Musim candat sotong kembali! Perairan Terengganu berpesta! Mabuk laut hilang bila sotong rentap kail!
Published bySetiap kali tibanya bulan April atau Mei saban tahun, akan bermulalah musim mencandat sotong yang dinanti-nantikan para penggemar aktiviti sukan laut ini.


Sotong pertama yang berjaya dibawa naik oleh Ismail Badrulhisham
Tibanya April dan Mei itulah bot-bot mula berlabuh ke tengah laut, lampu-lampu berkilauan menghiasi permukaan air pada malam hari bagi menarik perhatian sotong-sotong ini yang sememangnya secara alami akan tertarik dengan cahaya.
Ini semua menandakan bermulanya musim candat sotong.
Bukan sekadar aktiviti riadah, mencandat sotong telah lama menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Terengganu, malah kini diiktiraf sebagai satu tarikan pelancongan marin yang kian mendapat perhatian umum di Malaysia. Ibarat pesta sotong!

Bagi Ismail Badrulhisham, 40, dia yang pertama kali menyertai trip candat sotong ini bersama-sama sembilan lagi rakannya menjadikan pengalaman pertama sebagai azimat dan pelajaran untuk bekalan trip (kunjungan) candat sotong tahun berikutnya.
Trip candat sotong ini bermula seawal pukul 3 petang di mana ke semua mereka menaiki bot yang ditempah dengan harga kira-kira RM1,200 sebot termasuk harga upah kapten bot berserta seorang krewnya di Jeti Kemaman. Perjalanan ke lubuk sotong berkenaan mengambil masa kira-kira dua atau tiga jam bergantung kepada kapten bot.
Setibanya di lokasi kira-kira pukul 5 petang, Ismail dan rakan-rakan mula melemparkan pancingnya ke dalam Laut China Selatan dan menunggu dengan sabar mata kail di rentap mangsa.

Pada mulanya segalanya berjalan lancar ditemani perasaan teruja dan seronok kerana dapat menaiki bot ke tengah laut sambil menikmati pemandangan samudera yang terbentang luas dan pemandangan senja serta matahari terbenam di ufuk timur.
Saat berganti minit, minit berganti jam dan siang berganti malam. Alhamdulillah selepas maghrib tangkapan sotong pertama dari Ismail berjaya di angkat ke darat!
Perasaannya sangat teruja! Inilah perasaan para nelayan apabila berjaya menaikkan hasil tangkapan pertama setiap hari getus hatinya.
Tapi kata orang, langit tidak selalu cerah. Kira-kira pukul 8 malam, Ismail mula di serang mabuk laut! Mungkin ombak laut yang sedikit bergelora petang itu menjadikan biologi badannya tidak dapat menyesuaikan diri di atas bot yang terhuyung-hayang di hempas gelora.
Dia berasa loya dan termuntah ke dalam laut kerana pening yang melampau serta dia kemudiannya cuba berbaring dan cuba lena sebentar bagi menghilangkan rasa mabuk laut yang dialami.
Sebiji pil tahan mabuk laut sudah ditelannya bagi membantu dia bertenang sejenak. Alhamdulillah dia kembali segar kira-kira pukul 2 pagi dan kembali melemparkan mata kail ke laut.
Rakan-rakan lainnya juga ada yang turut mabuk laut, ada yang memasak mi segera bagi mengalas perut. Tidak ketinggalan krew bot berkenaan menyediakan makanan makan malam berupa nasi putih dan ikan singgang bagi mengisi perut yang lapar sejak petang.

Bot yang dinaiki sembilan sekawan ini kembali ke jeti kira-kira pukul 9 pagi dengan hasil tangkapan keseluruhan sebanyak 20 kilogram!
Hasil berkenaan dibahagi sama rata meskipun ada yang hanya mampu menaikkan kira-kira sekilogram sotong. Inilah semangat berpasukan yang ditunjukkan. Tidak kira siapa yang menaikkan banyak sotong, hasilnya tetap dibahagi sama rata. Tamatlah 18 jam trip candat sotong mereka yang penuh pahit manis.
Ismail sempat berkongsi beberapa tip tau panduan bagi pencandat sotong yang pertama kali menyertai trip seumpama ini.
Tip yang paling utama menurutnya adalah bekalan ubat-ubatan, minyak angin, dan koyok. Pil mabuk laut juga boleh dibeli di farmasi-farmasi dan dimakan kira-kira satu jam sebelum trip bermula.
Tip yang kedua adalah pakaian yang bersesuaian. Topi, baju lengan panjang dan seluar yang tidak berbutang adalah paling selamat kerana jika berlaku kecemasan dan terpaksa terjun ke laut, risiko butang baju atau seluar tersangkut di mana-mana adalah kurang.

Selain itu, tip ketiga adalah pemakaian jaket keselamatan. Jaket keselamatan hendaklah dipakai setiap masa walaupun ketika bot berhenti di tengah laut.
Malang tidak berbau. Mana tahu ketika tengah syok menyandat sotong tiba-tiba bot di lambung ombak dan terbalik. Jadi jika berlaku kejadian begini, kita telah bersiap siaga.
Tidak lupa juga bekalan air dan makanan yang secukupnya. Lebih-lebih lagi dengan keadaan cuaca yang panas ketika ini, berada di atas bot sedari pukul 3 petang dengan cuaca yang panas terik mengundang badan terhidrasi.
Jadi bawalah air masak yang secukupnya selain makanan yang secukupnya meskipun makanan telah disediakan kru bot.
Makanan tambahan ini sebagai bekalan sekiranya bot mengalami masalah di tengah laut dan tidak dapat kembali ke darat seperti dijadualkan.
Jadi makanan yang dibawa terutamanya makanan kering boleh dibuat alas perut sementara kita terkandas di tengah laut. Semua ini adalah bekalan atau persiapan daya tahan atau survival preparation bagi para pelaut.

Pada kala kita berseronok dan teruja penyandat sotong, para pengait janganlah alpa dan harus cakna ciri-ciri keselamatan ini.
Pergi dengan keadaan selamat, pulang juga haruslah bersama-sama rakan-rakan lain dalam keadaan selamat. Ingatlah, ada keluarga tersayang yang menanti di rumah dengan hasil sotong anda dan sosok tubuh badan anda yang selamat! - KitaReporters
