Tinggal Kenangan| Kad hari raya pengganti diri kini sudah tiada lagi! Abang posmen penyambung hati!

Published by
KitaReporters

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Kad dikirim pengganti diri.”

“Pecah kaca pecah gelas. Sudah baca harap balas!”

Ituah antara ungkapan tercatat pada kad hari raya. Saban tahun, apabila menjelang Ramadan menanti Syawal, kad ucapan hari raya jadi tumpuan ramai untuk dikirim kepada ayah bonda, saudara mara, kawan-kawan dan kekasih hati.


Deretan kad hari raya dalam pelbagai saiz dan ilustrasi menjadi tumpuan orang ramai untuk dikirim sebagai pengganti diri menjelang Aidilfiri.


Kad dikirim sebagai tanda ingatan dan ganti diri, terutama bagi yang jauh dari kampung halaman.

Mungkin yang di perantauan akan kembali ke pangkuan ayah bonda dan keluarga bagi meraikan Aidilfitri. Namun kad dihantar terlebih dahulu sebagai pembuka bicara.

Bagi yang tidak berpeluang balik, kad itu benar-benar pengganti diri. Tentulah tidak sama jika badan sendiri datang. Tetapi ada kalanya tidak dapat balik kampung lantaran tugas dan urusan lain. Sekurang-kurangnya kad dikirim.

Namun itu adalah kisah beberapa dekad lalu. Kad hari raya sudah tidak ada lagi hari ini. Jika ada pun tidak banyak dan tidak semeriah dahulu, khususnya era 60-an hingga 90-an. 

Tradisi mengirim kad raya sudah pupus.

Kini sukar mencari kedai atau gerai menjual kad hari raya. Tiada lagi penjual yang ramai seperti dahulu. Tiada lagi orang ramai berpusu-pusu datang untuk membeli kad raya.


Kad hari raya berunsur humor juga banyak dijual, pilih sahaja yang berkenan.


Dengan perubahan masa dan teknologi, ucapan boleh disampaikan dengan lebih mudah dan pantas. Misalnya melalui mesej WhatsApp, e-mail atau membuat panggilan video menggunakan telefon bimbit.

Komunikasi moden telah memamah tradisi menghantar kad hari raya yang  diamalkan sejak berpuluh-puluh tahun lalu. Tiada lagi senario orang ramai membelek memilih kad yang sesuai dengan keinginan.


Gerai menjual kad hari raya menjadi tumpuan terutama dalam kalangan anak muda yang mencari kad untuk dihantar kepada kekasih hati.


Kad hari raya terdapat dalam pelbagai saiz. Ada yang kecil, sederhana besar dan besar. Tema juga berlainan. Ada kad untuk ibu bapa, kawan, atau kekasih hati. 

Lakaran pada kad juga pelbagai. Ada yang berlatar belakang bunga, pemandangan, malah kartun untuk kad berunsur humor. Semua itu adalah sebagai memenuhi kehendak pelanggan yang mempunyai citarasa berlainan.

Malah orang dahulu begitu kreatif menempah kad dengan memasukkan gambar diri atau keluarga pada kad, walau pun hanya gambar hitam putih. 

Jika yang menerima tidak begitu ingat dengan pengirim, gambar tertera segera mengembalikan ingatan.


Kreatif! Orang ramai dulu-dulu memasukkan sekali gambar mereka dalam kad hari raya agar mudah dikenali.


Bagi yang dilamun cinta, terdapat kad yang cantik diiringi susun kata yang penuh puitis. Ada kad boleh mengeluarkan bunyi muzik yang menusuk telinga apabila dibuka. 

Memang sesuai kad seperti ini untuk insan bercinta.

Masuk sahaja Ramadan, kad hari raya mula dijual. Selain di kedai, ramai peniaga membuka gerai menjual kad. Pemandangan ini dapat dilihat di seluruh negara. Meriah sekali melihat  orang ramai berkerumun di gerai kad raya.

Di Kuala Lumpur misalnya, gerai jualan banyak terdapat di seluruh pelosok bandar raya. 

Selalunya pembeli mengambil masa agak lama membelek kad yang bersesuaian, mencari yang mempunyai susun kata yang menyentuh jiwa. Pemilik gerai kena sabar dengan gelagat mereka.

Walaupun menjual kad raya merupakan perniagaan bermusim setahun sekali, ia memberi pulangan yang menguntungkan kepada peniaga. Difahamkan ada yang berjaya menjual hingga memperoleh ratusan ringgit dalam sehari.

Bayangkan jika dalam tempoh sebulan, berapa banyak yang mereka peroleh dengan hanya menjual kad raya. Pendek kata rezeki bulan Ramadan dan Syawal.


Memang cantik kad raya disusun, digantung pada dinding menyerikan lagi rumah sempena Aidilfitri.


Sepanjang tempoh berkenaan juga, pejabat pos mengendalikan jutaan kad raya di seluruh negara sehingga perlu mengambil pekerja sementara. Ini penting bagi menjalankan tugas menyisih (sorting) kad raya untuk segera dihantar ke destinasi.

Untuk memastikan kad sampai sebelum hari raya, Pos Malaysia menetapkan tarikh tertentu sebagai hari terakhir mengirim kad. Jika ingin kad sampai sebelum raya, kad perlu dikirim sebelum tarikh ditetapkan.

Yang tidak mematuhi tarikh bermakna kad hari raya mereka hanya sampai ke destinasi selepas hari raya. Pos tidak harus dipersalah kerana sudah memberi ingatan. Bukan sedikit jumlah kad yang perlu diurus.


Nampak cantik kad raya digantung pada ranting kayu dalam pasu bunga, menyerikan sudut rumah.


Jika lewat sampai, tentu tidak seronok. Misalnya kad belum sampai kepada ibu bapa sedangkan si anak sendiri sudah pun sampai ke rumah lebih awal.

Begitu juga, tentu kekasih kecil hati dan merajuk jika lewat menerima kad ucapan daripada orang disayangi. Letih pula kena memujuk!

Pada waktu begini posmen pun tidak kurang sibuknya. Banyak kad perlu dihantar dalam kawasan kendaliannya. Pendek kata posmen jadi harapan orang ramai membawa ‘risalah’ untuk mereka.

Jika nampak kelibat posmen masuk kawasan rumah, ada harapan. Jika tidak, kecewa dirasa. 

Namun di kampung penulis pada era itu posmen tidak datang rumah ke rumah. Surat orang kampung diletakkan di satu tempat khas, misalnya kedai kopi. Orang kampung sudah biasa dengan kaedah ini.


Kad hari raya digantung pada ranting hiasan di rumah, menyerlahkan seri pada Aidilfitri.


Kad hari raya juga cantik menjadi penyeri rumah pada hari lebaran. Kad disusun dan digantung di dinding, atau pada ranting pokok hiasan. 

Lagi banyak kad lagi bagus kerana ia mempamerkan kelainan bentuk dan pelbagai lakaran menarik.  

Sayang tiada lagi pemandangan seperti ini sekarang. Era kad hari raya telah berlalu. 

Mengenang kembali, terasa bagai satu kehilangan penyeri Aidilfitri. Yang tinggal hanya kenangan abadi. - KitaReporters

 

15
16
0
11
0

Copy Link: