Video| Kerana selamatkan Oyen! Lelaki ini dibanjiri doa menjelang 10 malam terakhir Ramadan! Amin!!
Published byMenjelang fasa paling istimewa dalam bulan Ramadan, ketika umat Islam berlumba-lumba menggandakan amal ibadah bagi merebut keberkatan termasuk malam lalilatulqadar, sebuah video ringkas dalam media sosial tiba-tiba menyentuh hati ribuan pengguna Internet.
Video yang dimuat naik oleh pengguna TikTok, Zainalsteadysaj memaparkan detik dirinya berhenti di tepi jalan selepas menyedari seekor anak kucing berwarna oren berjalan sendirian tanpa ibu atau kucing lain di sekitarnya.
Dalam video tersebut, anak kucing kecil itu kelihatan berlari-lari kecil seolah-olah mengejarnya. Keadaan itu membuatkan dia akhirnya berhenti dan mengambil kucing berkenaan, dipercayai untuk menyelamatkannya daripada terus berkeliaran di jalanan yang berisiko.

Rakaman pendek itu pada mulanya mungkin sekadar perkongsian biasa. Namun tanpa disangka, ia meraih lebih 3.2 juta tontonan dan lebih 8,000 komen, kebanyakannya bukan sekadar pujian, tetapi juga doa-doa tulus daripada netizen.
Lebih menyentuh hati, ramai yang mengaitkan perbuatan baik itu dengan keberkatan 10 malam terakhir Ramadan, waktu yang dipercayai menjadi peluang terbaik untuk memperoleh ganjaran pahala yang besar.

“Bang, Ramadan menuju lailatulqadar. Semoga kebaikan
kau ni membuahkan hasil, traffic light
hijau, pinggan kau sentiasa berisi, wallet
kau sentiasa penuh note purple,
motor kau sentiasa sihat, orang keliling kau sayang dengan kau dan setiap
urusan kau dipermudah. Amin, terima kasih bang. Last but not least, jaga-jaga Oyen tu,” doa salah seorang netizen.
Komen tersebut antara yang mendapat ribuan tanda suka daripada netizen lain yang turut bersetuju dengan doa yang diberikan.

Seorang lagi netizen, turut menzahirkan doa yang hampir serupa, menggambarkan betapa perbuatan kecil itu memberi kesan besar kepada hati ramai orang.
“Semoga saku abang selalu berduit. Peti ais selalu penuh. Tong beras selalu penuh. Traffic light selalu hijau. Hati sentiasa tenang.”

Sementara itu, netizen lain pula menganggap lelaki tersebut sebagai insan yang memiliki hati yang baik.
“Bang, satu benda je aku nak cakap, kau memang manusia yang baik hati. Semoga kau dimurahkan rezeki bang, kesihatan dan ke mana saja kau pergi, trafik light semua hijau. Terima kasih bang.”
Lebih menyentuh emosi, seorang netizen mengakui
dirinya hampir menangis ketika menonton video berkenaan kerana menyangka anak
kucing itu tidak akan diambil.
“Bang aku nangis tengok dia kejar kau. Aku ingat kau tak ambil dia bang. Terima kasih bang sebab kau sentiasa jadi orang baik. 10 akhir Ramadan ni aku doakan kau sihat selalu, panjang umur dan dilimpah ruahkan rezeki buat kau sekeluarga.”

Seorang lagi netizen pula memberikan perspektif yang cukup menyentuh hati apabila menyatakan bahawa bukan sahaja manusia yang mendoakan lelaki tersebut, malah mungkin haiwan yang diselamatkan itu juga ‘mendoakannya’ dengan cara tersendiri.
“Dekat komen ramai yang mendoakan owner. Belum kucing tu yang mendoakan. Semoga Allah makbulkan setiap doa-doa semua,” tulisnya.

Walaupun video tersebut hanya memaparkan tindakan spontan menyelamatkan seekor anak kucing, ia sebenarnya membawa mesej yang lebih luas.
Kadangkala, tindakan kecil seperti berhenti seketika untuk membantu makhluk lemah juga mampu memberi kesan besar, bukan sahaja kepada haiwan yang diselamatkan, tetapi juga kepada ribuan manusia yang menyaksikannya. - KitaReporters
