Misi lebih besar! AGM NEST beri fokus baharu! Dari burung terbang tinggi kepada pelbagai mergastua!
Published byPERTUBUHAN Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) terus mengorak langkah ke depan apabila tidak mahu lagi terikat kepada bidang avian semata-mata, sebaliknya memperluaskan peranan dalam kepelbagaian biodiversiti merangkumi pelbagai organisma hidup di darat dan akuatik.

Ahli mendengar penuh khusyuk video mengenai perkembangan NEST yang ditubuhkan sejak 2017.
Pengerusinya, Sulaiman Salikan berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan NEST kekal relevan serta mampu memainkan peranan lebih besar dalam usaha pemuliharaan alam sekitar negara.
"Walaupun kajian dan pemantauan burung kekal sebagai keutamaan, pertubuhan itu kini memperkukuh kepakaran dalam bidang biodiversiti, penyelidikan, survei serta pendidikan.
“Avian tetap menjadi fokus utama, namun kami mahu mempelbagaikan kepakaran supaya NEST menjadi pertubuhan serba boleh dan mampu menyumbang dalam pelbagai cabang biodiversiti,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) NEST ke-9 bertemakan "Mapping The Future of Biodiversity" di Bukit Fraser, Pahang.
AGM berkenaan turut menampilkan beberapa penceramah jemputan termasuk Timbalan Dekan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Madya Dr Abdul Latiff Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kayan International Inc, Datuk Shah Redza Hussein; dan Saintis Masyarakat, Mohd Ilham Norhakim Lokman @ Abg Ikan.

Sulaiman Salikan
Sulaiman berkata, sejak ditubuhkan pada 2017, NEST aktif dalam pelbagai inisiatif termasuk Pelan Induk Urban Birding Putrajaya, Taiping Birdweek serta kajian burung bersama Perbadanan Putrajaya (PPj).
Beliau berkata, NEST turut terbabit dalam ekspedisi saintifik bersama universiti tempatan dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia selain menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak.
“Antaranya termasuk Wild Bird Club Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta beberapa organisasi lain berkaitan konservasi,” katanya.
"Hasil kerjasama itu juga menyaksikan penerbitan beberapa buku seperti "Bird Haven Putrajaya" pada 2019, "Putrajaya Photography Bird Guide Book" serta "111 Birds of Seremban" pada 2021," katanya.

Shah Redza Hussein antara penceramah yang dijemput bagi mengisi slot ceramah alam sekitar dan isu-isu berkaitan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, NEST terus melakar pencapaian apabila terbabit dalam penerokaan biodiversiti hutan di Perlis pada 2023 bersama Jabatan Perhutanan negeri itu.
"Program "The Northernmost Bird Race Wang Kelian, Perlis 2023" turut mendapat sambutan menggalakkan dan menjadi antara aktiviti signifikan pertubuhan itu.
“Pengalaman memantau kehadiran burung hud-hud di Tasik Taiping juga cukup bermakna apabila ia mencetuskan fenomena sehingga menarik perhatian peminat burung dari dalam dan luar negara,” katanya.
Beliau berkata, NEST juga menerima Geran Dana Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional (NCTF) bagi projek kajian burung di taman negeri dan hutan simpan di Semenanjung Malaysia.

Jamil Mat Isa menunjukkan penerbitan buku panduan burung dan buku mewah yang dihasilkan dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya.

Penerbitan buku berbentuk manimalis untuk memudahkan orang ramai mendapatkan data dan info mengenai burung di Malaysia.
"Pengiktirafan itu membuktikan kemampuan NEST dalam bidang penyelidikan saintifik serta komitmen tinggi dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.
“Tiada jalan pintas untuk berjaya. Kejayaan ini hasil kerja berpasukan yang dinamik dan komited dalam memastikan setiap tugasan dilaksanakan pada tahap terbaik,” katanya.
Selain itu, kerjasama NEST dan eBird memperkukuh usaha pemantauan dan pemuliharaan burung di Malaysia melalui pengumpulan data secara sistematik.
"eBird merupakan platform sains warga yang dibangunkan Cornell Lab of Ornithology di Cornell University.
"Melalui kerjasama ini, Afiq menjadi wakil NEST bagi menghubungkan latihan dan penggunaan eBird dalam kalangan komuniti, sekali gus menyumbang kepada pangkalan data global untuk tujuan penyelidikan dan konservasi," katanya.

Barisan AJK NEST bergambar kenangan bersama Sulaiman (lima dari kiri) selepas pemilihan barisan baru kepimpinan pertubuhan itu bagi sesi 2026/28.
Bagi mendepani era globalisasi, katanya NEST membesarkan skop kepada penyelidikan, survei dan penerbitan buku.
"Alhamdulillah, kolaborasi NEST dan Taman Botani, Perbadanan Putrajaya, terhasil buku mewah (Coffee Table Book), 'Mammals of Putrajaya', yang mengetengahkan pelbagai spesies haiwan di Putrajaya.
"Bersama Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) pula, lahir buku mewah, 'Ulu Muda State Park - Beneath the Canopy' manakala kerjasama dengan Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), terhasil naskhah, 'Nature Escape: Wild beauty, shaping a shared tomorrow'," katanya.
Sementara itu, dalam pemilihan barisan kepimpinan baharu bagi sesi 2026/2028, Sulaiman mengekalkan jawatan Pengerusi, manakala Ismail Mamat dan Abdul Afiq Abd Rahman masing-masing kekal sebagai Naib Pengerusi dan Setiausaha. Jawatan Bendahari pula disandang, Farah Diana Ismail. - KitaReporters
Berikut adalah barisan AJK NEST bagi sesi 2026/28
Pengerusi: Sulaiman Salikan
Naib Pengerusi: Ismail Mamat
Setiausaha: Abdul Afiq Abdul Rahman
Timbalan Setiausaha: Nor Maisharah Mokhter
Bendahari: Farah Diana Ismail
AJK:
1. Jamil Mat Isa
2. Shaiful Azhar Abu Bakar
3. Hud Zaqwan Mohamed Saufi
4. Dr Nor Atiqah Norazlimi
5. Dr Siti Norashikin Ismail
Auditor:
1. Roslan Ibrahim
2. Nurul Farisyah Mat Zaidi

Sebahagian ahli NEST yang hadir sempena AGM ke-9 di Bukit Fraser, Pahang.
