Projek kenderaan ATV Adventure di bawah inisiatif Geran SejaTi Madani bagi agropelancongan dijangka menjana ekonomi komuniti setempat di kawasan Bukit Merah dekat Bagan Serai, Perak.


Kanak-kanak tidak melepaskan peluang untuk mencuba ATV

Ini kerana projek peruntukan sebanyak RM100,000 itu dikendalikan oleh Koperasi Pembangunan Bukit Merah Berhad yang menjadi proksi bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Merah.

Pengerusi JPKK Bukit Merah, Mohamad Nor Hassan berkata, projek berkenaan akan mula beroperasi di Pusat Transformasi Komuniti (CTC) Bukit Merah dalam masa terdekat selepas beberapa perkara berkaitan kadar sewaan dimuktamadkan selepas pelancaran pada 9 April 2026.

Beliau berkata, pihaknya telah memiliki 10 buah kenderaan All-Terrain Vehicle (kenderaan serba rupa bumi atau ATV) dalam pelbagai saiz bermula daripada 125cc hingga 200cc bagi memenuhi keperluan pengunjung.

“Insya-Allah kita akan mulakan operasi secepat mungkin. Projek ini bukan sahaja menyediakan aktiviti rekreasi, malah akan menjana pendapatan kepada komuniti melalui penglibatan koperasi,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran ATV Adventure Bukit Merah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Merah, dekat Bagan Serai.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Perak Mazlan Zurin Zulkifli.


Mazlan Zurin Zukifli (empat dari kiri) menyerahkan kunci ATV kepada Mohamad Nor Hassan selepas majlis perasmian Bukit Merah ATV Adventure di Sekolah Kebangsaan Bukit Merah, dekat Bagan Serai, Perak pada 9 April 2026.

Mohamad Nor berkata, pihaknya telah menerima lebih 12 tempahan untuk penggunaan fasiliti di kawasan CTC berkenaan termasuk majlis perkahwinan. dan sebagainya.

“Ini menunjukkan potensi besar ATV untuk dikembangkan sebagai lokasi agropelancongan komuniti,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mempunyai perancangan termasuk pembangunan litar ATV di kawasan pinggiran Tasik Bukit Merah, selain memperkenal konsep tarikan keluarga seperti ATV yang mampu menarik treler untuk membawa kanak-kanak.

“Selain memberi peluang pekerjaan kepada penduduk, projek ini juga membuka ruang kepada peniaga kecil untuk menjana pendapatan melalui aktiviti sampingan seperti jualan makanan dan produk tempatan,” katanya.

Tambah beliau, projek berkenaan turut dirancang untuk digabungkan dengan pembangunan ekopelancongan termasuk aktiviti berbasikal, pendakian serta penternakan lebah kelulut bagi menghasilkan produk berasaskan madu.

“Saya yakin secara tidak langsung, kawasan ini akan menjadi satu lagi tarikan pelancongan baharu khususnya di sekitar Bukit Merah,” katanya. - KitaReporters


Sebahagian kanak-kanak kelihatan gembira utuk mencuba permainan ATV
7
14
0
13
0

Copy Link: