SEMANGAT kebersamaan jelas terserlah apabila lebih 500 penghuni dari tiga blok Pangsapuri Anggun (PA) bergotong-royong menjayakan Majlis Hari Raya Aidilfitri anjuran Musolla dan Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) PA.

Majlis Hari Raya Aidilfitri yang bertema Anggun Beraya Jiran Bersama yang berlangsung meriah itu disempurnakan oleh Ahli Majlis Zon 17 Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Farhan Haziq Mohamed yang hadir buat julung kali ke kawasan kediaman berkenaan.




Suasana santai dan selesa apabila penghuni dapat bersila di atas karpet sambil menikmati hidangan hari raya bersama kawan-kawan dan keluarga.


Farhan Haziq ketika ditemui selepas Majlis Hari Raya Aidilfitri itu kagum dengan sambutan yang bukan sahaja meriah, malah dipenuhi pelbagai juadah hasil kerjasama erat penduduk setempat. 

"Hidangan yang disediakan mencerminkan kesepakatan apabila setiap blok memainkan peranan menyediakan menu yang dibincangkan bersama.

“Ini adalah contoh terbaik kerjasama antara Musolla, JMB dan penduduk. Amalan seperti ini wajar dicontohi kerana ia memperkukuh hubungan komuniti,” katanya.

Turut hadir di Majlis Raya Aidilfitri itu ialah Pengerusi JMB Pangsapuri Anggun, Fakhrul Razi Mohd Nasir; Pengerusi Musolla PA, Othman Hashim; dan Pengerusi Surau Jubli Perak Al-Ikhwan, Harun Abdul Hassan

Beliau berkata, sumbangan kecil daripada JMB dimanfaatkan sebaiknya bagi menjamu penduduk tanpa pembaziran.



Farhan Haziq Mohamed


"Secara ikhlas, saya kagum hubungan baik sesama penghuni yang disifatkan saling membantu dan menyumbang antara satu sama lain. 

Beliau memaklumkan, Pangsapuri Anggun menempatkan kira-kira 1,000 penghuni dengan majoritinya terdiri daripada golongan muda dan berpendidikan tinggi.

Menurutnya, lawatan itu juga merealisasikan hasratnya untuk menjejak kaki ke kawasan berkenaan kerana jika tiada urusan memang tidak boleh memasuki pangsapuri ini.

“Saya memang berhajat untuk datang ke sini sebelum ini, tetapi kawalannya agak ketat. Terima kasih atas jemputan ini.


Tetamu menikmati pelbagai hidangan yang disediakan penghuni Pangsapuri Anggun termasuk sumbangan Musolla dan JMB PA.


Keseronokan Majlis Aidilfitri ialah dapat berkongsi makanan dan cerita hari raya bersama kenalan dan jiran.


"Saya juga dimaklumkan Musolla dan JMB banyak menganjurkan pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan, ia adalah sesuatu yang dibanggakan. 

"Antaranya termasuk kelas pengajian kitab dua kali sebulan serta program pendidikan adab dan fikah untuk penghuni pangsapuri terdiri dari kalangan golongan remaja," katanya.

Beliau berkata, usaha melatih anak-anak menjadi imam dan bilal juga dilihat sebagai langkah penting melahirkan pelapis kepimpinan surau pada masa depan.

“Ini satu inisiatif yang sangat baik untuk membentuk generasi berilmu dan berakhlak,” katanya.

"Perkara sebegini saya mahu lihat dalam kalangan komuniti terutama di bawah Zon 17 kerana kerjasama erat antara Musolla dan JMB memudahkan pelaksanaan program tanpa karenah birokrasi.

"Pangsapuri Anggun boleh dijadikan contoh komuniti berjaya walaupun masih baharu didiami," katanya lagi.


Gerai apam balik menjadi tumpuan di Majlis Hari Raya Aidilfitri anjuran MUsolla, JMB dan penghuni Pangsapuri Anggun.


Di mana-mana sambutan majlis hari raya, gerai kambing golek sentiasa diserbu tetamu pelbagai peringkat usia.


Beliau turut mengucapkan tahniah atas pencapaian komuniti itu yang meraih tempat keempat dalam pertandingan video komuniti sempena Hari Kebangsaan 2025 bagi kategori rumah ibadat.

"Saya juga memuji pengurusan Musolla dan JMB yang memelihara hubungan baik penduduk dengan komuniti luar termasuk kehadiran wakil Surau Al-Kauthar dan Surau Jubli Perak Al-Ikhwan pada majlis berkenaan.

“Ini membuktikan mereka tidak terasing, sebaliknya aktif menjalin hubungan dengan komuniti sekitar,” katanya.


Majlis hari raya bukan sekadar menikmati makanan enak tapi dapat berkumpul bersama keluarga tersayang.


Kehadiran penghuni pelbagai peringkat umur menjadi antara kemeriahan majlis hari raya di Pangsapuri Anggun.


Dalam perkembangan lain, beliau berkata sejak menerajui Zon 17 di Bandar Baru Bangi, pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan kesejahteraan penduduk. 

Katanya, antara isu utama yang dikenal pasti adalah pengurusan sampah terutama sampah pukal yang memerlukan penambahbaikan.

Beliau memaklumkan perkara itu sudah dibawa ke peringkat MPKj dan tindakan sedang diambil untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kutipan.

"Selain itu, isu jalan raya di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) juga menjadi perhatian berikutan laporan kemalangan yang diterima.


Selain Farhan Haziq, antara tetamu VIP yang hadir ialah Pengurusan Surau Jubli Perak dan Surau At-Kauthar termasuk Harun Abdul Hassan.


Barisan AJK yang bertugas di belakang tabir bagi memastikan Majlis Hari Raya Aidilfitri Pangsapuri Anggun berjalan lancar dan meriah.


"Justeru, bagi memperkukuh komunikasi, saya mewujudkan kumpulan WhatsApp Zon 17 yang menghimpunkan wakil penduduk, surau, persatuan dan agensi berkaitan.

"Kumpulan itu memudahkan penyampaian maklumat dan membolehkan aduan ditangani dengan lebih pantas.

“Seramai kira-kira 50 wakil termasuk agensi seperti KDEB ada dalam grup WhatsApp terbabit, sekali gus mempercepatkan tindakan susulan,” katanya.

Sementara itu, Farhan Haziq turut merancang memperluaskan program kitar semula sebagai fokus utama bagi sesi 2026/2027.

Beliau berkata, program perintis sebelum Ramadan 2026 lalu yang diadakan di pejabatnya di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Selangor berjaya mengumpul kira-kira 800 kilogram bahan kitar semula dalam tempoh tiga jam.

"Apa yang saya lakukan ialah memberi ganjaran seperti wang tunai dan barangan keperluan asas jika penduduk membawa barang yang boleh dikitar semula.  

"Saya berharap program ini akan diperluas ke tempat lain termasuk cadangan untuk mengadakan kerjasama dengan JMB Pangsapuri Anggun serta komuniti lain di Zon 17," katanya. 


Tetamu tidak melepaskan peluang bergambar kenangan bersama Farhan Haziq (tiga dari kanan).


Ditanya hala tuju masa depannya untuk Zon 17 dan Bandar Baru Bangi, amnya, Farhan berkata fokusnya adalah membentuk komuniti harmoni, aktif dan sejahtera.

"Insya-Allah saya akan memberi perhatian dan fokus kepada golongan warga emas, kanak-kanak dan remaja dalam setiap perancangan program.

“Pengalaman warga emas dan potensi generasi muda perlu digabungkan untuk membina komuniti yang lebih baik,” katanya. - KitaReporters


Tetamu bergambar kenangan bersama Fakhrul Razi Mohd Nasir (duduk dua dari kanan), Othman Hashim (duduk tiga dari kiri),  Harun Abdul Hassan (duduk empat dari kiri) dan Farhan Haziq (duduk tiga dari kanan).  

14
9
0
15
0

Copy Link: