman dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Komuniti KF8, Bandar Baru Bangi, Selangor.


Generasi muda perlu bergaul dalam masyarakat bagi membolehkan mereka lebih peka mengenai persekitaran tempat kediaman, bukan hanya di rumah sendiri.


Keluarga yang harmoni dan bahagia lahir daripada persekitaran taman perumahan yang positif, saling bekerjasama dan mengambil tahu di antara satu sama lain.


Beliau mengakui bukan mudah untuk menjadi ahli majlis kerana di Zon 16 sahaja ada 50 persatuan penduduk, ini tidak termasuk Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) di kediaman bertingkat-tingkat.

"Saya perlu bersikap toleransi dengan semua persatuan penduduk dan JMB kerana masing-masing mempunyai pendekatan, karenah dan masalah yang berbeza. 

"Tapi, alhamdulillah setakat ini kebanyakan pihak di zon 16 memberi kerjasama baik sehingga memudahkan tugas menyelesaikan banyak masalah.

"Contohnya, di taman perumahan KF8, saya melihat perkembangan sejak tinggal di Bangi selama 40 tahun, tidak banyak aduan yang diterima walaupun kepadatan penduduk agak tinggi.

"Ini membuktikan komuniti prihatin dan bertolak ansur. Selain itu kepimpinan persatuan yang banyak aktif banyak membantu menyelesaikan masalah sehingga tidak perlu mengadu kepada saya. 

"Syabas Persatuan Komuniti KF8!," katanya. - KitaReporters


Seorang penduduk, Zainy Ayub (kanan) gembira mendapat hadiah cabutan bertuah daripada Timbalan Pengerusi Persatuan Komuniti KF8, Rosli Ismail.


Pelbagai hadiah menarik yang disumbangkan orang ramai termasuk di kalangan penduduk taman untuk acara cabutan bertuah.

14
9
0
10
0

Copy Link: