25 Tahun Berdaulat, Al-Quran Diangkat! Tengku Permaisuri Selangor serikan khatam Al-Quran di UIS!
Published byMAJLIS Khatam al-Quran sempena Sambutan Jubli Perak memperingati 25 tahun pemerintahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berlangsung penuh penghayatan apabila diserikan dengan keberangkatan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Canselor Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS).

Jemaah dan tetamu tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama Tengku Permaisuri Norashikin.
Majlis yang bertema, “25 Tahun Berdaulat, Al-Quran Diangkat” diadakan di Masjid Al-Azhar UIS itu bukan sahaja menjadi simbol kecintaan terhadap al-Quran, malah menzahirkan komitmen berterusan institusi berkenaan dalam memartabatkan kitab suci umat Islam sebagai panduan utama kehidupan.
Khatam al-Quran merupakan satu amalan istimewa dalam kehidupan umat Islam kerana ia menandakan seseorang selesai membaca keseluruhan kitab suci al-Quran daripada surah pertama sehingga surah terakhir.

Naib Canselor UIS, Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata, amalan itu bukan sekadar pencapaian bacaan semata-mata, sebaliknya melambangkan kesungguhan, disiplin serta kecintaan mendalam terhadap wahyu Allah.
Beliau berkata, dalam tradisi Islam, setiap huruf yang dibaca daripada al-Quran dijanjikan ganjaran pahala dan amalan membaca sehingga khatam sering menjadi rutin para ulama serta golongan soleh sejak dahulu lagi.
"Malah, membaca al-Quran secara berterusan sehingga khatam turut memberi ketenangan jiwa, menguatkan iman serta mendekatkan seseorang kepada Allah SWT.

Tengku Permaisuri Norashikin bertanyakan sesuatu kepada Dr Mohd Farid mengenai buku, "Tadabbur Al-Fatihah: Merungkai Keindahan Kalam Allah".

Sebahagian jemaah yang hadir sempena Majlis Khatam al-Quran di Masjid Al-Azhar UIS.
"Di Malaysia, tradisi khatam al-Quran sering diadakan khususnya sepanjang bulan Ramadan sebagai tanda kesyukuran dan usaha menghidupkan syiar Islam dalam kalangan masyarakat.
"Penganjuran majlis berkenaan juga sebagai tanda penghargaan sempena 25 tahun pemerintahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, selain mengangkat martabat al-Quran sebagai panduan hidup umat Islam," katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) merangkap Ahli Lembaga Pengelola UIS, Tan Sri Datuk Hashim Meon; Ketua Hakim Syarie Selangor, Nenney Shuhaidah Shamsuddin; dan Mantan Mufti Selangor merangkap Anggota MAIS, Datuk Setia Dr Mohd Tamyes Abdul Wahid.
Majlis itu turut mendapat kerjasama beberapa agensi termasuk Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN).

Tengku Permaisuri Norashikin melayan sebahagian hadirin yang mahu mengambil gambar swafoto bersamanya.
Selain acara khatam al-Quran, majlis berkenaan turut menampilkan sesi tadabbur al-Quran sempena sambutan Nuzul Quran yang disampaikan oleh Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.
Pada majlis sama turut diadakan pelancaran buku bertajuk "Tadabbur Al-Fatihah: Merungkai Keindahan Kalam Allah" yang bertujuan memperkukuh penghayatan serta kefahaman terhadap al-Quran dalam kalangan pelajar dan masyarakat.
Dalam pada itu, Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menyampaikan sumbangan raya kepada 40 pelajar asnaf selain menyampaikan cenderamata kepada tiga imam dan empat qari sebagai tanda penghargaan terhadap usaha memartabatkan al-Quran di institusi pengajian tinggi itu. - KitaReporters

Tengku Permaisuri Norashikin bergambar kenangan bersama tetamu VIP dan pengurusan tertinggi UIS.
