Selangor, Perak didekatkan! Jambatan hubungkan Sungai Air Tawar dan Hutan Melintang! 10 minit sahaja!
Published byMenjelang Jun tahun ini (2026), warga Selangor khasnya di kawasan pekan kecil Sungai
Air Tawar, daerah Sabak Bernam, bakal mempunyai laluan baharu lebih singkat
untuk memasuki Perak, khususnya ke kawasan Hutan Melintang, daerah Bagan Datuk.
Begitu juga sebaliknya bagi warga Perak, khususnya di kawasan pekan Hutan Melintang, mempunyai kemudahan akses yang sama untuk ke Sungai Air Tawar dan kawasan sekitar seperti Parit Baharu.

Gambaran jambatan merentasi Sungai Bernam yang menghubungkan Sungai Air Tawar, Selangor dengan Hutan Melintang, Perak apabila siap dan dibuka kepada lalu lintas nanti.
Kemudahan ini bakal dinikmati apabila jambatan baharu merentasi Sungai Bernam dibuka sebagai penghubung negeri Perak dan Selangor. Pembinaan jambatan tersebut kini rancak berjalan, dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2026.
Sungai Bernam ialah sempadan semula jadi Perak dan Selangor.
Punca sungai bermula dari Gunung Liang Timur di Banjaran Titiwangsa. Puncak gunung ini juga adalah tiitik pertemuan sempadan tiga negeri iaitu Perak, Selangor dan Pahang.
Sungai sepanjang
200km ini mengalir ke arah barat melalui bandar Tanjung Malim, Behrang dan Slim
River di Perak. Ia berakhir di muara di Sabak Bernam, Selangor, berhampiran Hutan
Melintang, Perak sebelum masuk ke Selat Melaka.
Jambatan Sungai Air Tawar-Hutan Melintang adalah projek persekutuan di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR). Jabatan Kerja Raya (JKR) bertindak sebagai agensi pelaksana.
Pembinaan jambatan sepanjang 2.8 km ini menelan kos RM219 juta.

Kerja-kerja pembinaan jambatan Sungai Air Tawar-Hutan Melintang rancak dijalankan dan kini hampir siap sepenuhnya.

Satu lagi sudut pembinaan jambatan Sungai Air Tawar-Hutan Melintang.
Jambatan ini merupakan yang kedua dibina menghubungkan Selangor dan Perak merentasi Sungai Bernam. Jambatan pertama dibina di pekan Sabak Bernam, menghubungkannya terus dengan Hutan Melintang, Perak melalui Jalan Persekutuan 5.
Mula dibina
pada 1977 dan dibuka kepada lalu lintas pada 1980, ia termasuk sebahagian jajaran
Jalan Persekutuan 5 yang telah dinaik taraf kepada empat lorong untuk menampung
trafik dari Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE).
Pada tahun
2018, projek naik taraf dijalankan, melibatkan pembinaan jambatan baharu
bersebelahan jambatan lama serta pelebaran jalan kepada empat lorong.
Sebelum wujud
jambatan ini, pengguna jalan raya menyeberang sungai menggunakan feri. Feri sebenarnya
hanya sebuah pontoon kecil yang ditunda oleh bot. Ia hanya boleh memuat
antara empat hingga enam kenderaan pada satu-satu masa.
Jika ada
kenderaan besar seperti bas atau lori menyeberang, muatan lagi sedikit. Barisan
panjang kenderaan di kedua-dua belah Perak dan Selangor menunggu untuk menyeberang
adalah pemandangan biasa.
Pada hari perayaan seperti hari raya, jumlah kenderaan berkali ganda banyak. Untuk dapat menyeberang mengambil masa beberapa jam. Letih menunggu dalam kereta.
Jalan alternatif untuk ke Bagan Datuk dari Kuala Lumpur misalnya ialah menggunakan jalan persekutuan ke Bidor untuk ke Teluk Intan atau Bagan Datuk. Lebih jauh tetapi jimat masa.
Feri Sabak
Bernam pernah mencatat sejarah duka. Peristiwa berlaku pada 22 Mac 1977
melibatkan sebuah keluarga. Kejadian berlaku sekitar pukul 9 pagi apabila
sebuah kereta yang dinaiki satu keluarga hilang kawalan semasa sedang menaiki feri.
Akibatnya kereta terlajak ke dalam sungai dan tenggelam. Tiga
mangsa daripada satu keluarga terperangkap di dalam kereta tersebut.
Orang ramai
yang berada di atas feri dan di tebing sungai hanya mampu melihat tanpa mampu
berbuat apa-apa untuk menyelamatkan mangsa. Mayat ketiga-tiga mangsa hanya
dijumpai pukul 2.30 petang, beberapa jam selepas kejadian.
Kejadian
menyayat hati inilah yang menyemarakkan desakan agar dibina jambatan
menyeberangi Sungai Bernam bagi menggantikan feri. Pembinaan dimulakan pada
tahun itu juga (1977). Jambatan dibuka pada 1980.
Sementara
itu pada era tersebut, penduduk Sungai Air Tawar atau Parit Baharu yang hendak
ke Hutan Melintang dan sebaliknya, sejak sekian lama menggunakan perkhidmatan
bot tambang merentasi Sungai Bernam.
Dengan siapnya jambatan di Sabak Bernam, perkhidmatan bot secara perlahan-lahan pupus. Orang ramai melalui jalan darat dari Sungai Air Tawar ke Sabak Bernam, seterusnya menyeberang jambatan ke Hutan Melintang atau kawasan lain di Perak.

Pemandangan dari udara Sungai Air Tawar, daerah Sabak Bernam, Selangor.

Pekan Hutan Melintang, Perak, yang sentiasa sibuk dengan kenderaan menuju ke utara dan selatan.
Apabila Jambatan Sungai Air Tawar-Hutan Melintang dibuka nanti, tidak perlu lagi melalui Sabak Bernam ke Hutan Melintang dan sebaliknya.
Jambatan ini secara khusus menghubungkan Sungai Air Tawar dan Parit 18 Hutan Melintang. Dengan menggunakan jambatan ini, perjalanan
dari Sungai Tawar ke Hutan Melintang dan sebaliknya dipendekkan dari 40
minit kepada hanya 10 minit bagi penduduk setempat.
Kerana itu penduduk setempat teruja dengan pembinaan jambatan tersebut dan tidak sabar menanti ia dibuka. - KitaReporters
