SYAWAL sudah melabuh tirai. Hari Raya Aidilfitri sudah berlalu, menandakan berakhirnya ‘bulan berhari raya’. Namun ada juga yang terus mengadakan sambutan raya selepas berakhir Syawal. 

Kini menjelma bulan Zulkaedah, diikuti Zulhijjah dalam kalendar Islam. 

Zulhijjah terkenal sebagai musim haji kerana pada bulan inilah ibadat haji dijalankan. Berduyun-duyun umat Islam dari seluruh dunia bertumpu ke Tanah Sauci menunaikan Rukun Islam kelima.



Sebahagian penduduk Danau Kota yang hadir pada majlis sambutan hari raya di kabin padang permainan kanak-kanak pada 18 April 2026.


Maka sepanjang bulan Syawal 1447H/2026M lalu, banyak majlis sambutan Aidilfitri diadakan di sana sini. Ada yang mengadakan rumah terbuka, pejabat terbuka, syarikat terbuka atau jamuan peribadi terbuka untuk keluarga dan saudara mara. 

Pendek kata, pelbagai macam cara meraikan hari raya dengan menjemput saudara mara, rakan, pekerja untuk bergembira bersama. 

Sehingga ke penghujung Syawal, sehingga di ambang bulan hijrah berganti, masih ada yang mengadakan sambutan pada saat akhir. Penduduk Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur, tidak terkecuali. 


Sebahagian lagi penduduk yang hadir pada sambutan Hari Raya Danau Kota, Setapak.


Pada Sabtu 18 April 2026, tarikh akhir Syawal, Persatuan Penduduk Danau Kota menyantuni warga penduduk pada sambutan Aidilfitri. 

Majlis diadakan di kabin padang permainan kanak-kanak, yang merupakan pusat aktiviti penduduk.

Acara yang bermula pukul 8 malam itu menarik ramai warga taman untuk sama-sama meraikan Aidilfitri. Penduduk daripada pelbagai peringkat umur memenuhi padang sejak lepas maghrib.

Bukan sahaja penduduk beragama Islam hadir, ramai penduduk bukan Islam juga sama-sama memeriahkan majlis. Ini melambangkan hubungan erat pelbagai kaum di Danau Kota. 

Turut hadir Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan.


Cahaya bunga api berwarna warni menyerikan langit Danau Kota pada sambutan hari raya 18 April 2026 lalu.


Menu disediakan juga pelbagai jenis. Ada nasi, lemang, nasi himpit, bubur kacang, sate serta pelbagai kuih muih yang membuka selera. Tidak ketinggalan air kegemaran ramai, teh tarik, juga ada.

Makanan secara potluck sumbangan penduduk menurut jalan mereka tinggal. Menu utama nasi briani daging Johor, dan rendang masakan warga Danau Kota.

Selain menikmati pelbagai juadah disediakan, majlis diserikan dengan beberapa acara lain seperti persembahan kugiran, cabutan bertuah dan tembakan bungi api 150 das. Cantik sungguh cahaya bunga api yang berwana warni menerangi langit Danau Kota.


Kugiran D Melodies mendendangkan lagu pop yeh-yeh menghiburkan pengunjung pada sambutan hari raya Danau Kota.


Sepanjang majlis, pengunjung dihiburkan oleh kugiran jemputan, D Melodies pimpinan Faori Othman dan 'Kipidap Family Band' pimpinan Abdul Rani Kulop Abdullah @ Kipidap yang tidak asing kepada ramai. Beliau juga bermain dram.

Kugiran-kugiran tersebut mendendangkan lagu-lagu rancak bertema hari raya, juga lagu pop yeh-yeh lain. Tentunya ia menghiburkan peminat lagu tersebut.

Sebanyak 17 cabutan bertuah disediakan untuk penduduk yang mendaftar kehadiran. Pelbagai hadiah menarik disediakan. 

Pemenang membawa pulang antaranya toto, tilam angin, kuali masak Tefal, pengisar (blender) dan penyejuk udara (air cooler). 


Salah seorang pemenang cabutan bertuah menerima hadiah daripada Pengerusi Persatuan Penduduk Danau Kota, Ghazali Katun.


Sejajar dengan tradisi memberi duit raya pada Aidilfitri, pihak persatuan juga bermurah hati memberi duit raya kepada kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun.

Sambutan hari raya untuk penduduk merupakan acara tahunan anjuran Persatuan Penduduk Danau Kota. Terima kasih kepada ahli jawatankuasa yang berusaha keras memastikan majlis berjalan lancar.

Setiap tahun sambutan begitu memberangsangkan. Tahun ini sudah berlalu, dengan izin Allah tahun hadapan (2027) bertemu lagi. - KitaReporters


Band 'Kipidap Family Band' pimpinan Rani Kulop merangkap pemain dram, mendendangkan lagu pop yeh-yeh pada sambutan Hari Raya di Danau Kota, Setapak.

8
24
0
9
0

Copy Link: