AMAL makruf sama ada dalam bentuk harta benda, wang, kerahan kudrat mahupun luangan masa pasti amat dialu-alukan Islam menjelang kedatangan Ramadan al-Mubarak pada Jumaat, 24 April 2020 apatah lagi ketika dunia kini dilanda pandemik Covid-19. : KitaReporters 

KU Besry Ku Aziz (kiri) menyampaikan sumbangan PBMM kepada Syed Ahmad Syed Abu Bakar di kediamannya di Arau, Perlis. - Kredit foto PBMM


Mengambil sempena keberkatannya, Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) mengorak langkah dengan menyasarkan bekas-bekas pemain negara dan negeri untuk dihulurkan bantuan dalam menjalani rukun Islam ketiga itu.

Dua daripada tujuh pemain yang dibantu ialah Syed Ahmad Syed Abu Bakar dan Datuk Namat Abdullah, tonggak kemaraan sulung skuad negara ke Sukan Olimpik Munich 1972 selaku juara pusingan kelayakan Kumpulan 1 Asia di Seoul, setahun sebelumnya.

Syed Ahmad, 74, yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974, baru sahaja menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada 16 Mac 2020 akibat penyakit kanser prostat tahap empat yang dihidapinya sejak lebih setahun lalu.

Namat, 74, bekas kapten Malaysia dan Pulau Pinang selain beraksi dalam Olimpik Munich menentang Jerman Barat, Amerika Syarikat dan Maghribi, juga menjalani pembedahan usus ostomy bag di Hospital Sungai Petani, Kedah, lapan hari kemudian.

Wira-wira silam padang lain yang mendapat sumbangan bantuan kewangan PBMM itu termasuk Wan Abd. Hamid, Rahman Tasu (bekas pemain Kedah), Rojani Hussin (Kelantan), Rahim Mohamad (Pulau Pinang) dan Fadirul Anuar Abd. Wahab (Pahang).

Naib Presiden PBMM, Ku Besry Ku Aziz menyampaikan sumbangan daripada persatuan sebanyak RM1,000 kepada Syed Ahmad di kediamannya di Arau, Perlis pada 22 April 2020. 

Tuan rumah juga ibarat menerima hadiah sempena hari kelahirannya, 20 April 1946. 


SYED Ahmad menjulang Piala Emas Raja-raja sambil diraikan rakan-rakan sepasukan Perak. - Foto kredit Dunia Sukan Utusan


Pakar gelecek ini muncul penjaring terbanyak Malaysia dalam kelayakan di Seoul itu dengan lima gol termasuk hatrik ketika membenam Jepun 3-0 selain pernah memenangi Piala Emas Raja-raja dengan Perak pada era 70-an, sebuah pertandingan utama anjuran PBMM.

Pernah menjadi wadar penjara, dia mewakili negara dari 1965 hingga 1974 termasuk menjuarai Pestabola Merdeka 1974, Johor (1960, 1963 hingga 1964), Pulau Pinang (1965-1972), Perak (1972-1980) dan Kedah (1980-1981).

Sekalipun tidak terpilih ke Olimpik, Syed Ahmad juga dikenali kerana dua kali membolosi gawang Israel sebelum skuad negara tewas 8-3 dalam perlawanan pembukaan peringkat Kumpulan C Sukan Asia Tehran itu.

Antara gandingannya di barisan depan Malaysia ialah Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Shaharudin Abdullah, Allahyarham Wan Zawawi Wan Yusoff, Allahyarham Ali Bakar, Abd. Rahim Abdullah dan Datuk Mohamad Bakar serta Looi Loon Teik.

SYED Ahmad (berdiri, kiri) bersama skuad negara juara Pestabola Merdeka 1974. - Foto kredit Dunia Sukan Utusan


Syed Ahmad turut pernah menjalani satu lagi pembedahan pada jantungnya tanggal 2003.

Kepada pihak-pihak yang berhasrat untuk turut membantu, bolehlah menghulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank milik Syed Ahmad Syed Abu Bakar yang bernombor 162188364489.

 

POSTER kempen amal PBMM membantu Syed Ahmad Syed Abu Bakar (bulatan), jagoan era 70-an negara sempena kedatangan Ramadan al-Mubarak 1441 Hijrah. - Kredit foto PBMM

0
0
2
0
0

Copy Link: