Video| Terkojut den! Pramugari dicium jemaah haji Afrika! Dua hari naik lori ke lapangan terbang!

Published by
KitaReporters

Ibadah haji bukan sekadar perjalanan fizikal menuju Tanah Suci, tetapi sebuah perjalanan jiwa yang penuh pengorbanan, air mata dan kesabaran. 

Bagi sebahagian jemaah dari negara-negara Afrika pula, perjalanan menunaikan rukun Islam kelima itu kadangkala menuntut pengorbanan yang lebih luar biasa sehingga ada yang terpaksa menaiki lori selama dua hari semata-mata mahu sampai ke lapangan terbang.



Itulah perkongsian menyentuh hati seorang pramugari dikenali sebagai @elayka__ yang mengendalikan penerbangan membawa jemaah haji dari Afrika ke Tanah Suci. 

Video dan ceritanya yang dimuat naik dalam media sosial mengundang rasa sebak ramai netizen apabila dia berkongsi momen dipeluk dan dicium para jemaah sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang.

Menurutnya, walaupun mereka berdepan masalah bahasa sehingga diibaratkan seperti ‘ayam dengan itik bercakap’, layanan dan reaksi jemaah-jemaah tersebut cukup menyentuh hati.



“Sedikit cerita pasal jemaah haji yang saya bawa dari Afrika. Perjalanan mereka ke lapangan terbang ambil masa dua hari dengan menaiki lori beramai-ramai. Walaupun kami mengalami language barrier macam ayam itik bercakap, tapi saya tahu mereka peluk dan cium saya sebagai tanda terima kasih,” katanya sambil berseloroh bahawa pada awalnya dia agak terkejut apabila dicium jemaah ketika mengendalikan penerbangan Morocco-Afrika.

Lebih mencuit hati, pramugari tersebut turut berkongsi bahawa jemaah berkenaan ketawa setiap kali dia membuat lawak dalam bahasa Melayu walaupun tidak memahami sepenuhnya apa yang diperkata.

Perkongsian itu segera meraih perhatian ramai yang rata-ratanya tersentuh melihat keikhlasan dan kesederhanaan para jemaah dari Afrika. 

Ada yang mengakui pengalaman berada bersama jemaah Afrika ketika di Tanah Suci cukup memberi kesan mendalam kerana sifat mereka yang mudah mesra dan penuh kasih sayang sesama Muslim.



“Baik betul perjalanan mereka. Mereka dalam perjalanan menghadap Allah, tapi sempat berkasih sayang sesama Muslim dengan hati yang bersih. Benda simple macam ni pun boleh buat orang menangis,” tulisnya. 

Turut berkongsi pengalaman ialah seorang lagi netizen yang pernah tinggal berdekatan jemaah Afrika ketika berada di Tanah Suci. 

Menurutnya, ada antara mereka tinggal di hotel yang jauh dan hidup dalam keadaan sederhana, namun tetap ceria dan bersyukur. 

“Pernah dulu duduk sebelah jemaah ni. Saya memang bawa coklat dan buah lebih. Kadang-kadang beli tasbih bagi dekat mereka sebagai hadiah,” kongsinya.

Malah, dia turut menganggap peluang bersedekah di Mekah dan Madinah sebagai rezeki yang sangat besar.

“Kat sana banyak peluang buat jariah dan sedekah. Beli tasbih murah-murah pun boleh agih dekat orang,” tambahnya lagi.



Sementara itu, seorang lagi netizen memohon agar Allah mengurniakan kesihatan dan haji mabrur buat jemaah-jemaah tersebut.

“Macam tu sekali mereka bersusah payah perjalanan nak tunaikan haji. Moga Allah kurniakan mereka ‘afiyah, ‘inayah dan haji yang mabrur,” tulisnya.

Manakala ada juga netizen berkongsi pengalaman unik ketika selesai menunaikan solat bersama sekumpulan jemaah Afrika. 

Katanya, dia cuba meminta laluan kerana jemaah tersebut duduk berlunjur kaki, namun berlaku ‘dialog ayam itik’ yang akhirnya bertukar menjadi detik lucu. 

“Saya tunjuk kaki dia sebab nak lalu. Dia suruh lalu juga. Maknanya kena langkah kaki dialah. Saya langkah je kaki dia, tiba-tiba dia pegang kaki saya sambil gelak-gelak. 

"Saya pula cuba imbang badan jangan jatuh. Apabila dah stabil, saya pandang dia. Dia gelak. Saya pun gelak,” ceritanya.



Tidak kurang juga yang berkongsi kenangan menerima layanan baik daripada jemaah Afrika ketika berada di Masjid Nabawi.

“Hari tu masa umrah Ramadan 2022, saya duduk tunggu azan asar dekat Masjid Nabawi. Lepas tu beberapa orang dari Afrika duduk keliling saya sambil minum kopi yang mereka bancuh dari hotel. 

"Mereka hulur secawan dekat saya. Sedap kopi mereka. Saya siap minta tambah lagi secawan. Mereka bagi sambil gelak-gelak,” kongsinya.



Di sebalik ribuan jemaah yang keluar masuk setiap musim haji, sebenarnya ramai petugas penerbangan, pramugari dan kru lain yang menjadi insan penting membantu melancarkan perjalanan para tetamu Allah. 

Kesabaran, layanan mesra dan keikhlasan mereka melayan jemaah dari pelbagai negara, budaya dan bahasa sememangnya wajar dipuji.

Kadangkala tugas mereka bukan sekadar memastikan keselamatan penerbangan, tetapi turut menjadi tempat bergantung, penenang dan penghubung kasih sayang antara manusia. 

Tidak hairanlah layanan baik yang diberikan pramugari ini akhirnya dibalas dengan pelukan dan ciuman penuh ikhlas daripada jemaah haji Afrika sebagai tanda penghargaan yang cukup menyentuh hati. 

Terima kasih kakak pramugari! - KitaReporters


14
14
0
14
0

Copy Link: