Minat bertani tapi tak ada tanah? Kelas cucuk tanam untuk warga Danau Kota! Guna kaedah cocopeat!
Published byBAKTI disemai bukti dituai. Bercucuk tanam walau pun pada skala kecil, seperti menanam terung, kacang, cili, mentimun, serai dan kunyit, dalam persekitaran rumah mampu jimatkan belanja, tidak perlu beli di pasar.

Sisa sabut kelapa ialah bahan penting 'cocopeat' sama ada dalam bentuk siap perai atau dimampat.
Bercucuk
tanam tidak semestinya perlukan kawasan lapang yang luas, atau tanah yang
banyak. Dalam persekitaran perumahan bukan atas tanah seperti flet atau kondo, ia
masih boleh dilakukan dengan kaedah pertanian moden.
Misalnya
kaedah penanaman hidroponik yang sudah biasa kita dengar. Ia tidak menggunakan
tanah, sebaliknya larutan air yang kaya dengan nutrien terus ke akar tumbuhan. Kaedah
ini sangat popular untuk kawasan bandar atau ruang terhad.
Satu lagi kaedah tanaman tidak perlukan tanah ialah habuk sabut kelapa atau lebih tepat ‘cocopeat’.
Untuk memupuk kesedaran bercucuk tanam melalui konsep ini, Persatuan Penduduk Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur menganjurkan ‘Kelas Menanam Pokok dan Sayur’ untuk penduduk pada Sabtu 16 Mei 2026.

Yusuf Asnawi memberi penerangan mengenai 'cocopeat' kepada peserta 'Kelas Menanam Pokok dan Sayur' di Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur pada 16 Mei 2026.
Kelas separuh hari itu diadakan di kabin Taman Permainan Kanak-Kanak, iaitu pusat aktiviti penduduk.
Kelas dikendalikan oleh Yusuf Asnawi, lulusan Sains Pertanian daripada Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Kuala Lumpur. Beliau kini mengusahakan perladangan bandar atau urban farming di Taman Kinrara, Puchong.
Apa dia ‘cocopeat'? Dalam Bahasa Melayu ia disebut habuk sabut kelapa. Jadi tanaman ‘cocopeat’ bererti tanaman organik sabut kelapa. Di kilang di mana sabut kelapa diproses untuk bahan membuat tali atau tilam, sejenis sisa berbentuk habuk akan tertinggal.

Gelas plastik pun boleh diguna untuk menanam pokok. Sisa sabut kelapa atau 'cocopeat' dimampat ke dalam gelas, sedia untuk diguna.
Sisa habuk inilah yang dibersih, dikeringkan jadi ‘cocopeat’.
Ia terdapat dalam dua bentuk. Pertama, yang sudah sedia perai (hancur) dalam guni, atau kedua yang telah dimampat (compressed) menjadi blok keras. Perlu direndam dalam air sebelum diguna.
Kerana
konsepnya seperti span, ia boleh menyerap dan menyimpan air sehingga lapan atau
10 kali ganda daripada berat asalnya. Begitu pun strukturnya yang poros
(porous) memastikan ada ruang udara untuk akar bernafas dengan baik.
Tetapi ‘cocopeat' hanya sebagai ‘tuan rumah’, tidak mempunyai zat makanan untuk pokok. Kerana itu mesti tambah baja seperti kompos atau tinja (tahi) ayam atau kambing.
Ia juga mempunyai kandungan garam tinggi yang boleh memudaratkan pokok. Oleh itu mesti basuh dan bilas ‘cocopeat’ sebelum diguna.

Set untuk tanaman, mengandungi 'cocopeat', baja dan gelas plastik.

Peserta kelas tekun mendengar penjelasan Yusuf mengenai tanaman menggunakan kaedah 'cocopeat'.
Konsep ‘cocopeat’ cuba diterapkan kepada peserta kelas menanam pokok dan sayur di Danau Kota agar mereka boleh bercucuk tanam dengan mudah di rumah, tanpa terlalu memikirkan ruang terhad, serta tidak terlalu bergantung kepada tanah.
Menurut
Yusuf Asnawi, konsep ‘cocopeat’ membantu mengatasi masalah lambakan
bahan terbuang, seperti sisa sabut di kilang. Pada masa sama ia menggantikan
kebergantungan kepada tanah.
Selain menggunakan baja seperti tinja ayam sebagai makanan kepada pokok agar akar sentiasa segar, beliau juga membimbing cara-cara menggunakan cecair ‘bacillus’ untuk memastikan pokok kekal sihat.

'Cocopeat', baja (hitam) dan gelas plastik kaedah bercucuk tanam cara mudah, boleh dilakukan di rumah walau ruang terhad.
Bacillus ialah produk biologi berteraskan bakteria ‘baik’ daripada genus Bacillus yang dikulturkan dalam bentuk cecair. Ia digunakan secara meluas dalam sektor pertanian sebagai baja bio/ kawalan serangga. Juga diguna dalam penternakan akuakultur untuk rawatan air dan sisa.
Kehadiran bacillus mengurangkan populasi bakteria jahat yang mendatangkan penyakit kepada
pokok dan akhirnya boleh membunuh pokok. Ringkasnya bacillus berfugnsi mengekalkan kesihatan pokok pada tahap
optimum.
Penduduk
juga diajar menyediakan ‘planting pots’ atau pasu tanaman (gelas plastik pun boleh diguna) serta cara-cara mengunakan ‘cocopeat’ dan baja tinja
ayam di dalam bekas tersebut. Bahan-bahan yang diguna adalah organik sahaja.
Yusuf juga mengajar cara menggunakan cuka kayu untuk menghalau makhluk perosak. Di samping itu, beliau menerangkan kaedah mengubah pokok pada waktu sesuai supaya tidak mati selepas diubah daripada planting pots.

'Cocopeat' mempunyai kandungan garam tinggi yang boleh mengancam pokok. Kerana itu sebelum diguna perlu dibasuh dan dibilas.
Para peserta kursus begitu gembira mendapat ilmu baharu dalam suasana santai. Penjelasan yang mudah mengenai kaedah penanaman serta penjagaan yang ditunjuk secara praktikal lebih memudahkan mereka faham.
Untuk pemahaman peserta, pelbagai barangan perlu seperti benih sayur cepat tuai (25
hari), baja organik, baja kimia, cuka kayu, ‘cocopeat’ habuk sabut kelapa
bermutu tinggi juga dibawa untuk peserta melihat sendiri barangan asas perlu
dalam tanaman ‘cocopeat’.
Kelas
tersebut menyerlahkan tiada masalah melakukan aktiviti tanaman dalam
persekitaran terhad, juga tanpa terlalu bergantung kepada tanah. Kesedaran
inilah yang hendak diterapkan kepada peserta.
Pada akhir kelas, peserta menerima cenderamata pokok daripada Yusuf, sebagai simbolik dan pemangkin agar selepas ini mereka khasnya, dan penduduk Danau Kota amnya, akan aktif bercucuk tanam! - KitaReporters
