Pahlawan Perak! Darah tumpah di Pasir Salak! Semadi di Singapura! Akhirnya kembali ke bumi tercinta!
Published byDARAH tumpah di negeri Perak, jasad bersemadi di Singapura, jauh dari kampung halaman. Itulah nasib menimpa dua pahlawan Perak, Orang Kaya Menteri Ngah Ibrahim dan Laksamana Mohamad Amin Alang.
Mereka dibuang negeri oleh British bersama Sultan Perak, Sultan Abdullah, kerana didakwa terlibat dalam pembunuhan Residen pertama British di Perak, J W W Birch.

Sultan Perak, Sultan Abdullah yang dbuang ke Pulau Seychelles pada 1877 kerana terlibat dalam pembunuhan Residen British pertama di Perak, J W W BIrch.

Ngah Ibrahim, tokoh yang menentang pelantikan Birch sebagai Residen Perak yang pertama, juga dibuang ke Pulau Seychelles.

Laksamana Mohamad Amin Alang yang turut menerima nasib dibuang ke Pulau Seychelles kerana menentang British.
Mulanya mereka dibuang ke Pulau Seychelles pada 1877. Kemudian dipindah ke Sarawak dan akhirnya Singapura. Lahir di Bukit Gantang, Perak, pada 1 Januari 1837, Ngah Ibrahim meninggal di Singapura pada 4 Februari 1895 pada usia 58 tahun. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Al-Junied.
Mohamad Amin pula meninggal pada 1908 dalam usia 83 tahun
dan dikebumikan di Pusara Aman, Lim Chu Kang, Singapura.
Sultan Abdullah akhirnya dibenarkan kembali ke Perak pada 1922 dan menetap di Kuala Kangsar. Namun baginda mangkat pada 22 Disember tahun sama dalam usia 80 tahun. Jenazah dikebumikan di Makam Diraja Bukit Chandan dengan gelaran ‘Marhum Habibullah’.

Kerja menggali kubur Ngah Ibrahim di Tanah Perkuburan Al-Junied untuk membawa kembali tinggalan jasadnya ke Perak.
Takdir menentukan selepas lebih satu kurun, tinggalan jasad Ngah Ibrahim dan Mohamad Amin dibawa pulang dari Singapura ke Perak pada 9 September 2006. Jasad Ngah Ibrahim disemadikan semula dalam kawasan kediamannya dahulu, Kota Ngah Ibrahim, di Matang, Taiping, Perak.
Manakala jasad Laksamana Mohamad Amin pula disemadikan dalam kawasan Makam Diraja Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Tinggalan jasad Ngah Ibrahim dan Laksamana Mohamad Amin dibawa pulang dari Singapura ke Perak dengan penuh penghormatan, menggunakan khidmat kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Penggalian kubur kedua-dua mereka dilakukan serentak dengan kelulusan Agensi Alam Sekitar Negara (NEA), Singapura. Majlis Agama Islam Singapura diberi tanggun jawab menguruskan proses menggali.
Jarak kedua-dua pusara antara satu sama lain ialah 20km.
Turut memain peranan ke arah usaha ini ialah Kementerian Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan; Jabatan Muzium dan Antikuiti; Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara; kerajaan negeri Perak; dan badan-badan sejarah.

Upacara pengkebumian semula Ngah Ibrahim dan Laksamana Mohamad Amin dijalankan dengan penuh penghormatan.
Ngah Ibrahim ialah anak kepada Long Jaafar, pembesar Perak yang menemui bijih timah di Larut. Dia merupakan individu terkaya di Tanah Melayu kerana hasil bijih. Buruh China dibawa masuk bagi mengusahakan lombong. Dia juga mengusahakan tanaman kopi dan tebu.
Setelah kematian bapanya pada 1858, Ngah Ibrahim mewarisi pentadbiran wilayah Larut. Dia bukan sahaja seorang pentadbir tetapi usahawan. Pengaruhnya luas dan mempunyai pasukan polis sendiri.
Pada 1863, Sultan Perak, Sultan Jaafar Mua’zzam Shah,
mengurniakan gelaran 'Orang Kaya Menteri Paduka Tuan' kepadanya. Gelaran ini
memberi kuasa autonomi lebih besar kepada Ngah Ibrahim mentadbir Larut, menjadikannya
pemerintah berdaulat di wilayah tersebut.
Era pemerintahannya dicemari Perang Larut melibatkan pergaduhan kongsi gelap Cina, Ghee Hin dan Hai San kerana berebut kawasan lombong.
Tragedi ini, yang ditambah dengan kemelut yang melanda takhta kesultanan Perak, membawa kepada campur tangan British melalui Perjanjian Pangkor 1874.

Tinggalan jasad Ngah Ibrahim dibawa untuk dikebumikan semula di kawasan Kota Ngah Ibrahim, Matang, Taiping, Perak.

Istiadat pengkebumian Ngah Ibrahim dalam kawasan kediamannya, Kota Ngah Ibrahim di Matang, Perak.
Bagaimana pun Ngah Ibrahim tidak terlibat secara langsung dalam
pembunuhan Birch. Dia (Birch) dibunuh ketika mandi di atas rumah rakit di
Sungai Perak, Pasir Salak, pada 2 November 1875.
Namun begitu pihak British mendapati Ngah Ibrahim bersubahat menyokong perjuangan Datuk Maharaja Lela dan Sultan Abdullah menentang British. Kerana itu dia dibuang ke Pulau Seychelles bersama Sultan Abdullah dan Mohamad Amin pada 1877.

Tinggalan jasad Laksamana Mohamad Amin dibawa untuk dikebumikan di kawasan Makan Diraja Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak.
Mohamad Amin pula bukan tokoh sembarangan. Selain jiwa kepahlawanan yang kental menentang Biritish, dia juga individu yang rapat dengan Sultan Perak dan tokoh kepercayaan baginda.
Dia diberi gelaran ‘Orang Kaya-Kaya Laksamana Raja Perak’. Dalam sistem pembesar Perak, laksamana bertanggungjawab menjaga keselamatan kawasan perairan dan muara sungai, selain penasihat penting kepada sultan.

Makam Ngah Ibrahim dalam kawasan Kota Ngah Ibrahim.

Makam Laksamana Mohamad Amin dalam kawasan Makam Diraja Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak.
Setelah dicampak jauh kerana mempertahan tanah air dan negeri Perak khasnya, dan lebih satu kurun bersemadi di Singapura, tinggalan jasad kedua-dua pahlawan Perak itu digali semula untuk dibawa pulang ke tanah air tercinta.
Tinggalan jasad dimasukkan ke dalam dua keranda berasingan, ditutup dengan Jalur Gemilang dan bendera Perak. Keranda dibawa pulang menaiki kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke Pangkalan TLDM Lumut sebelum dibawa ke Matang dan Kuala Kangsar. Mereka diberi penghormatan pengkebumian penuh istiadat.

Kubur J W W Birch di Batu Gajah, Perak.
Kota Ngah Ibrahim, persemadian akhir Ngah Ibrahim, dibina pada 1858 dan merupakan kediaman Ngah Ibrahim. Kini ia adalah sebuah kompleks bersejarah merangkap muzium di Matang. Ia menyimpan sejarah penting berkaitan pembangunan ekonomi dan pentadbiran di Larut pada abad ke-19.
Kota ini menjadi pusat pertahanan semasa pergaduhan antara Ghee Hin dan Hai San. Juga digunakan sebagai mahkamah yang bersidang pada 1876 untuk membicarakan pahlawan Perak seperti Datuk Maharaja Leela, Datuk Sagor, Pandak Indut dan Si Putum atas tuduhan membunuh Birch.

Kota Ngah Ibrahim di Matang, Perak, tempat persemadian akhir Ngah Ibrahim. Kini ia merupakan muzium merangkap kompleks sejarah.
Keempat-empat mereka didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati.
Si Putum digantung terlebih dahulu pada 20 Mei 1876. Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor dan Pandak Indut digantung pada 20 Januari 1877 di Matang, Perak. Dikatakan mereka menjalani hukuman tidak jauh dari Kota Ngah Ibrahim.
Kota Ngah Ibrahim masih berdiri kukuh dan menjadi destinasi pelawat, terutama peminat sejarah.
Datanglah melawat dan pada masa sama menziarahi
pusara Ngah Ibrahim dalam kawasan kompleks tersebut. - KitaReporters
