Opah Ngomel| Bina nama anak di pentas dunia! Anira berharap Mia cipta kejayaan dalam dunia peragaan!
Published byBAHAGIA seorang ibu adalah ketika melihat anak yang dilahirkan dari rahimnya hidup sihat walafiat dan memperolehi impiannya menjadi warga negara yang bermanfaat buat agama, negara, masyarakat dan keluarga.

Maka "tugas" seorang ibu selain memberi kasih sayang dan mendidik serta memberikan semua kemudahan ialah menyokong setiap impian anak-anak dalam semua aspek, kerjaya dan berkeluarga.
Semua ini adalah doa seorang ibu Anira Osman kepada anaknya Mia Zahra Zulaikha Radzi, 14, yang kini sedang membina kerjaya sebagai peragawati (model) dan menjalani dunia akademiknya menggapai cita-citanya sebagai doktor.

Ketika Opah menemui ibunya di pentas catwalk yang dikendalikan oleh Miss Malaysia Kebaya (MMK) atau Ratu Malaysia Kebaya 2026 sebagai acara sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, Anira tidak lepas daripada senyuman bangga seorang ibu.
Senyum melihat anak bongsu yang selama ini agak pemalu sudah pandai selok belok bergaya di pentas.
Memang bertuahlah Mia yang awalnya mendapat latihan dari Kid Modeling Clinic (Klinik Peragaan Kanak-Kanak) itu "membawa" diri sebab khabar terbaharu, Mia akan didedahkan ke pentas antarabangsa untuk International Fashion Walk, Bangkok yang dia diangkat setarat duta fesyen. Acara itu dijangka berlangsung pada Ogos 2026.

Opah yang sentiasa ada rasa ingin tahu bertanyakan Anira: Kenapa memilih bidang modeling? Tidak menyanyi atau berlakon ataupun menari.
"Ha.. semua bidang itu Mia ada cuba. Dia dah buat tiga drama pendek. Menyanyi wakili sekolahnya di Gombak untuk pertandingan dan persembahan sebab menari juga kegemaran dia.
"Tapi Mia lebih suka kepada modeling. Dia pun suka kecantikan dari kecil lagi dan saya sebenarnya, sokong saja apa dia mahu lakukan dalam hidupnya.
"Asalkan menjadi warga yang berguna kepada semua. Sebagai ibu, saya sokong apa juga cita-citanya kerana dunia peragaan (modeling) ini bukan saja tentang kemashyuran (glamour) tapi lebih kepada pendedahan kepada peluang kerja dan kehidupan, membina keyakinan dan mengumpul pengalaman positif," katanya.
Ingin tahu sebab modeling ni banyak "karenahnya" -- soal pergaulan, aurat, ragam orang sekitar dan suka duka melalui dunia ini seribu ujian kena redah tu.
Kata Anira dia bertanggungjawab sepenuhnya mengurus dan sentiasa menemani anaknya, baik masa sekolah ataupun "bekerja".
Ini kerana dia sudah berjanji dengan Mia, mahu mendedahkan anaknya ke pasaran kerja peringkat antarabangsa dan dalam masa sama, anaknya mesti berpendidikan, perkembangan emosi dan ketahanan jiwa yang kental.
Bagaimana bermula kisahnya?
Dari usia 7 tahun sehinggalah 14 tahun, selaku pelajar Mia sudah didedahkan pada bidang tarian, nyanyian, modeling dan lakonan.
Dan paling menarik, gayanya sudah berjaya memikat seorang ahli perniagaan wanita dari Thailand, Dr Mei yang juga pemilik butik terkenal untuk menjadi model pilihan setiap kali mengadakan persembahan di negara ini.
\
Anira ibu tunggal kepada lima anak. Empat anaknya sedang belajar di kolej.
Anira berkata dia pun tidak sengaja melihat potensi anaknya sebagai model itu. Semuanya bermula ketika COVID-19 melanda dunia dan semua sekolah tutup.
Kesudahan anak-anak asyik "melepak" di rumah tanpa ada kegiatan. Dia terus dapat ilham mengasah Mia sebagai model.
Anira mempunyai banyak masa untuk menemani Mia ke uji bakat dan seterusnya menjadi pengurusnya untuk menghadiri acara catwalk khususnya anjuran Miss Kebaya Malaysia (MKM) 2026 yang dipengerusikan oleh Dr Jason Hee Jee Ping sempena meraikan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Mia pula sudah berjanji akan belajar untuk mencapai cita-citanya sebagai doktor dan pada masa yang sama, mahu menikmati kehidupan di pentas peragaan, memenuhi cita-cita ibunya.

Setakat ini Mia sudah memenangi beberapa gelaran termasuk Supermodel Cilik 2021, Ikon New Top Model 2024, penerima National Star Award 2024.
Semua ini berkat latihan jurulatih supermodel, Zanura Zafrullah dan Emma.
"Sebagai bukti Mia banyak mendapat tawaran untuk pentas fesyen tetapi saya tolak bila bertembung dengan sesi persekolahan. Kita bina pelahan-lahan tapi disiplin berterusan." katanya yang turut bangga apabila Mia menjadi bintang untuk Great South Youth International Fashion Week 2026.
Bagi melengkapkan lagi resume "kerjanya" Mia dilatih belajar merias wajahnya dengan pakar, jurulatih seperti Zea Zas, Amran Majid, Iqbal Jamaludin dan Badrul Saufi yang turut menjadi jurudandan dan perapi bila Mia menyertai pertandingan.
"Mia juga bekas anak murid pelajar swatari daripada Pak Ngah Production. Skill ni untuk memastikan Mia cukup ilmu dan perkembangan bakatnya selari dengan keperluan dalam industri seni pentas, lakonan dan tarian." kata Anira yang sangat teruja hasilnya Mia turut memegang pemenang bagi World Culture Model Search 2025, Ambassador Malaysia Culture Model Search 2026 dan Juara Busana Tradisional kerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara.
Pengalaman demi pengalaman pentas yang dikutip itu membuatkan nama Mia tercatat dalam Longest Runway for Malaysia Book of Record dan Selangor Fashion Week. Tak cukup dengan itu, Mia adalah salah seorang model Bulan Bintang Keret Aapi Sorong dan ASEAN Fashion & Culture Diplomasi 2025.
Siapa sangka daripada sekadar cuba-cubaan, waktu COVID-19 melanda dunia dan kerisauan seorang ibu melihat anak-anak "lepak" saja di rumah.
Akhirnya demi masa itu emas, Anira terus mencuba nasib menghantar foto dan biodata Mia ke serata agensi modeling, sejauh Indonesia dengan satu harapan, supaya Mia dapat sertai pertandingan yang masa itu dibuat secara dalam talian.
Dia mahu Mia jadi model dan kalau tidak boleh bergerak dari pentas ke pentas, setidaknya Mia dapat sertai pertandingan model dalam talian.

Sebaik terpilih menyertai Supermodel Cilik 2021, Mia dimasukkan ke Kid Modeling Clinic untuk dibimbing melangkah dengan anggun dan khidmat membina bakat sebagai model yang memenuhi citarasa pertandingan.
"Bukan mudah untuk membentuk. Awalnya saya keluarkan duit saku sendiri, membawa Mia merata menyertai pertandingan dan akhirnya kini dia sudah ada penaja mekap, pakaian dan berjaya menjadi pemenang dalam beberapa acara modeling," jelas beliau.
Terbaharu, Mia menjadi pilihan utama Dr Mei dari Thailand yang sebelum ini kerana mendapat khidmat Mia sebagai model untuk peragakan fesyen rekaannya dalam acara Runway International di Petaling Jaya.
"Harapan saya sangat sederhana, mahu Mia membesar sebagai individu yang berakhlak, berilmu dan berkeyakinan.
Jika industri ini menjadi platform untuk dia belajar tentang disiplin, komunikasi dan keberanian, saya sangat bersyukur.
"Namun masa depan dia bukan terhad pada modeling sahaja. Saya akan sentiasa sokong apa sahaja impian yang dia pilih," tegas Anisa.
Opah, sempena hari Wanita Antarabangsa (8 Mac 2026), doakan cita-cita seorang ibu yang mahu menjadikan Mia sebagai model antarabangsa mengambil alih kerja itu yang selama ini dilakukan oleh Naomi Campbell, Cindy Crawford dan Heidi Klum tu berjaya. Amin.. Amin... Amin!!!.
Selamat Hari Wanita Antarabangsa untuk semua wanita di seluruh dunia daripada Opah Ngomel @ Kartini Mohd Noor. - KitaReporters

.
