Bantuan RM5k untuk Ops SAR! Pemilik bot nelayan terjatuh dari bot di perairan Pulau Pasir Hitam!
Published byLembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan menyalurkan bantuan berjumlah RM5,000 kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Manjung Utara, Perak.

Kenyataan LKIM itu berkata, bantuan ini akan disalurkan kepada PNK sebagai bayaran kos minyak diesel dan sebagainya kepada pasukan sukarelawan yang telah terlibat secara langsung dalam operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) atau SAR (search and rescue).
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun telah mengadakan lawatan ke rumah keluarga nelayan yang terlibat pada Rabu 15 April 2026.
Lawatan itu sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada keluarga mangsa.
Mohd Zolkafly berkata, kerajaan Negeri Perak melalui agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan operasi mencari dan menyelamat serta komited dalam memastikan kebajikan keluarga mangsa sentiasa terpelihara.

Dalam kejadian pada 12 April 2026 lalu, tiga nelayan dilaporkan terjatuh ke laut dari bot ketika sedang menurunkan pukat di perairan Pulau Pasir Hitam, Perak.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Hairil Othman menerusi satu kenyataan pada Selasa, 14 April 2026 memaklumkan, operasi Carilamat diaktifkan selepas menerima maklumat kejadian dari Maritime Rescue Sub Centre (Cawangan Pusat Menyelamat Maritim atau MRSC) Langkawi.
Katanya, sepasukan anggota dari Bot Perkasa 1238 telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi pencarian.
“Seorang mangsa, Ko Ko Aung, 35, warga Myanmar berjaya diselamatkan oleh nelayan tempatan pada hari kejadian, manakala seorang lagi mangsa, Khin Maung Tun, 38, turut ditemui operasi yang dijalankan,” katanya.
Seorang lagi mangsa yang belum ditemui ialah pemilik bot PKS 6353, Sim Yau Kok, 38, dari No. 19, Jalan Taman Bintang Indah 3, Pantai Remis, Perak. - KitaReporters

