Demi mencari sesuap rezeki yang halal, seorang wanita sanggup memakai kostum katak dalam cuaca panas pada bulan Ramadan untuk kelangsungan hidup dan persediaan hari raya.



Penulis sempat bertanya khabar dan berbual bersama Salina, 30-an, bukan nama sebenar, di mana dia memberanikan diri berkongsi pengalamannya bekerja di bawah terik mentari dan berhujan panas. 

“Bukan sedikit cabarannya memakai kostum katak sambil berpuasa dan berdiri berjam-jam dengan berkeringat bagi menagih simpati pengunjung di Bazar Ramadan. 

“Saya sudah memakai kostum katak ini sejak tiga tahun lalu di sekitar kawasan tumpuan awam di sekitar Segamat. 

“Saya juga pencinta haiwan antaranya katak dan kucing. Segalanya bermula selepas sebuah syarikat pencinta haiwan memberi bantuan kepada saya untuk memulakan usaha mencari rezeki. 

"Kami bertemu ketika saya sedang memberi makan kepada kucing jalanan dan dengan bantuan itu, saya membeli kostum kartun kerana minat memakai kostum untuk menghiburkan kanak-kanak,” katanya ketika ditemui di bandar Segamat.

Ujar Salina, sejak itu, dia mencari rezeki dengan kostum dan menghiburkan kanak-kanak sambil boleh ambil gambar bersama. 

Dia berpakaian kostum katak ini bermula pada pukul 4 petang sehingga 7 malam pada bulan Ramadan dan tidak mengenakan sebarang bayaran kepada individu yang mahu mengambil gambar. 

"Jika orang bagi seikhlas hati berapa pun, yang bermurah hati berikan wang, saya terima, tetapi saya tidak meminta-minta atau menagih simpati dan kalau mereka tak bagi pun tak mengapa. 

"Bagi saya dapat hiburkan kanak-kanak, melihat mereka gembira pun sudah membuatkan saya gembira, lebih bersemangat dan rasa dihargai. Jika dapat bayaran, itu rezeki tambahan untuk saya," katanya.



Dia yang sudah berkeluarga dan mempunyai seorang anak perempuan melakukan kerja ini bagi menambah pendapatan. 

Katanya, wang diperolehi akan dikumpul untuk membeli barang keperluan dan mengakui biarpun pendapatannya tidak menentu tetapi ia langsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus juga mencari rezeki halal bersama suaminya untuk membesarkan anak mereka. 

"Sekarang saya masih mengumpul wang untuk persediaan hari raya dan juga membantu keluarga. 

"Pendapatan saya tak menentu, kadang-kadang RM10 sehari atau paling banyak dapat RM50, malah pernah tiada pendapatan,” ujarnya. 

Dia bersedia menerima tempahan untuk majlis hari lahir atau sebarang majlis dan mengakui rezeki yang diperolehi bukan hanya untuk dirinya, sebaliknya turut berkongsi dengan haiwan jalanan. - KitaReporters

12
18
0
12
0

Copy Link: